----------------$$$$----------------

InstaForex

13/03/10

KPN Musa Hassan wajar Letak Jawatan!!!!


Kita seperti sedia maklum tentang KPN kita ni Musa Hassan.. Amat wajarlah KPN kita ni letak jawatan pun. Dah lama dah lagipun ramai lagi yang layak untuk memegang jawatan KPN.


Apa pun kita tahu Musa Hassan banyak terlibat salah guna kuasa. Kontrak disambung bukan sebab bagusnya menjadi KPN tapi bagusnya menjadi benteng untuk mempertahankan UMNO untuk terus berkuasa.


Mari kita lihat sepanjang Musa Hassan jadi KPN. Imej polis semakin tercalar bukan lagi mesra rakyat. Saya berharap agar KPN baru dilantik yang lebih adil , tegas dan mesra rakyat. Ini yang kami mahukan sebagai sebagai rakyat seorang KPN yang bersih tanpa ada salah guna kuasa.

Saya juga ingin melihat agar Polis menjadi badan bebas tanpa campur tangan politik dalam membuat sebarang tindakan. Isu politik banyak menyebabkan polis yang berada dibawah berasa tertekan dengan arahan pihak atasan yang banyak melakukan kekasaran pada rakyat. Lihatlah apa terjadi di Kampung Baru. Rakyat dipukul tanpa belas kasihan.


Bukanlah kita ingin menyalah semua anggota polis, mereka menjalankan tugas untuk menjaga keamanan negara kita malaysia dan menerima gaji untuk menyara keluarga. Yang menjadi mangsa polis bawahan. Semua angguk2 geleng2. Apa nak buat nak hidup tak angguk kene tempeleng tak geleng kene guling.


Rakyat malaysia amat berharap agar KPN baru di lantik yang lebih amanah, bersih, adil dan mesra rakyat. Ini yang kami mahukan. Wajarlah KPN yang ada letak jawatan sebab tidak menjalankan seperti yang rakyat inginkan.

Dibelasah FRU, PKR buat laporan Suhakam


Pemuda PKR membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan salah laku polis ketika sambutan ulangtahun kedua Pakatan Rakyat di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Ahad lalu.


Memorandum bantahan itu diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam oleh ketuanya, Shamsul Iskandar yang diiringi sepuluh ahli parti itu, semalam.


Menurut Shamsul, lebih kurang 60 anggota polis dan 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) secara fizikal menganggu kelancaran perhimpunan mereka tanpa alasan yang kukuh.

“Mereka (polis) menyerbu tanpa amaran. Tiada notis sama ada bertulis ataupun lisan diberikan sebelum itu, “ kata Shamsul yang juga mendakwa tujuh orang termasuk seorang wanita cedera dalam kejadian berkenaan.


Menurut seorang mangsa, Roslan Mat, dia dibelasah dan digari sebelum ditahan.


“Apa kesalahan saya? Adakah saya merogol, merompak atau membunuh?” soal beliau kepada Siva Subramaniam.


Roslan juga mendakwa dia dibawa ke ibu pejabat polis wilayah Dang Wangi dan ditahan lebih lima jam dan dipaksa membuat pengakuan yang dia menghalang polis daripada menjalankan tugas.


Roslan, 49 berkata jika Pakatan Rakyat tidak dibenar menganjurkan sebarang perhimpunan, perkara yang sama sepatutnya dikenakan ke atas Barisan Nasional.


Seorang lagi mangsa, Tahir Said, melakonkan semula kepada Siva Subramaniam bagaimana dia mendakwa anggola FRU menyerangnya dengan belantan dan perisai.


“Sebaik sahaja diserang, saya tidak boleh bernafas kerana saya ada penyakit asthma,” kata Tahir yang cedera pada bahagian tangan ketika kejadian malam berkenaan.


Dalam memorandum yang diserahkan, Shamsul menggesa Suhakam supaya mengadakan siasatan awam berhubung perkara itu.

