----------------$$$$----------------

InstaForex

8/05/10

'Rosmah derhaka anggap dirinya Wanita Pertama'


Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin hari ini menggesa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana merujuk dirinya sebagai “wanita pertama” atau "first lady" - satu tindakan yang dianggap menderhaka.


“Kenyataan ini dilihat tidak wajar dikeluarkan oleh beliau kerana jika merujuk kepada Perlembagaan Negara, Artikel 32, gelaran itu sepatutnya diberikan dan dipegang oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung selaku isteri kepada Pemimpin Tertinggi Negara.





“Gelaran ini sama sekali tidak harus menjadi pertikaian dan juga hasrat bagi sesiapa sahaja untuk memilikinya kerana ia jelas tertulis dari sudut Perlembagaan Negara,” katan Zuraidah (kanan) dalam kenyataan media hari ini.


Zuraidah merujuk kepada iklan dua muka surat yang disiarkan di New York Times, bulan lalu yang mengucapkan tahniah kepada “Rosmah, Wanita Pertama Malaysia” sempena dikurniakan Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.


Iklan 16 April itu juga dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama yang mendapat perhatian blog Malaysia Today, yang dikendalikan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin yang kini diburu kerajaan.


Laman web itu juga melaporkan iklan yang dianggarkan bernilai RM10 juta itu juga memuatkan gambar besar Rosmah dengan tajuk “Malaysia berbangga dengan anda”.


Menurut Bernama, kos berkenaan ditampung oleh “keluarga dan sahabat Rosmah di Amerika dan Malaysia”.


Zuraidah berkata sikap Rosmah yang kerap mengganggap dirinya sebagai “The First Lady” bukan sahaja dilihat sesuatu yang tidak sopan tetapi menunjukan beliau seolah-olah cuba membelakangi Istitusi Diraja.


“Amat dikesali apabila seorang isteri Perdana Menteri begitu dangkal dan cetek fahaman politiknya sehinggakan bagi menaikkan diri, beliau sanggup membelakangi Raja Permaisuri Agung dan sekaligus dilihat sebagai satu tindakan yang menderhaka.


“Kami ingin menasihati kepada semua rakyat agar tidak mencontohi kelakuan biadap sebegini semata-mata ingin meraih sokongan politik sehingga sanggup melanggar Perlembagaan Negara,” katanya lagi.


Rosmah juga didesak supaya tidal lagi menggunakan gelaran tersebut di mana-mana sahaja beliau berada.


Lagi remaja ditembak, konstabel digantung tugas


Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.


Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun.


Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.


Cedera parah


Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.


"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.


Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.


Osman berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.


"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.


"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."


Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.


"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.


"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.


Bapa terkilan


Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.


Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.


Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.


"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.


"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya.

Mufti diminta nyatakan hukum judi bola sepak

KOTA BHARU, 8 Mei: Para mufti di negara ini diminta mengulas dan menyatakan hukum berhubung cadangan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 khususnya dari sudut agama Islam.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata sekiranya terdapat seorang mufti mengulas dari sudut hukum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah meminum arak sebelum ini sebagai haram, PAS dan rakyat meminta mufti mengulas dari sudut yang sama berhubung perkara itu.


Katanya, mufti jangan berdiam diri dalam soal itu kerana sudah jelas dan nyata Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui ayat yang sama bahawa minum arak dan berjudi adalah haram dan dosa besar.

Katanya lagi, keputusan kerajaan itu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan ianya telah disiarkan oleh televisyen.


Kelmarin, Awang Adek dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.


Tambahnya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.


Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.


“Saya sebenarnya tidak menonton televisyen, sudah hampir 10 tahun saya tidak menontonnya, saya mengetahuinya melalui satu sms.


“Antara yang terkandung dalam sms itu, apa sudah jadi Datuk? Awang Adek dah lulus lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010, kononnya tidak mahu adanya aktiviti judi haram tanpa lesen,” ujar Husam.


Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga seterusnya membertahu, malang sekali rakyat Kelantan khususnya sekiranya masih memberi undi kepada Awang Adek sehingga tidak tahu perjudian tetap haram biarpun berlesen.


