----------------$$$$----------------

InstaForex

7/01/12

901: PKR tak terikat dengan sekatan polis, kata Azmin

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini berkata bahawa pihak polis tidak mengenakan sebarang syarat ketika mereka bersetuju membenarkan perhimpunan diadakan Isnin ini.

Oleh itu, katanya, parti itu tidak terikat dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa selepas persetujuan tersebut dicapai.

"Saya ingin menegaskan bahawa KEADILAN menerimapakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pada pagi Jumaat 6 Januari 2012.

"Persetujuan itu tidak menyentuh beberapa sekatan yang diumumkan kemudiannya oleh pihak PDRM," katanya dalam satu kenyataan.

"Oleh yang demikian, saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman di negara ini, selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan awam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," tambah Azmin.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan di laman Facebooknya semalam 10 syarat bagi perhimpunan tersebut, termasuk larangan membawa sepanduk, pembesar suara atau ucapan awam.

Syarat-syarat tersebut dikenakanoleh polis daerah Sentul, Kuala Lumpur - tempat lokasi Mahkamah Kuala Lumpur.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Penggunaan risalah/ banner dengan tagline ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

2. Penggunaan pembesar suara selain daripada ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Penggunaan (2) dua buah loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

3. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

4. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak boleh membuat apa-apa perbuatan, membuat bising, memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

5. Tempat perhimpunan yang dibenarkan adalah di pakir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Kawasan ini akan diletakkan pita polis untuk menentukan batasan dan sempadannya. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

6. Sekiranya kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan maka peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan pakir mahkamah.

7. Penganjur hendaklah memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan para peserta hendaklah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan sekira perlu.

8. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh satu jam selepas keputusan Mahkamah diumumkan.

9. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan yang diberikan oleh pihak polis dari masa ke semasa demi untuk menentukan keamanan perhimpunan tersebut.

10. Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut.

Pakatan jangka menang lebih besar di Sabah

Ketua umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira apabila perpecahan dalam Umno Sabah semakin mendapat perhatian.

anwar ibrahim interview with malaysiakini 5Bercakap kepada Malaysiakini dalam satu wawancara, Anwar berkata beliau melihat perkara itu sebagai perkembangan "positif" di negeri tersebut yang akan membolehkan Pakatan meraih jumlah kerusi yang lebih besar.

Walau tidak begitu menyerlah di Sabah, Anwar berkata Pakatan Rakyat masih boleh bekerjasama dengan parti-parti kecil dan juga kumpulan masyarakat sivil di situ – dengan mengagihkan kerusi tertentu kepada kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar berkata langkah itu tidaklah bermaksud PKR menjemput semula bekas pengerusi negeri itu, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ke dalam parti.

Jelasnya, beliau telah menerima banyak kritikan ekoran daripada tindakan "lompat parti" oleh pemimpin parti itu sebelum ini dan beliau perlu mengalah kepada kritikan berkenaan

Di Semenanjung pula, Anwar mengakui bahawa perbincangan telahpun berjalan di antara Pakatan dan juga wakil daripada veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pakatan juga berhubung dengan Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang diketuai putera raja Kelantan itu, namun perbincangan itu tidaklah sehingga ke peringkat agihan kerusi.

AMANAH juga tidak menyatakan untuk bertanding di mana-mana kerusi, kata Anwar lagi.

Dalam wawancara ini, Anwar turut menyentuh mengenai dua tokoh yang pernah bekerjasama dengannya – presiden parti KITA, Datuk Zaid Ibrahim dan juga "rakannya" Raja Petra Kamarudin.

Baca laporan penuh

Wawancara ini dijalankan oleh Aidila Razak, Salhan K Ahmad dan Steven Gan

Anwar: Saya akan survive dalam politik

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin akan terus survive dalam arena politik negara ini walau apa pun keputusan mahkamah dalam perbicaraan kes liwat terhadapnya.