10/03/10

Gabungan Melayu Penakut Malaysia?

Takut berdebat hingga buat laporan Polis...malunya...

Seluruh rakyat Pulau Pinang jadi saksi !!! BAHAWA:


Jais : Hanya layak jadi Presiden Gabungan Pengampu 'Menikus' Semenanjung !


Rizal : Hanya layak jadi Yang Dipertua Dewan Perniagaan 'Menikus' Malaysia Pulau Pinang !


Norman : Hanya layak jadi Ketua Pergerakan Pemuda 'Menikus' Malaysia !




Posted by Swadaya Rakyat


Sementara itu, Ketua Pemuda Umno P.Pinang Norman Zahalan (berbaju merah terpaksa bersalam dengan aktivis SAMM) cuba menggagalkan debat perdana yang dijangkakan diadakan apabila bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Nibung pukul 11.00 pagi ekoran mempamerkan nama Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Norman Zailan bersama dua lagi ahli panel sedangkan beliau tidak mengatakan persetujuan untuk hadir.


Exco Angkatan Muda Keadilan Rakyat Malaysia (AMK), Zulkifli Ibrahim menegaskan, tindakan Umno membuat laporan polis kononnya kain rentang berbaur perkauman dan sektretariat Pemuda Pakatan Rakyat tidak berdaftar merupakan sikap kebudak-budakan.


Walhal tambahnya, Norman dijemput cara terhormat bersurat dan bersemuka di pejabatnya maka menjadi tanggungjawabnya membalas surat berkenaan bukan mengoyak di hadapan media.


"Bila kita jemput bersurat balaslah surat itu bukan buat laporan kononnya kita mempergunakan namanya dalam debat berkenaan. Sikap itu menggambarkan kecetekan fikiran Norman sendiri," ujarnya.


Kain rentang yang dipamerkan di kebanyakan persimpangan jelasnya, memang tertera tiga gambar iaitu Norman, Jais Karim dan Rizal Faris Mohideen kerana bagi penganjur selagi tidak menerima surat mengatakan tidak dapat hadir selagi itulah beranggapan mereka bersetuju untuk bersama berdebat dengan tajuk ‘Melayu Pulau Pinang: Antara Realiti dan Provokasi’ bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya.


Bagi pengetahuan Norman, mana ada kenyataan yang mengaitkan perkauman dalam tulisan di kain rentang berkenaan dan mendesak Norman menambahkan ilmu pengetahuan mana ada sekretariat didaftarkan kerana ia hanya badan pengelola sementara dalam penganjuran sesuatu majlis.

"Jelas sekali apa yang dibuat oleh Pemuda Umno Pulau Pinang bagaikan budak-budak sehingga tidak tahu langsung undang-undang pertubuhan. Sebab itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin melantik orang yang akalnya sempit untuk memudahkan beliau mengarahkan sesuatu bagi kepentingannya " tegas beliau kesal.

9/03/10

Mesti Baca !!!-Zul Nordin yang saya kenal

oleh:


Saya mula mengenali Zulkifli Nordin sejak isu Aishah Bukhari, gadis Melayu dari Johor yang keluar Islam dan menyertai Kristian kerana mengikut kekasihnya. Ketika itu Zulkifli Nordin adalah Setiausaha Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Kerana kedudukannya di situ, Masjid Jamek menjadi pusat kegiatan menangani isu murtad itu. Sejak itulah, saya mula kagum dengan keberanian Zul.


Namun, hari demi hari, sebagai wartawan keyakinan dan kekaguman saya kepada beliau mula terhakis. Ia bermula sejak dia mengendalikan isu Aishah Bukhari lagi. Kenyataan, bahasa yang digunakan, fakta yang diberikan sangat hebat. Namun, di dalam hati kecil saya mula tertanya-tanya...betulkah segala kenyataan ini.