Sambungnya, perkara yang sedemikian (haram dianggap halal) akan berlaku dan terus berlaku sekiranya Umno memisahkan agama dengan politik.

“Adakah rakyat di negara ini masih memandang remeh terhadap keputusan kerajaan ini apa lagi ianya membabitkan soal agama, tak rasa sensitif dan jijik ke terhadap tindakan itu?


“Malang sungguh kita sekiranya membiarkan perkara ini berlaku,”ujarnya lagi.


Husam memberitahu, berikutan keputusan kerajaan meluluskan lesen tersebut, ada seorang wanita Cina menghubunginya supaya bertindak menahan agar lesen tersebut tidak berjaya dilaksanakan.


Katanya, menurut wanita Cina itu lagi, masyarakatnya akan lebih kemaruk sekiranya aktiviti itu dibiarkan sehingga akan berlaku huru hara dalam keluarga.


“Kalau orang Cina boleh berfikiran sedemikian, kenapa kita orang Islam memandang remeh serta turut menyokong apa yang dibuat oleh kerajaan BN,” ujarnya lagi.

Bantuan Kerajaan Pakatan tanpa kira parti politik

BUTTERWORTH, 8 Mei: Timbalan Ketua Menteri, Dr Mansor Othman berkata, bantuan yang disampaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tidak memilih latar belakang politik sebaliknya terus kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, kerajaan negeri akan memberikan bantuan kepada sesiapa pun tanpa mengira latar belakang politik tetapi atas dasar kemiskinan berbanding di era kepimpinan Umno dahulu.


Lazimnya, kata beliau PUZ akan memberikan bantuan kepada mereka yang mengalami kesukaran hidup atau mempunyai keluarga yang daif.


"Inilah agenda Kerajaan Pakatan Rakyat berlainan dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang asyik mementingkan politik sempit dengan membiarkan orang Melayu berada di paras kemiskinan untuk menyenangkan mereka menyalurkan bantuan ketika pilihan raya kecil atau umum," tambahnya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah PUZ di Jalan Mengkuang, semalam.


Sembilan orang mangsa bencana alam di Jalan Mengkuang, Penaga dan Bayan Baru mendapat peruntukan hampir RM200,000 untuk membaiki kerosakan rumah termasuk dua rumah sumbangan Pusat Urus Zakat (PUZ) bernilai RM33,000 sebuah menggantikan rumah yang terbakar penghujung tahun lalu.


Pengarah PUZ Negeri Pulau Pinang, Dr Azman Abdul Samat memberitahu, kesemua mangsa memperolehi berdasarkan mengikut kos kerugian masing-masing.


"PUZ memberikan rumah beranggaran RM33,000 berkeluasan 20 x 34 kaki persegi dengan mempunyai tiga bilik tidur. Yang lain kita bagi bentuk wang tunai ada yang RM6 ribu, RM5 ribu dan RM2 ribu," jelasnya.


Turut sama dalam program tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Ellias Zakaria, timbalannya, Ustaz Saleh Man dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd Farid Arshad.

Pertandingan tiga penjuru di Sibu


Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.


Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi.


Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.


Muhyiddin
bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.


Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.


Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.


Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.
Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.


BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.


Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.


Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.


Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.


Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.


Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.


Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.


Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).


Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.


Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

7/05/10

Suami isteri saman polis, kerajaan RM4.75 juta


Seorang lagi mangsa yang mendakwa ditembak oleh polis, Siti Nasrinda Tumirin, hari ini tampil membuat pendedahan yang dia ditembak di Klang pada Ogos tahun lalu.


Siti Nusrinda (kanan, bertudung), 23 dan suaminya, Mohd Fauzi Mohd Daud (kanan, berbaju hijau), 26, serta bapa mertuanya, Mohd Daud Ab Hamid, 51, memfailkan saman bernilai RM4.75 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam, terhadap dua anggota polis dan empat yang lain selepas mendakwa mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi dan membuta tuli ke arah mereka, tahun lalu.





