----------------$$$$----------------

InstaForex

9/08/11

Anak: Laporan bedah siasat Baharudin 'bercanggah'

Keluarga kepada allahyarham Baharudin Ahmad mengemukakan satu akuan bersumpah ke Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan percanggahan dalam laporan bedah siasat ke atas jenazah tersebut.

Akuan bersumpah itu dikemukakan semalam untuk dimasukkan bersama dengan dengan notis usul yang difailkan sebelum ini bagi memaksa Pejabat Peguam Negara menjalankan inkues terhadap kematian lelaki berkenaan.

Permohonan siasatan khas itu dibuat susulan kepada laporan polis yang dibuat balu allahyarham, Rosni Malan pada 17 Julai lalu yang mendakwa bahawa kematian Ahmad (foto kiri) disebabkan oleh tindakan polis semasa perhimpunan berkenaan.




Anak perempuan Baharudin, Ummi Mirza dalam akuan bersumpah itu pula menyebut bahawa sebab kematian tersebut bukanlah sebab-sebab nyata yang ditentukan melalui siasatan terhadap jenazah ayahnya.


Sebaliknya, sebab kematian itu perlu meliputi "semua perkara yang perlu untuk membolehkan sesuatu pendapat dibuat (mengenai) bagaimana ayah saya menemui ajalnya."


Katanya lagi, sebab kematian itu boleh "disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan atau (perbuatan yang tidak dibuat) yang menyalahi undang-undang" oleh mana-mana individu, kumpulan atau ejen kepada mana-mana badan.


Laporan 'bercanggah'


Akuan bersumpah berkenaan mendakwa, laporan perubatan yang diperolehi oleh keluarkan mangsa berkenaan mengandungi maklumat yang bercanggah dengan apa yang diberitahu oleh doktor yang memeriksa jenazah sebelum ini.


Laporan yang menyebut sebab kematian Ahmad sebagai serangan jantung "acute myocardial infarction" itu antara lain menyatakan bahawa bahagian paru-paru mangsa didapati tersumbat.


Walhal, beliau sebelum ini diberitahu bahawa bahagian paru-paru itu tidak tersumbat, kata Ummi Mirza, 25.


"Saya diberitahu oleh pakar forensik tersebut sebelum ini bahawa 'paru-paru kelihatan sihat', namun laporan bedah siasat menyatakan 'sangat bengkak dan tersumbat'," akuan bersumpah itu dipetik.


Ummi Mirza dalam dokumen yang diperakui semalam itu juga menyebut bahawa beliau melihat tanda gigi di sebelah kiri atas bibir dan juga lebam di sekeliling kawasan tersebut.


Katanya, beliau diberitahu oleh pakar berkenaan bahawa bahagian trakea jenazah ayahnya itu juga sedikit tersumbat.


Beliau diberitahu bahawa keadaan itu mungkin berlaku akibat tindakan memasukkan tiub ke dalam rongga berkenaan.


"Tapi laporan bedah siasat menyatakan (bahagian trakea itu) 'jelas dan tidak tersumbat'," kata Ummi lagi dalam dokumen berkenaan.


Tambahnya, laporan yang diperolehi itu menyatakan bahawa bahagian mulut mangsa tidak mengeluarkan cecair.


"Namun (keadaan itu) berbeza dengan apa yang saya nampak pada bibir arwah sebelum post mortem. Malah pada saat memandikan jenazah beliau, saya juga masih dapat melihat lebam pada bibir tersebut," kata Ummi lagi dalam dokumen sama.


Baharudin, 59, didakwa rebah semasa menyertai perhimpunan di perkarangan KLCC pada 9 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke jabatan kecemasan, Hospital Kuala Lumpur pada jam 5.10 petang.


Bedah siasat ke atas dijalankan kira-kira lima jam kemudian oleh dua orang ahli patologi di hospital sama.

7/08/11

'Ke mana perginya wang zakat kita?'

ULASAN Saya belum ingin mengulas tentang serbuan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan serbuan' itu.


Cumanya, sepertimana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah.

Saya ingin menyentuh tentang orang Islam yang hadir di majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka.


Difahamkan bahawa orang Islam yang hadir, terutama ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal.


Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan 'terhutang budi'. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;


1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta 'sedekah' kepada orang lain?




2. Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri.



Untuk mendapatkan RM100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih.


Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?


3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!


4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat.


Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.


5. Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu.


Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa.


Janganlah jika kita gagal membantu – sedangkan kita mampu - kita menyalahkan orang lain yang membantu.


6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan.


Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim?


Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?


Maka, banyak persoalan perlu masyarakat Muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3