Yang paling ketara, kenapa beliau begitu berani membuat kenyataan yang bersifat hasutan tetapi beliau tidak pernah dilaporkan dipanggil atau disiasat oleh polis. Padahal apa yang beliau nyatakan dalam ucapan dan kenyataannya amat sensitif kepada hubungan kaum di negara ini ketika itu.


Sebagai wartawan yang sudah acap kali disiasat polis kerana laporan hasutan dan fitnah, saya rasa faham benar apakah dia hasutan dan fitnah ini.


Namun saya sejukkan hati...mungkin dia lebih tahu dan apa yang dinyatakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang kerana dia peguam.


Kes Arsenik Anwar


Lepas isu Aishah Bukhari, datang isu Anwar Ibrahim. Zul telah dilantik sebagai salah seorang peguam Anwar. Ekoran itu, keraguan saya terhadap Zul terlerai begitu sahaja. Tentu Anwar dan pasukannya lebih kenal Zul dari saya yang hanya seorang wartawan cabok. Tentu beliau betul. Itulah yang bermain di kepala saya ketika itu.


Namun, hari demi hari kes Anwar berjalan...keraguan terhadap Zul datang kembali. Ceramah yang beliau berikan sangat ramai pendengar dan penontonnya. Namun, kenyataan-kenyataan yang beliau buat dalam ceramahnya mula meragukan saya.


Misalnya, apabila beliau bercakap soal Anwar terkena Arsenik. Saya masih ingat lagi kata-kata Zul dalam ceramahnya. Kalau tidak silap di sekitar Kampung Baru pada tahun 1998.


"Tuan-tuan, semalam saya ke Sungai Buluh bertemu dengan Datuk Seri Anwar. Bagi saya Anwar sah terkena racun Arsenik. Apabila saya pegang kepala Datuk Seri Anwar, penuh tangan saya dengan rambut beliau tuan-tuan. Rambut beliau mula gugur. Saya yakin lepas ini semua rambut Anwar akan gugur...." Begitulah lebih kurang kata-kata Zul Nordin dalam ceramahnya itu.


Pendengar sangat hiba dengan Anwar. Terkena Arsenik.


Namun, sebagai wartawan lain pula yang saya rasa. Betul ke ni...bagaimana dia boleh pegang kepala Anwar?, hati saya terdetik. Lalu sebagai pengarang, saya arahkan wartawan, jangan tulis berita itu. Tidak masuk akal.


Kesangsian kepada Zul semakin bertambah dengan cerita-cerita dari kartunis Zunar yang kebetulan ketika itu sentiasa mendapat surat-surat dari Anwar dari dalam penjara. Ketika itu, Harakah siarkan surat-surat Anwar dari penjara dalam kolum "Warkah Dari Penjara". Ia berupa surat-surat yang ditulis Anwar sendiri di atas pelbagai jenis kertas termasuk di atas kertas tisu dari dalam penjara dan diseludupkan keluar kepada kami di Harakah.


Zunar juga mendapat maklumat yang sama...Zul Nordin 'melampau' atau exegerate dalam ucapan dan tindakannya.


Ekoran itu, kami sepakat, berita berasaskan kenyataan dan tulisan Zul Nordin tidak boleh disiarkan dalam Harakah kerana kebolehpercayaannya amat rendah.


Dengan MB Terengganu


Selepas pilihan raya 1999, PAS telah menang di Terengganu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Menteri Besar. Pada satu hari, beberapa peguam telah diamanahkan untuk membuat satu perbentangan kepada beliau di pejabatnya dekat Kuala Terengganu. Salah seorang dari mereka adalah Zulkifli Nordin.


Untuk membuat perbentangan itu, mereka telah berbincang sehari suntuk di Kuala Lumpur sebelum membuat perbentangan pada keesokan harinya. Maknanya, kesemua mereka sentiasa bersama untuk membuat persiapan itu. Mereka berlepas ke Kuala Terengganu pada pagi esoknya dan terus ke pejabat MB Terengganu.