Ketua pembangkang itu berkata, pengalamannya sebelum ini mengharungi pelbagai pahit manis dalam politik membuktikan keadaan sedemikian.

"Saya pernah jadi pemangku perdana menteri, pernah duduk dalam lokap paling hina, pernah makan santapan diraja di semua istana...

"Syukur Alhamdulillah, kamu tahu apa (terjadi)? saya survive," katanya disambut laungan reformasi oleh kira-kira 800 hadirin malam tadi.

Bercakap dalam ceramah jelajahnya di Petaling Jaya menjelang keputusan mahkamah terhadap kesnya Isnin ini, Anwar berkata apa pun yang berlaku akan mematangkannya.

"Saya matang dalam proses itu. Saya tak sama lagi dengan dulu," katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan fakta kes, beliau mesti dibebaskan tanpa syarat. Bagaimanapun, tambahnya, walau apa pun keputusan mahkamah minggu depan, yang paling penting ketidakadilan mesti diubah dalam pilihan raya umum akan datang.

"Penting untuk kita tawan Putrajaya. Saya yakin. Kita mesti berada di pihak yang benar dalam sejarah," tambahnya.

Terus optimis berhubung keputusan 9 Januari ini, Anwar berkata, beliau terus menyusun jadualnya seperti biasa, termasuk menghadiri pelbagai program prodemokrasi di luar negara pada minggu depan.

"Itu rancangan. Jadi tak jadi, tawakal. Kita mesti maju," katanya.

Anwar sekarang dalam rangka jelajah seluruh negara yang dilihat bertujuan untuk menggerakkan seramai mungkin rakyat menghadiri perhimpunan "Bebas Anwar 901" Isnin ini.

Polis telah membenarkan Pakatan Rakyat meneruskan perhimpunan ‘Bebaskan Anwar' di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, di mana keputusan perbicaraan kes liwat terhadap ketua umum PKR itu akan diumumkan Isnin ini.

Sementara itu, naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, orang ramai perlu hadir dalam perhimpunan menyokong Anwar Isnin depan kerana beliau merupakan "simbol keadilan".

"Terima kasih pada polis sebab beri permit, tapi tak beri padang (untuk berhimpun). Ramai nak hadir," katanya dalam ceramah yang sama.

901: Saya akan hadir, ahli terserah - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 6 Jan: "Saya akan hadir, dan untuk ahli PAS pula, terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini.

Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily.

Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.

"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.

"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur.

"Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.

Bersama Presiden

Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.

Zalim kepada mahasiswa

Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.

"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.

"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.

"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya.

Anwar amat yakin Pakatan akan rampas Putrajaya

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat jarang bercerita mengenai anak lelaki beliau, Ehsan yang kini menuntut di peringkat sarjana di sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Ketika diwawancara Malaysiakini semalam, Anwar bagaimanapun terus membuka bicara dengan menceritakan telatah anak lelaki tunggalnya itu yang kini berada di dalam negara untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anaknya.

anwar ibrahim interview with malaysiakini 4Dengan berjenaka, Anwar mengambil peluang itu untuk menceritakan mengenai Ehsan yang telah dijadikan sebagai modal untuk menyerang beliau berhubung perbicaraan kes Liwat II yang bakal diputuskan minggu depan.

Awal-awal pagi lagi anaknya itu sudah mengajaknya untuk bersenam, kata Anwar yang mengharungi jadual sibuk saban hari sehingga beliau terpaksa pulang ke rumah pada jam dua pagi.

Mengulas mengenai keputusan mahkamah pada Selasa, Anwar turut melihat perkembangan itu memihak kepada Pakatan Rakyat.
Malah ada di kalangan penyokong dan pemimpin Pakatan yang berpendapat mereka akan meraih sokongan lebih besar sekiranya mahkamah memutuskan untuk memenjarakan Anwar, kata ahli parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Walau apa jua keputusan 9 Januari, Anwar dengan penuh optimis berkata Pakatan akan berjaya mara dengan lebih jauh dalam pilihan raya umum akan datang, malah "cukup untuk mengambil alih Putrajaya."