Saman itu dibuat melalui Tetuan M Manoharan & Co, menamakan Konstabel Razlan Mohd Khairi dan Koperal Abdul Wahab Ishak, sebagai defendan pertama dan kedua, manakala Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Kerajaan Malaysia, sebagai defendan ketiga, keempat, kelima dan keenam, dalam writ saman itu.


Mereka turut menuntut suatu deklarasi terhadap defendan kerana melanggar Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan, satu deklarasi bahawa defendan gagal, enggan, cuai dan abai untuk mematuhi Seksyen 20, 21 dan 24 Akta Polis 1967, satu deklarasi bahawa defendan pertama dan kedua melakukan kesalahan cubaan membunuh, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Pada kejadian itu, Siti Nusrinda mendakwa cedera di bahgian pinggang manakalasebutir lagi peluru mengenai tudungnya.
Selain itu, Siti Nusrinda juga menuntut agar anggota polis yang menembaknya dan Mohd Daud yang merupakan tunangnya ketika itu, menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama dua tahun.


Katanya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada anggota polis berkenaan supaya tidak lagi mengulangi kesilapan mereka.


Saman itu difailkan oleh peguamnya, M Manoharan, yang juga ahli dewan undangan negeri Kota Alam Shah.


Pada kejadian 19 Ogos itu, Siti Nusrinda dan Mohd Fauzi mendakwa sedang berbual di kereta mereka yang diletakkan di sebatang jalan di Klang Utama pada jam 8.30 malam.


Sebuah kereta peronda kemudiannya menghampiri mereka sambil menyalakan lampu beberapa kali. Pasangan itu mendakwa mereka ketakutan dan terus memecut.


Pihak polis dilaporkan terus mengejar dan tanpa amaran terus melepaskan beberapa tembakan.


Sebutir peluru menembusi kerusi penumpang dan mencederakan Siti Nusrinda di bahagian pinggangnya.


Mohd Fauzi yang memandu kereta itu kemudiannya memberhentikan kenderaan itu dan diberitahu mereka disiasat kerana memecut, berkhalwat dan menghalang tugas polis.


Mereka mendakwa, kedua-dua anggota polis keluar dari kereta peronda dan terus mengacukan pistol mereka ke arah mereka.


Sehubungan itu, sebagai plaintif, mereka memplidkan kedua-dua defendan pertama dan kedua cuai dan gagal dalam menjalankan tugas mereka sebagai anggota polis yang bertanggungjawab selain mereka tidak mengendahkan langsung kepentingan nyawa plaintif dan orang awam.

'Pembersihan' di Star dan media milik MCA


Beberapa perubahaan pucuk pimpinan dijangka dilakukan ke atas beberapa syarikat yang dimiliki oleh MCA. Antaranya, termasuk Huaren Holdings, Star Publications, dan stesen radio 988.


Pihak pengurusan kanan yang dilantik oleh bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat dijangka akan disingkirkan dan diganti dengan pegawai-pegawai pilihan presiden baru, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Bagaimanapun perubahaan itu dikatakan akan hanya membabitkan perlantikan berkaitan politik.


Antara nama yang disebut-sebut termasuk timbalan pengerusi eksekutif Star Publications, Datuk Clement Hii Chii Kok dan pengarah eksekutifnya, Ng Beng Lye.


MCA memiliki 40 peratus daripada saham Star Publications melalui badan pelaburannya, Huaren Holdings. Star Publications menerbitkan akhbar bahasa Inggeris utama negara, The Star dan merupakan sumber kewangan penting bagi MCA.


AGM Star detik permulaan


Kedua-dua mereka - Clement dan Ng dilantik ke lembaga pengarah Star pada Januari tahun lalu. Perlantikan mereka dilihat sebagai tindakan Ong untuk memperkuatkan cengkamannya dalam menghadapi pemilihan pucuk pimpinan MCA.


Mereka dipercayai akan disingkirkan pada mesyuarat agung tahunan Star Publication yang dijadualkan pada 24 Mei ini.


Menurut agenda mesyuarat, pemilik saham akan mengundi bagi pemilihan semula Ng sebgai pengarah, yang disenaraikan sebagai resolusi ketiga.