Di pejabat MB, apabila bersalam dengan Abdul Hadi, Zul Nordin berkata, "Tuan Guru, Datuk Seri Anwar kirim salam. Semalam saya jumpa beliau," kata Zul Nordin kepada MB Terengganu itu.


Tercengang-cengang semua rakan-rakan peguamnya apabila Zul berkata demikian kepada MB Terengganu itu. Bila pula 'mamat' ni jumpa Anwar. Semalam sehari suntuk mereka bersama.


Berpaling arah


Bilakah Zulkifli Nordin mula berpaling arah. Dalam hal ini saya bersetuju degan rakan penulis saya Mohd Sayuti Omar. Menurut Sayuti, Zul Nordin mula meninggalkan PKR sejak tahun 2009 lagi apabila Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzil menarik balik petition pilihan rayanya terhadap Zul.


Ketika itu, Zul telah dipetition kerana gagal membuat laporan kewangan perbelanjaan beliau dalam pilihan raya umum 2004. Ia menjadi syarat wajib bagi SPR. Mana-mana pihak yang tidak membuat laporan kewangan pilihan raya sebelumnya tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya berikutnya. Ekoran kegagalan itu, calon BN telah membuat petition. Zul juga mempunyai masalah besar kerana dia juga didakwa cuba membuat laporan palsu dalam kes ini.


Menjelang mahkamah membuat keputusan, tiba-tiba calon BN itu telah menarik balik petitionnya. Ekoran itu selamatlah Zul dan kekallah beliau sebagai anggota Parlimen.


Walaupun masih anggota Parlimen PKR, namun tindak tanduk Zul bukan lagi anggota Parlimen PKR. Banyak kenyataan dan tindakan beliau sudah selari dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat lagi. Secara tidak rasmi, dia bagi saya sudah menjadi anggota Parlimen Umno. Apatah lagi, berita angin melaporkan beliau telah bertemu dengan Datuk Seri Najib sebelum itu. Saya tidak berani untuk berkata, adakah beliau bertemu dengan Rosmah atau tidak.


Kemuncak tindakan Zul Nordin adalah selari dengan Umno dalam isu nama Allah. Ketika PAS, sebagai sebuah parti Islam yang dipimpin oleh ulama berkata orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah kerana sememangnya nama Allah sudah digunakan oleh Kristian khasnya di Timur Tengah, Zul mengambil sikap selari dengan Umno. Sikap ini bertentangan dengan sikap PKR dan PAS sendiri.


Ia tidak menjadi masalah lagi kerana di dalam PAS juga mempunyai pendapat yang berbeza sebelum kata sepakat dicapai. Tetapi, apabila Zul membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen PAS dari Shah Alam, Khalid Samad ekoran isu nama Allah ini, dia sudah melampaui batas. Semua pihak mengatakan Zul Nordin sudah melampau.


Saya menyokong penuh kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, "Saya berdoa agar Zul keluar PKR atau dipecat oleh PKR."


Dan kini PKR sudah memecat Zulkifli Nordin. Sebagaimana dijangka, beliau diangkat menjadi hero oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia dan diberikan laporan muka depan akhbar itu.


Saya selalu berkata kepada pemimpin PAS, "kalau kenyataan tuan disiarkan oleh Utusan, apatah lagi di muka depannya, percayalah itu bukan publisiti yang tuan perlukan. Itu sebenarnya publisiti buruk dan percayalah ia akan menyusahkan tuan dan PAS."

Petikan dari:http://www.harakahdaily.net/

Tolak pilihan raya PBT, Najib takut hilang kuasa

PETALING JAYA, 9 Mac: Mungkin takut hilang kuasa politik dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak tuntutan dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu untuk mengadakan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan.


Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yakin bahawa Najib sedar pengaruh politik Umno di negeri-negeri terbabit kian rapuh.