Negeri Perak, Negeri Sembilan akan tumbang ke tangan Pakatan, kata Anwar yang menambah beliau menghadapi saingan sengit BN untuk menembusi negeri Johor dan Melaka.

Namun, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di negeri tersebut, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah, kata Anwar lagi.

Dalam sedutan wawancara eksklusif Malaysiakini berikut, Anwar turut mengulas mengenai kedudukan menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mungkin menjadi masalah kepada PAS Kelantan berikutan faktor umur dan kesihatan.

Malaysiakini (MK): Negeri manakah yang menjadi satu masalah kepada Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang?

Anwar: Ianya negeri-negeri di Selatan – Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Lebih-lebih lagi Melaka dan Johor kerana kita menghadapi banyak masalah untuk menyampaikan (mesej kepada rakyat).

Bukannya orang tidak datang. Di Muar, 4,000 orang hadir, itu satu jumlah yang besar bagi Muar. Tapi ada pengecualian. Kita tidak boleh mendapat tempat berhampiran bandar, di mana orang boleh berhimpun. Seperti di Ledang, ada jumlah yang selesa tapi susah untuk masuk. Kita perlu bekerja lebih keras.

anwar ibrahim interview with malaysiakini 5Adakah kita lebih baik berbanding 2008? Sudah tentu. Bukan sahaja PKR, tetapi rangkaian DAP di kawasan bandar di Johor juga lebih baik sekarang. PAS telah memasuki kawasan baru. Jentera PKR selepas (ketua PKR Johor, Datuk Dr Chua) Jui Meng ambil alih benar-benar meningkat, dari segi sumber dan juga jentera, jauh lebih baik berbanding 2008.

Kemudian kita ada Sabah dan Sarawak. Di Sarawak ada kawasan majoriti Cina dan juga tiga atau empat kawasan kumpulan Dayak. Boleh kita dapat majoriti kerusi? Tidak. Tidak. Secara realistik, kita boleh dapatkan 30 atau 40 peratus daripada kerusi. Sabah itu cerita lain.

MK: Adakah Datuk Seri yakin dapat tawan Melaka dan Johor?
Anwar: Tidak, saya tidak kata begitu. Johor perlukan lebih banyak usaha. Di Melaka, kita akan dapat lebih banyak dan Negeri Semabilan lebih senang. Moodnya baik.

MK: Datuk Seri akan dapat tawan Negeri Sembilan?

Ya.

MK: Adakah Pulau Pinang seteguhnya akan kekal bawah Pakatan?

selangor dap congress 2011 lim guan engYa, kukuh. Bermakna (peluang) kita bertambah di Pulau Pinang. Itu maksud saya.

Fokus utama orang jenis PERKASA-Umno ialah untuk maki dan tuduh (ketua menteri, Lim) Guan Eng. Ia tidak menjadi. Saya sering ke Pulau Pinang. Tidak seperti tempat lain yang saya kunjungi sebagai pemimpin nasional, bila saya ke Pulau Pinang, saya duduk, saya pergi ke masjid. Tiada impak. Guan Eng telah berjaya dari segi itu.

Orang Melayu... tahu dia seorang Cina, dia seorang DAP. Saya tak anjurkan supaya mereka setuju dengan apa saja yang dia kata dan juga dasar DAP, tapi mereka lihat dia sebagai pemimpin yang berkredibiliti.

MK: Bagaimana dengan Kedah, Kelantan?

Anwar: Saya akan ke Kelantan hari ini (semalam, Khamis). Ada beberapa isu dan kerajaan negeri perlu menanganinya sekarang. Ia perlu dijalankan sekarang, Isu air. Isu tanah di beberapa kawasan. Saya akan bercakap dengan Tok Guru Nik Aziz (Menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) untuk nasihat supaya ini dapat diselesaikan segera.
MK: PAS juga telah memerintah terlalu lama di Kelantan. Mungkin rakyat rasa perlu bertukar?

pakatan ceramah shah alam 041211 nik azizAnwar: Tok Guru Nik Aziz ada cara dia sendiri. Orang kata dia tua, dia dah lama. Tapi dia bersih, tidak tipu kita dalam masyarakat dan sistem politik yang ada ramai sangat penipu yang merompak kekayaan...