Walaupun nama Clement tidak disenaraikan dalam agenda, adalah percayai langkah-langkah telah diambil bagi beliau mengosongkan jawatannya itu.


Wong Chun Wai dijangka kekal


Bagaimanapun nasib seorang lagi pengarah eksekutif syarikat itu yang juga pengarang kumpulan akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dipercayai selamat.


Wong telah berkhidmat selama 26 tahun dengan akhbar itu dan dilihat sebagai bukan penyokong kuat Ong.


Selain itu, janji yang dibuat Chua menerusi manifesto pemilihannya yang bertajuk 'Humble Ant' bahawa beliau akan memberi autonomi editorial dan kebebasan pengurusan jika dipilih, bakal menyelamatkan Wong.


Chua menghadapi tekanan daripada beberapa NGO selepas dilantik sebagai presiden. Dua pertubuhan awam secara terbuka menuntut beliau mengotakan janji-janjinya akan polisi autonomi editorial The Star diteruskan.


Bos Selangor Pewter dijangka terajui Star


Ura-ura mengatakan Pengarah Urusan Royal Selangor International (dahulunya Selangor Pewter) Yong Poh Kon adalah calon pilihan Chua untuk menerajui Star Publications.


Yong bukan muka baru di kalangan veteran MCA. Beliau pernah memimpin badan pemikir parti itu, Institut Strategik dan Analisis Polisi (INSAP) semasa era bekas presiden, Tan Koon Swan.

Tan Sri Musa Hassan tidak layak menjadi Ketua Polis Negara??


Dewan undangan negeri Pulau Pinang kecoh hari ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (bawah) memberi amaran bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika rakyat hilang keyakinan dengan pihak berkuasa dan sistem sedia ada.


Mengulas bidasan orang ramai berhubung kematian remaja 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis, Azhar menyoal sama ada rakyat mahu tentera mengambil alih negara memandangkan polis didakwa tidak lagi berkesan.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) menjawab, DAP bukannya tidak menghormati jasa polis tetapi mereka tidak mengiktiraf Tan Sri Musa Hassan yang disifatkan sebagai tidak layak menjadi Ketua Polis Negara.


"Tidak ada salahnya kita mengkritik Musa Hassan (Tan Sri) kerana bagi kita dia tidak layak menjadi Ketua Polis Negara, ditambah lagi insiden terbaru melibatkan kematian Aminulrasyid (Amzah)", katanya


Azhar kemudian mengulangi lagi kenyataannya meminta agar pasukan tentera mengawal negara bagi menggantikan polis dan kenyataan itu menyebabkan beberapa penyokong kerajaan meminta Azhar menarik balik pandangannya kerana ia bersifat menghasut.


Ketua pembangkang itu kemudian menarik balik kenyataannya itu selepas akur dengan arahan Speaker supaya berbuat demikian.


Bagaimanapun beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dan mencadangkan Azhar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.


Usul untuk merujukkan Azhar (BN-Penaga) ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datok Kramat) dan disokong oleh lebih 10 anggota penyokong kerajaan.


Jagdeep Singh semasa mengemukakan usul itu berkata ketua pembangkang itu melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.


Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain yang meluluskan usul itu berkata, notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada Azhar.


Sementara itu, Azhar ketika ditemui Bernama berkata beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak khuatir terhadap sebarang tindakan yang bakal dikenakan.


“Saya bercakap seperti itu setelah Umno dan BN dihina dan dituduh sebagai rasuah, samseng dan sebagainya dan saya sanggup berhadapan dengan sesiapa pun walaupun dibawa ke mahkamah," katanya.


3 kali dipanggil: Khalid khuatir keterangan bercanggah





Lagi saksi sahkan kenyataan Azamuddin


Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemilik kenderaan yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, telah bertemu denganya dan menceritakan peristiwa sebelum remaja itu ditembak mati oleh polis pada 26 April.


Khalid berkata, ahli perniagaan tersebut tampil menemuinya kelmarin (Selasa) dan meminta pandangannya berhubung tindakan lanjutnya yang patut diambil.