“Najib tidak akan buat pilihan raya dia dua negeri ini kerana dia yakin bahawa mereka akan tetap kalah di kebanyakan kawasan, walaupun mereka selalu kata bahawa mereka sudah mulai kuasai kedua-dua negeri ini,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.


Keengganan Najib menerima tuntutan Selangor dan Pulau Pinang itu menurut Badrul, sekaligus mencerminkan bahawa kerajaan pimpinan Najib tidak bercita-cita memulihkan sistem demokrasi tanah air.


“Kalau demokrasi dapat menghilangkan kuasa politik mereka, maka rejim ini akan cuba sedaya-upaya tolak apa jua sistem pemilihan (termasuk) pilihan raya kerajaan tempatan,” jelasnya.


Badrul berkata, rakyat sepatutnya dibenarkan memilih ahli majlis PBT mereka sendiri kerana mereka membayar cukai.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa maksud ‘politiking’ yang cuba dielak Najib itu bermaksud Umno BN tidak mahu rakyat didedahkan dengan isu royalti minyak, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), misteri pembunuhan Altantuya, masalah ekonomi dan sebagainya.


Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang kerana berani menuntut diadakan pilihan raya kerajaan tempatan atas nama demokrasi.


Cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan itu kembali timbul apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengutuskan sepucuk surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof supaya menguruskan proses pilihan raya ahli majlis bagi mengisi PBT.


Ianya membabitkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).


Begitu juga dengan inisiatif Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengutuskan surat tuntutan yang sama kepada SPR.


Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.


Ketiadaan pilihan raya kerajaan tempatan itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.


Pakatan Rakyat sebelum ini meletakkan pilihanraya kerajaan tempatan dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-12 lalu sebagai salah satu perubahan yang akan dibuat.

Datuk Mahfuz Omar -UMNO berlindung belakang ponggong saiful ??









8/03/10

Pakatan bantah pencabulan hak asasi manusia oleh BN


PETALING JAYA, 8 Mac: Para pimpinan Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan pihak polis menghalang majlis ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam akan mengingatkan kembali rakyat kepada era Reformasi 1998.




Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan itu, mereka berkata, rakyat berhak berhimpun secara aman.


Mereka juga berhak untuk mendengar pemimpin mereka berucap dan memberi pandangan tentang hal Negara.


"Ini adalah hak yang asasi dan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Malaysia dan juga diiktiraf di bawah piagam Bangsa Bangsa Bersatu," kata kenyataan yang ditandatangani oleh Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum PKR dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.


Mereka dipercayai mengulas tindakan kira-kira 50 anggota FRU yang menyerbu perhimpunan Pakatan Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman malam tadi ketika Naib Presiden PKR, Azmin Ali sedang berucap.


Akibat serbuan itu, tiga petugas cedera dan membuat laporan polis.


Bagi mereka, di Malaysia hari ini pihak polis telah bertindak menidakkan hak tersebut dan menggunakan kekerasan untuk memecahkan perhimpunan aman ini.


Permit untuk berhimpun secara aman tidak diberi dan kalau pun diberi dengan syarat yang tidak munasabah. Lagi pun permit ini ditarik balik tanpa alasan yang munasabah.


"Adalah jelas pihak polis telah bertindak di atas arahan dan kehendak politik kerajaan BN dan bukan berasakan faktor keselamatan Negara," kata kenyataan itu.


Oleh itu, katanya, Pakatan rakyat akan membawa beberapa kes penyalahgunaan kuasa Polis ini kepada SUHAKAM untuk penelitian dan tindakan badan tersebut.


Pakatan Rakyat juga akan menyediakan “Dosier” yang lengkap mengenai pencabulan kerajaan Malaysia terhadap hak asasi rakyat Malaysia, bertentangan dengan janji dan persetujuan mereka kapada Prinsip Hak Asasi di bawah piagam Bangsa Bangsa Bersatu untuk dibentangkan kepada International Human Rights Council dan juga kepada European Union Human Rights Council.