Tapi orang kata dia semakin uzur dan dia patut merancang (untuk bersara), dan pasukan yang mewakilinya itu penting.

Saya akan berkongsi dengan dia beberapa pandangan secara tertutup hari ini kerana orang mahu lihat pasukan yang menyokong beliau dipersembahkan dalam pilihan raya umum ini. Ia mesti dilihat sebagai pasukan yang berkredibiliti.

5/01/12

Pakatan tak akan tumbang walaupun tanpa Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat tidak akan tumbang sekalipun dirinya dipenjarakan atas tuduhan liwat.

anwar ibrahim in seremban 5Anwar kini dalam rangka menjelajah seluruh negara menjelang keputusan perbicaraannya minggu depan walaupun polis telah memberi amaran supaya tidak berbuat demikian.

Anwar pada tahun 2008 dituduh mengadakan hubungan seks dengan bekas pembantu lelakinya. Keputusan perbicaraan ditetapkan pada hari Isnin ini dan jika didapati bersalah, ahli politik berusia 64 tahun itu menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Anwar telah menafikan pertuduhan itu dengan mendakwa ia satu komplot kerajaan untuk mencemarkan imej beliau.

Lewat petang semalam, Anwar memberitahu perhimpunan yang dihadiri kira-kira 500 penduduk sekitar Negeri Sembilan bahawa Pakatan Rakyat yang dianggota tiga parti pembangkang itu tidak akan tumbang walaupun tanpa dirinya.

"Anwar di dalam penjara, Anwar di luar penjara ... ia tidak penting. Yang paling penting, rakyat perlu tumbangkan Umno," katanya semasa ucapan berapi-api selam sejam.

Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PKR, secara tidak dijangka pada pilihan raya umum 2008 menafikan BN majoriti dua pertiga di parlimen yang telah memerintah selama setengah abad.
anwar ceramah in seremban 040112Pada pentas kecil sementara yang dibina di tempat letak kereta, Anwar berkata beliau tidak bersalah dan meminta penyokongnya untuk "menyelamatkan negara daripada terjerus dengan gejala rasuah dan salah urus kerajaan.

"Saya tidak bersalah. Saya mangsa fitnah ... tidak ada kes jika mereka berdasarkan fakta-fakta atau mematuhi undang-undang," katanya.

Selepas ucapannya itu, hadirin menjeritkan slogan seperti "Hidup rakyat" dan "Hidup Anwar”.

1/01/12

Polis Mengganas! Mahasiswa Dibelasah, Ditangkap Dalam Tragedi Berdarah UPSI

Kemaskini Tanjong Malim, 1 Jan : Tatkala seluruh dunia khususnya orang ramai di Malaysia sedang lena dibuai mimpi indah dan bergembira menyambut ketibaan tahun baru 2012 Masihi hari ini, lain pula ceritanya sekumpulan mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Awal pagi tadi, hampir 100 mahasiswa yang mengambil keputusan meneruskan aksi himpunan aman di hadapan UPSI semata-mata ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli, telah dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan beberapa siswa cedera parah dan luka di badan.

Tragedi berdarah itu menurut sumber berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi dan berpunca akibat ‘kedegilan’ kumpulan mahasiswa terbabit bersurai setelah diarahkan berbuat demikian oleh pihak polis.

Diberitakan hampir 20 anggota polis dan FRU telah dikerahkan turun untuk mengekang pergerakan mahasiswa selain puluhan lagi ‘Special Branch’ yang berkeliaran sekitar himpunan sejak petang semalam.

Dua buah trak FRU juga ditempatkan di sana sejak malam semalam.
Safwan koma dibelasah

Menurut sumber, tragedi berdarah awal pagi tadi berlaku setelah Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang tidak mengendahkan arahan pihak polis supaya bersurai.