“Dia asalnya tidak mahu campur. Dia takut direman,” katanya yang enggan mendedahkan indentiti pihak terbabit buat masa ini.

Bagaimanapun, selepas dinasihatkan, Khalid menambah, pemilik kenderaan tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.


Pada 27 April lalu - sehari selepas insiden kematian Aminulrasyid, Khalid (kiri) dilaporkan telah mendedahkan butiran kandungan laporan polis saksi utama kes itu, Azamuddin Omar, yang berada dalam kereta bersama arwah, pada malam kejadian tersebut.


Dalam aduanya, Azamuddin antaranya mendakwa kenderaan yang dipandu arwah telah bergesel dengan sebuah kereta, menyebabkan beliau dikejar oleh tiga penunggang motosikal, dipercayai rakan kepada pemilik kenderaan itu.


Menurut aduan itu lagi, ketika melarikan diri, mereka telah memotong sebuah kereta polis yang kemudiannya turut mengejar mereka. Azamuddin juga dilaporkan mendakwa, tembakan terhadap Aminulrasyid dilepaskan selepas kejadian tersebut.


Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, beliau difahamkam seorang penunggang motosikal tersebut turut membuat laporan polis sejurus selepas kejadian tersebut, juga di IPD yang sama.


Menurut Khalid lagi, pemilik kereta tersebut memberitahunya, pada malam kejadian tersebut, keretanya digunakan oleh seorang rakannya dan keluar minum di seksyen 7 bersama tiga penunggang motosikal terbabit.


Tambahnya, kedua-dua laporan tersebut bertepatan dengan apa yang diceritakan oleh Azamuddin dalam laporan polis dan sidang medianya sebelum ini.


Menjawab soalan, Khalid berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit tidak menyaksikan peristiwa ketika Aminulrasyid ditembak, laporan tersebut didakwa dapat membuktikan “konsisten dan tepatnya” versi yang diceritakan kembali oleh Azamuddin.


“Kalau di bahagian awalnya (cerita itu) tepat, takkanlah di akhirnya tidak betul?” soalnya kembali.


Sehubungan itu, Khalid mempersoalkan kenapa “laporan yang telah berada dalam simpanan polis” itu tidak didedahkan kepada umum ketika kerajaan menjamin satu siasatan yang telus akan dilaksanakan dalam kes itu.


“Ketelusan bukannya bermaksud telus terhadap jawatankuasa (pemantau) sahaja, tetapi juga kena telus kepada rakyat,” tambahnya.
Sementara itu, Khalid juga menyuarakan kebimbingannya terhadap perkembangan siasatan kes Aminulrasyid di mana Azamuddin telah tiga kali dipanggil memberikan keterangan oleh pihak polis.


Beliau berkata, tindakan itu – terakhir petang semalam – dikhuatiri boleh mendorongnya tersilap membuat kenyataan dan tidak konsisten memberikan jawapan.


"Berapa kali dia (Azamuddin) perlu menceritakan perkara ini? Apa tujuan dia diminta menceritakan perkara yang sama berulang-ulang kali?" soal Khalid.

6/05/10

Polis pertingkat kawalan keselamatan Sultan Kelantan

Polis diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang sedang menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berikutan kejadian seorang pengawal keselamatan istana ditembak Sabtu lepas.


Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan Sultan lebih terjamin.


Ini berikutan insiden pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang cedera parah di dada akibat ditembak empat das oleh suspek yang tidak dikenali pada 1 Mei lalu, katanya.


"Berdasarkan titah-titah arahan tersebut, maka bermula 4 Mei pihak polis telah meningkatkan kawalan," katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.


Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semalam untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.


Petang semalam, anakanda ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra pada sidang akhbar di sini berkata beliau bercadang membawa ayahandanya menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.


Bagaimanapun penerbangan itu tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.


Sultan Kelantan pada 14 Mei 2009 dimasukkan ke HUSM di Kubang Kerian kerana gering, dan pada 24 Mei 2009 dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjutan masalah jantungnya dan hanya kembali ke Kelantan pada 3 Mac lepas setelah hampir setahun berada di hospital itu.