Wakil-wakil Pakatan Rakyat juga akan ke ASEAN, New York dan Brussels tidak lama lagi untuk tujuan ini, tambah kenyataan itu.


Peguam minta Majistret tangkap saksi kerana berbohong

PULAU PINANG, 8 Mac: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu dan sembilan yang lain di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang hari ini bertukar menjadi panas apabila peguambela KEPADA Mohamad Sabu meminta Tuan Majistret menangkap saksi pendakwa iaitu jurugambar polis.


Saksi pendakwa tersebut iaitu Korporal Khairi yang menjadi saksi pendakwa yang pertama memberikan keterangan bahawa pada hari kejadian (9/12/2007) beliau telah mengambil gambar di tempat kejadian iaitu di Tol Bukit Tambun dan beliau telah mengambil 32 keping gambar kesemuanya.


Saksi pendakwa yang ketiga Lans Korporal Kamarudin pula menyatakan beliau juga mengambil gambar tetapi kesemua gambar yang beliau ambil adalah gambar-gambar di IPK Seberang Serai Selatan.


Semasa menyoal balas Lans Korporal Kamaruddin, Hanipa bertanya adakah beliau bersetuju bahawa salah satu gambar yang beliau ambil di IPK itu (gambar orang bersembahyang) adalah juga gambar yang sama dengan gambar yang diambil oleh Korporal Khairi dan saksi itu menjawab beliau bersetuju.

Hanipa seterusnya bertanyakan saksi itu dengan soalan berikut :-


Hanipa: Apabila Korporal Khairi menyatakan gambar itu (gambar yang sama itu) diambil di Tol Bukit Tambun manakala kamu pula mengatakan gambar itu diambil di IPK bermakna salah seorang dari kamu berbohong di Mahkamah?


Kamarudin: Diam.


Hanipa: Saya katakan sekali lagi salah seorang dari kamu pasti telah berbohong ! Kamu atau Korporal Khairi yang berbohong?


Kamaruddin: Korporal Khairi yang berbohong!


Sebaik sahaja saksi itu menyatakan Korporal Khairi yang berbohong maka Hanipa meminta Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah untuk menangkap saksi pendakwa tersebut kerana saksi
tersebut telah membuat kesalahan di bawah seksyen 191 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu di Mahkamah.


Hanipa berhujah di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah seorang Majistret boleh menangkap atau mengarahkan seseorang untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan di hadapan Majistret.


Jelas saksi polis ini telah memberikan keterangan yang palsu dan oleh itu, hujah Hanipa, majistret boleh menangkap saksi tersebut.


Pihak Pendakwa meminta Mahkamah menangguhkan keputusan permohonan peguambela itu hanya setelah kesemua keterangan pendakwaan diberi.


Pendakwa seterusnya berhujah isu tersebut adalah melibatkan satu keeping gambar sahaja dan meminta Mahkamah tidak menangkap saksi tersebut.


Hanipa menjawab bahawa sama ada ianya melibatkan satu keping gambar atau banyak gambar ianya tidak penting. Apa yang penting adalah saksi pendakwa telah berbohong di Mahkamah.


Hanipa berhujah jika menggunakan hujah pendakwa, adakah pendakwa ingin menyatakan bahawa tidak salah kalau seorang mencuri atau rasuah RM1.00 tetapi hanya salah jika jumlahnya RM1000.00? RM1.00 atau RM1,000.00 ia adalah rasuah.


Oleh itu sama ada satu gambar atau banyak gambar jika saksi berbohong ia adalah berbohong dan ia adalah satu kesalahan jenayah.


Majistret kemudiannya menangguhkan keputusan permohonan peguambela pada esok pagi.


Mohamad Sabu dan sembilan yang lain didakwa di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan di atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Perbicaraan ditetapkan pada 8, 9 dan 10 Mac.


Mohamad Sabu dan 9 yang lain diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusuf manakala pendakwa diwakili oleh Tuan Suhaimi dan Yusaini Amir.