Mahasiswa yang hadir dari sekitar Lembah Klang dan UPSI teguh berdiri di hadapan sekumpulan anggota FRU dan polis dengan mengangkat beberapa kain rentang dan melaungkan beberapa kalimah keramat mahasiswa.

Namun, seketika kemudian, setelah beberapa kali arahan pihak polis tidak didengari, pihak polis mula bertindak agresif dan meluru ke arah kumpulan mahasiswa terbabit.

Diberitakan kira-kira lapan orang polis dan ‘Special Branch’ telah memukul Muhammad Safwan namun berjaya ditarik keluar oleh rakannya.

Safwan, 22, yang juga Timbalan Presiden GAMIS terpaksa dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati beliau telah mengalami patah tulang di bahagian kiri pipi.
Safwan kini sudah sedar daripada koma dan sedang dirawat di hospital ditemani beberapa rakan mahasiswa.

Selain Safwan, beberapa siswa juga dilaporkan berdarah teruk dan cedera akibat dibelasah dengan kejam oleh pihak polis.
Tujuh belas siswa ditangkap

Sehingga kini, dilaporkan hampir tujuh belas mahasiswa telah ditangkap dalam pergelutan itu termasuk aktivis yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib, Adam Adli.

Antara yang dikenalpasti telah ditangkap polis adalah Timbalan Presiden PMIUM, Amir Nabil, Adam Adli (UPSI), Haziq Abdullah (KAMI), Syukri Razab (SMM), Shukri Kamaruddin, dan beberapa siswa Universiti Malaya, UniSEL serta kampus sekitar Lembah Klang.

Tiada tangkapan dilakukan terhadap mahasiswi namun dikhabarkan ada beberapa provokasi telah dilakukan pihak polis terhadap mereka.

‘Hadiah’ tahun baru yang ‘suprise’

Kain yang penuh dengan darah

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq dalam kenyataannya jelas kecewa dengan apa yang berlaku awal pagi tadi.

“Inilah hadiah tahun baru terbaik dan ‘suprise’ yang pernah saya terima.

“Saya kecewa dengan sikap polis yang seperti dicucuk ubat pelali, sangat-sangat bodoh ketika membelasah rakan-rakan saya tadi (pagi tadi).

“Dengan tidak sedarkan diri dan tanpa kawalan iman, ramai aktivis berdarah dibelasah dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Mengapa kami diperlakukan sebegini rupa? Adakah kami lebih teruk daripada ribuan lagi rakyat yang sedang berseronok malam ini? Mengapa mereka yang tidak diperlakukan sebegini rupa?”, soalnya yang turut menyatakan kesemua mereka ditahan di Balai Polis Tanjung Malim.

Beliau juga menyatakan beberapa wartawan yang sedang membuat liputan juga dipukul walaupun sudah ditunjukkan kad lesen kewartawanan mereka.

‘Manja’ bertukar kepada ‘benci’

Kumpulan mahasiswa tidak gentar berhadapan dengan sekumpulan FRU

Terdapat juga sesetengah pihak menyifatkan tindakan pihak polis awal pagi tadi adalah kesinambungan kesan daripada himpunan BEBAS 17 Disember lalu di Kuala Lumpur.

Ketika himpunan itu, pihak polis terlalu ‘bermanja’ dengan mahasiswa sehingga dikatakan membantu melancarkan perarakan mahasiswa sehinggalah terjadinya kejadian turun bendera di PWTC yang membuatkan pihak polis kebingungan.

Mungkin atas alasan itu, mereka tidak mahu kejadian serupa terjadi di UPSI, membelai mahasiswa dengan kasih sayang dan senyum.

Sejak awal petang lagi, trak FRU sudah ditempatkan di UPSI dan menjelang tahun baru, jumlah anggota ditambah kerana yakin mahasiswa pasti tidak akan berganjak walaupun amaran sudah dikeluarkan semalam.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3