Abdul Halim berkata Sultan Kelantan telah dibawa ke HUSM semalam dengan iringan ketat polis dan ditempatkan di Wad DiRaja supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja dan kerajaan negeri untuk rawatan susulan dan tindakan lanjut.


"Sebelum pada ini pihak-pihak tertentu juga telah menghalang doktor-doktor pakar dari membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan ke bawah Duli Tuanku Al-Sultan," katanya.


Menurut pegawai-pegawai Istana, Sultan Kelantan akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur petang esok dengan pesawat kerajaan untuk menerima rawatan susulan.


Abdul Halim meminta orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin dan laporan dalam blog-blog, sebaliknya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan atau pihak bertanggungjawab.


Beliau berkata Pemangku Raja amat prihatin dan menyayangi ayahanda baginda dan akan berusaha untuk membuat yang terbaik bagi kebahagiaan Sultan yang masih gering dan makanan masih diambil menggunakan "tubing", iaitu makan melalui tiub.


"Kita perlu faham apa yang berlaku adalah urusan keluarga Diraja Kelantan dan segala-galanya adalah takdir Allah dan kita terima seadanya," katanya.


Sementara itu, Abdul Halim memberitahu, pihak Hospital Raja Perempuan Zainab Dua di Kota Bharu hari ini berjaya mengeluarkan peluru daripada pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Muhammad, 50, yang cedera akibat ditembak pada 1 Mei lepas.


Katanya, peluru itu berjaya dikeluarkan ini dalam satu pembedahan tengah hari ini.


"Beliau kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.


Ramli cedera parah setelah ditembak empat das di Kampung Kok Keli, Tumpat. Beliau ditembak dari jarak dekat ketika menaiki motosikal untuk pulang ke rumah.


- Bernama

5/05/10

Tengku Fakhry ditangkap, Tengku Anis diawasi


Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) yang memakai topeng di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, malam semalam.


Menurut Kosmo, Tengku Fakhry (kanan) ditahan bersama dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Akhbar tabloid itu yang memetik sumber istana memberitahu, putera Sultan Kelantan itu ditahan ketika beliau bersama dua orang doktor dan sekumpulan pengawal peribadi sultan menaiki beberapa buah kenderaan.


Mereka dikatakan baru keluar kira-kira 50 meter dari Istana Mahkota.


Kejadian itu berlaku pada jam 7.30 malam.


Semasa kejadian, turut berada dalam sebuah daripada kenderaan rombongan itu ialah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

4/05/10

PAS nafi bayar Kickdefella RM4 juta

PAS hari ini menafikan dakwaan yang parti itu pernah memberikan bayaran RM4 juta kepada blogger Syed Azizi Syed Abdul Aziz bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah di Kelantan.


"Saya telah semak dengan PAS Kelantan dan tidak ada rekod bahawa RM4 juta dikeluarkan bagi membayar Syed,” kata setiausaha agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.


Syed yang dikenali sebagai Kickdefella, sebelum ini mendakwa dia dibayar bagi menggulingkan Tun Abdullah.





Menurut Mustafa, PAS akan membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.


“Kami akan biarkan SPRM menyiasat sehingga akar umbi,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.


Selepas dipecat daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) November tahun lalu - Syed Azidi menjadi tumpuan kerana kerap mendedahkan pelbagai dakwaan 'kepincangan' dalam kerajaan pimpinan PAS itu.

Nik Aziz di fitnah: Najib ceroboh sempadan moral saya


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah satu pandangan bertujuan melaga-lagakannya dengan pihak Istana Selangor.


“Dalam hal tersebut, Datuk Seri Mohd Najib sebenarnya telah menceroboh sempadan moral saya dan membelasah imej saya yang dilakukan sehari sebelum berlaku pengundian di Hulu Selangor,” katanya dalam blognya.