PANAS!!!! Mohsin janji tak sokong BN?

Satu SMS yang mendakwa bahawa ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri - yang keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas - memberi jaminan tidak akan menyokong BN, kini disebar di kalangan pemimpin akar umbi Pakatan Rakyat di Perak.


Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang berkata, SMS tersebut juga menjelaskan sebab Mohsin keluar parti pada Rabu minggu lalu.


“Beliau ada hantar mesej pada beberapa orang yang dekat dengannya (di Bagan Serai). Beliau cuba beri perjelaskan sebab beliau mengambil tindakan (keluar parti) itu.

“Kononnya, walaupun sudah keluar parti, beliau memberi jaminan tidak akan menyebelahi BN (di parlimen),” kata Ahmad yang juga bekas naib presiden dan pesuruhjaya PAS Perak.


Minggu lalu, selepas mengisytiharkan keluar parti, Ahmad memberikan tempoh tujuh hari kepada Mohsin - sehingga 10 Mac ini - untuk kembali kepada PKR atau mengosongkan kerusi parlimennya.


Ahmad dilaporkan berkata, jika Mohsin enggan memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari supaya Allah menghukumnya kerana khianat pada perjuangan.


Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, beliau telah melihat SMS tersebut dan akan memeriksa ketulenannya dahulu, sama ada benar-benar dihantar daripada Mohsin.


Bagaimanapun, tambahnya, sekiranya SMS itu tulen, Mohsin masih perlu mengumumkan perkara tersebut kepada orang awam, termasuk menyatakan sokongannya kepada Pakatan, walaupun bukan lagi sebagai ahli parti.


“Beliau kena umumkan di Bagan Serai, kena panggil pihak media. Saya boleh jadi pengendali majlis itu,” kata Ahmad yang memberikan laluan kepada Mohsin di Bagan Serai setelah dua penggal menjadi calon pembangkang.


Sementara itu, Ahmad juga berkata, bantahan supaya Mohsin mengosongkan kerusi itu terus berkumandang melalui demontrasi di kawasan parlimen tersebut.


Semalam, katanya, sekurang-kurangnya 400 penduduk setempat mengadakan demonstrasi di sebuah rumah aktivis PAS di Alor Pongsu dalam kawasan tersebut.


Sementera diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyelar tindakannya mahu menganjurkan solat hajat itu, Ahmad berkata, menteri itu “pandai-pandai tafsir” sendiri kenyatannya.


“Beliau kena faham, saya tidak ada kata (minta) dibinasakan atau dihancurkan (Mohsin). Sebelum memberi komen kena pastikan betul-betul (kenyataan saya).


“Saya minta Allah menghukum. Boleh jadi dalam bentuk ketakutan, rasa bersalah sehingga akhirnya beliau meletakkan jawatan. Allah Maha Tahu apa yang setimpal,” katanya.


Semalam, Jamil dilaporkan berkata, tindakan menganjurkan solat hajat supaya Allah menurunkan bencana kepada golongan seagaman adalah berdosa dan “menyalahgunakan agama demi kepentingan politik”


Pakatan Rakyat negerinya lebih baik dari BN

Negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat menunjukkan prestasi yang lebih memberansangkan berbanding negeri-negeri bawah BN, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pakatan hari ini.


Ini berdasarkan beberapa petunjuk prestasi ekonomi yang dinyatakan, termasuk jumlah pelaburan, bilangan projek yang diluluskan serta program kebajikan yang dijalankan di negeri masing-masing, khususnya bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah Tamil dan Cina.


Tumpuan diberikan kepada negeri Selangor yang mencatat jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 bilion tahun lalu.

Negeri ini dijangka mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 7 peratus tahun ini, berbanding penguncupan sebanyak 3.87 peratus pada 2009.


"Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya," kenyataan itu dipetik.