Nik Aziz menjelaskan sudah menjadi kelazimannya, apabila hadir di mana-mana masjid atau surau di Kelantan, prinsip yang diamalkannya adalah tidak akan bercakap atau berkhutbah atau menjadi imam selagi tidak diminta oleh pihak masjid atau surau berkenaan.


Katanya lagi, prinsip yang sama dipegang apabila hadir di masjid atau surau di mana-mana negeri termasuk di Selangor.


“Oleh sebab itu, sekali lagi saya nyatakan bahawa tuduhan Datuk Seri Mohd Najib sehingga menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah tindakan mala fide bukan sahaja untuk melaga-lagakan saya dengan Sultan Selangor, malah menimbul fitnah besar kepada umat Islam untuk menggambarkan kononnya 'orang beragama' dan pemimpin seperti saya suka mengingkari dan menghina Sultan.


“Atas dasar itu, sesungguhnya saya tidak bersikap seperti difitnahkan oleh Datuk Seri Mohd Najib, maka saya tidak akan halal di dunia dan di akhirat. Kecuali beliau menarik balik secara terbuka memandangkan fitnah itu telah dibuat secara terbuka. Saya sedia menghalalkan apabila beliau menarik balik tuduhan itu secara terbuka.,” kata Nik Aziz.


Kenyataan Najib itu disiarkan oleh Utusan Malaysia secara online (24 April 2010) atas tajuk “Nik Aziz hina Sultan Selangor – PM” yang kemudiannya disiarkan dalam Utusan Malaysia cetak (24 April) edisi nasional di muka depan dengan tajuk “Pembangkang ingkari Sultan”.


Antara petikan artikel itu - “Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid untuk kempen politik. Beliau menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah.”


“Pada saya, kesemuanya adalah tidak benar dan berniat melaga-lagakan saya dengan Sultan, kerana sesungguhnya saya tidak pun memberi respon dengan merujuk kepada titah KDYMM Sultan Selangor. Ia adalah petikan yang direka-reka oleh akhbar berkenaan,” kata Nik Aziz.


Menteri Besar Kelantan itu juga berkata pandangan Najib yang dirasainya paling tidak bermoral apabila akhbar yang sama pada hari mengundi (25 April), menyiarkan semula di muka dua dengan tajuk “Tindakan Nik Aziz pertikai titah Sultan Selangor: Pengingkaran yang serius – PM.”


“Ia suatu pengulangan yang dibuat untuk menjatuhkan moral saya dan suatu bentuk fitnah media yang disengajakan bagi mempengaruhi umat Islam agar menolak kefahaman agama yang telah saya jelaskan secara sopan semasa sidang media pada malam 23 April di Kuala Kubu Bharu.


“Bagi saya, pandangan Datuk Seri Mohd Najib yang melabelkan saya sebagai 'melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor' adalah suatu pandangan yang tidak adil dan fitnah. Ia menggambarkan kenyataan bermotif politik dan penyelewengan fakta sebenar yang dipanjangkan oleh Utusan Malaysia, kerana ia sengaja disiarkan sebagai tajuk besar di muka depan (front page),” katanya.

Ugut bunuh Nik Aziz: Polis KL tahan seorang lelaki di Butterworth

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat menyiarkan komen berbaur ugutan bunuh terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman web sosial, Facebook.


Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata lelaki yang berumur dalam lingkungan 20an itu diberkas sepasukan polis di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


“Sepasukan polis menahan suspek itu di satu kawasan di Butterworth kira-kira pukul 9 malam berhubung kes penyiaran ugutan bunuh terhadap Nik (Abdul) Aziz,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.



Beliau berkata bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman sosial itu dan juga individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh terbabit.


Sabtu lepas Dewan Pemuda PAS membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang dipaparkan dalam sebuah laman web sosial milik seorang lelaki terhadap Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu.


Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan At-Tantawi di Balai Polis Chow Kit selepas membaca mengenai ugutan bunuh itu di laman Facebook.


Dalam laman webnya lelaki itu dikatakan sanggup dihukum gantung jika dapat membunuh ‘‘Nik Aziz’’.


Zulkarnain berkata bagaimanapun polis belum dapat mengenal pasti sama ada suspek adalah pemilik sebenar laman itu dan individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh berkenaan.


“Kami sedang mendapatkan tempoh reman terhadap suspek bagi menjalankan siasatan lanjut sebelum dia dibawa ke sini (IPD Dang Wangi) untuk disoal-siasat,” katanya.


Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — Bernama

3/05/10

Saksi nafi Aminulrasyid cuba rempuh polis


Penumpang yang juga rakan remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis - Aminulrasyid Amzah menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis.


"Apabila ditembak, badannya terkulai di peha saya tetapi kakinya (Aminulrasyid) masih di accelerator yang menyebabkan kereta bergerak dan polis terus menembak,” katanya pada sidang media di rumah keluraga Aminulrasyid, hari ini.


Menceritakan kejadian Isnin lalu, Azamuddin Omar, 15 berkata, kereta berkenaan kemudian berlanggar dengan sebuah tembok dan polis terus menembak.





Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.


Pelajar tingkatan tiga itu masih ketakutan kini menjalani rawatan untuk trauma.


Bapa saudara kepada mangsa, Kamaruddin Hassan yang berada pada sidang media itu berkata pihaknya tidak mahu inkues berhubung pembunuhan itu seperti yang dicadangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.


"Kami mahu siasatan diraja kerana hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil,” katanya.


Menurut peguam keluarga berkenaan, N Surendren, tidak perlu diadakan inkues kerana tidak ada pertikaian mengenai cara remaja itu meninggal dunia.


Kamaruddin juga membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan berkata pihaknya sedia mengundurkan polis jika orang ramai tidak lagi mahu mereka menguat-kuasakan undang-undang.


"Kami hormati polis tetapi mungkin ada yang diibaratkan sengai 'buah busuk' di kalangan mereka,” katanya.


Keluarga berkenaan juga merayu kepada semua pihak bagi menghentikan spekulasi dan membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan ibu Aminulrasyid.


Antara kenyataan itu, termasuk dakwaan bahawa dua remaja berkenaan adalah penjenayah dan keluarha mereka patut dipersalahkan kerana membiarkan budak-budak berkenaan memandu tanpa lesen pada waktu tengah malam.


“Ada juga ura-ura bahawa kakak mangsa akan juga didakwa kerana keretanya digunakan,” katanya lagi.

2/05/10

Gambar budak yang nak bunuh NIK AZIZ

Saya terkejut membaca Facebook saya hari ini. Rakan-rakan facebook memaklumkan bahawa seorang pemuda Umno mengugut untuk membunuh Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz.

Mohd Safuan Hilmi, 24 yang mengaku graduan UiTM dan kini bekerja di Syarikat Prasarana Negara Berhad membuat ugutan mahu membunuh Nik Aziz dalam komennya di satu wall perbincangan dalam facebook.

“Belum lengkap lagi sebab seekor lagi barua tak mati iaitu Nik Aziz. Tunggu aku pi bunuh Nik Aziz dulu baru lengkap. Setan tu tak layak duduk kat muka bumi ni lagi”

“Senang bunuh orang. Tikam jer. Aku sanggup dihukum gantung jika aku dapat bunuh Nik Aziz al Dajal tu”….begitulah kata-kata biadap pemuda Umno ini.



Saya minta pimpinan PAS khususnya PAS kelantan dan Tok Guru Nik Aziz sendiri membuat laporan Polis. Ini adalah satu perkara yang serius kerana jelas, Umno telah merosakan pemikiran generasi muda dan menjadikan ugutan bunuh sebagai permainan biasa. Umno harus bertanggungjawab kerana melahirkan makhluk sebiadap ini.

Saya dapati laman Facebook beliau sudah ditutup…tapi ini maklumat yang saya sempat ambil. Harap disiasat kerana kita tidak boleh memadang kecil hal ini. Kalau dibiar, nanti lebih ramai yang besar kepala dan buat ugutan serupa.


petikan asal: http://syukran.wordpress.com/2010/04/30/nik-aziz-terima-ugutan-bunuh-dari-pemuda-umno/



PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3