Selangor turut menggariskan peruntukan sebanyak kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sepanjang 2010.


"Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari kerajaan negeri mahupun sumbangan individu," menurut kenyataan tersebut.


Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; setiausaha agung DAP yang juga ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; dan naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.


Sementara itu, prestasi di Pulau Pinang pula digambarkan melalui kejayaan negeri itu merekodkan lebihan belanjawan sebanyak RM88 juta, selain kelulusan sebanyak 104 projek industri.


"Kerajaan negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul.


"Bantuan kewangan kepada SAR berjumlah RM97,000 setiap sekolah, RM60,000 setiap sekolah Cina dan RM63,000 setiap sekolah Tamil," kata kenyataan tersebut.


Negeri itu juga turut mendakwa berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam masa satu tahun serta menjamin bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap keluarga.


Sementara itu, Kedah pula menggariskan jumlah pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta sehingga September tahun lalu.


"Kini dengan keluasan 1,000 hektar, kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai setiap tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu setiap tan metrik.


Dalam pada itu, Kelantan pula menyenaraikan kejayaannya mengadakan program kebajikan, termasuk program Kifalah, Perbadanan Ladang Rakyat, dan juga pembangunan Bandar Baru Tunjung sebagai sebuah pusat komersil baru.


"Kerajaan negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan.


Selain itu PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990," menurut kenyataan itu lagi.


Kenyataan itu juga menyebut, rakyat di empat negeri berkenaan turut menunjukkan perpaduan kaum yang lebih kukuh walau berdepan dengan "masalah perkauman yang meruncing."


"Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat.


"Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," menurut kenyataan yang diedarkan biro komunikasi PKR itu lagi.

Polis 'cemari' ulangtahun Pakatan

Satu kekecohan berlaku sebentar tadi apabila polis cuba menyuraikan perhimpunan sambutan ulang tahun kedua, Pakatan Rakyat di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Lebih seribu penyokong yang menghadiri upacara berkenaan berang dan melaungkan slogan 'reformasi' sambil bertakbir.

Beberapa penyokong juga mencerca polis yang cuba mengagalkan ceramah yang sedang mereka ikuti.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan naib presiden PAS, Mahfuz Omar.

Turut dijadualkan berucap pada malam ini ialah Ketua Umum, PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 20 anggota polis bersama Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba kira-kira jam 9.50 malam dan terus menyerbu pentas ceramah ketika naib presiden PKR, Azmin Ali sedang berucap.

Apabila melihat kehadiran polis, Azmin tidak membuang masa dan terus 'menyapa' mereka.

"Tempat yang kita kumpul malam ini dimiliki oleh kerajaan Selangor, bukannya Umno ataupun (Datin Seri) Rosmah Mansor. Ini tanah persendirian, pemiliknya adalah MB (Tan Sri) Khalid Ibrahim.

"Kita kumpul sini dengan aman, Umno jangan takut (kepada) rakyat, polis marilah berkawan dengan rakyat," katanya.

Ceramahnya kemudian ditangguhkan ketika jawatankuasa "Majlis Ulangtahun Pakatan Rakyat' berbincang dengan pihak polis.

Pada masa yang sama dua truk FRU yang dilengkapi meriam air juga kelihatan berada di Kelab Sultan Sulaiman ini.

Selepas perbincangan kira-kira 15 minit, ceramah berkenaan dibenarkan diteruskan tetapi orang ramai diminta berpindah ke dalam bangunan kelab.

Pasukan polis dilaporkan terus berada di sekitar kawasan bagi memantau keadaan.

Azmin kemudiannya meneru

skan ceramahnya di sebuah bilik yang sesak dengan penyokong Pakatan Rakyat.

Kira-kira jam 10.25 malam, Anwar tiba bersama isterinya, Datin Seri Wan Azizah.

Ketika ceramahnya Azmin mendakwa "tadi ada beberapa pemimpin dibelasah oleh polis".


PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3