----------------$$$$----------------

InstaForex

27/05/09

Ketua kampung di Perak saman kerajaan BN

IPOH, 27 Mei - Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat seluruh Perak telah menfailkan saman ke atas Kerajaan Negeri Perak semalam di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Saman tersebut telah dikemukakan oleh Mohd Ridzuan Asit yang mewakili kesemua Ketua Kampung seluruh Perak.

Semasa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak mentadbir negeri ini seramai 817 orang ketua kampungg seluruh Perak telah dilantik setelah ketua kampung yang lama meletakkan jawatan.

Semua ketua kampung telahpun dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada 7 Ogos 2008 sehingga 31 Julai 2010.

Namun begitu apabila rampasan kuasa berlaku di negeri ini oleh Umno/BN perkhidmatan seluruh ketua kampung di negeri ini telah ditamatkan berkuatkuasa pada 16.4.2009 yang lalu.

Dalam saman yang dikemukakan oleh ketua-ketua kampung, mereka menuntut perintah bagi membatalkan tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan mereka,

Ketua-ketua kampung juga menuntut perintah mandamus yang mewajibkan kerajaan untuk melantik semula Ketua-ketua Kampung,

Mereka juga menuntut perintah deklarasi bahawa pemecatan atau penamatan perkhidmatan tersebut adalah batal dan tidak sah.

Dalam saman itu juga mereka menuntut perintah injunksi untuk melarang kerajaan dari melantik sesiapa yang lain sebagai Ketua Kampung.

Ketua-ketua kampung itu juga menuntut injunksi untuk melarang kerajaan dari membenarkan Dewan Orang Ramai dalam semua kampong dari digunakan oleh BN semata-mata.

Mereka juga menuntut ganti rugi punitif, keterlaluan dan teladan untuk dibayar kepada pemohon dan menuntut suatu siasatan dan taksiran ganti rugi kepada pemohon.

Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaludin Dato' Ngeh Ko Ham, Adun Lubuk Merrbau, Zainuddin Yusof dan Adun Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain turut hadir memberi sokongan moral dan semangat kepada ketua-ketua kampung.

Mufti Perak dicabar letak jawatan, bertanding pilihan raya

IPOH, 27 Mei - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNP) melahirkan rasa sedih dan kesal di atas kenyataan Mutfi Negeri Perak, Dato' Seri Dr Harussani Zakaria, di dalam temubual beliau di dalam majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Mei 2009 THN 7 Keluaran 82 yang cuba membangkitkan api perkauman di negeri ini.

Dalam temubual tersebut, Dato' Seri Mufti Perak jelas cuba membangkitkan api perkauman di antara kaum di Perak bahkan di Malaysia amnya. Rata-rata kenyataannya bersifat �racist� dan tidak memikirkan perasaan rakan-rakan non-muslim.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Dr. Rahja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataan medianya semalam.

Pemuda PAS Negeri Perak katanya, mempertegaskan bahawa Perlembagaan Malaysia telah jelas menerangkan bahawa Islam adalah agama rasmi dan agama lain bebas untuk diamalkan, begitu juga hak kaum-kaum lain untuk hidup saksama di negara tercinta ini.

Sehubungan itu Pemuda PAS Perak kesal dengan tindak-tanduk Dato' Seri Mufti yang kelihatan selesa menjadi boneka dan talian hayat Umno Perak sering mengeluarkan kenyataan yang memihak Umno/BN.

"Sifat kepura-puraan Dato' Seri Mufti Perak sangat dangkal dan menyedihkan rakyat dan umat Islam Perak dan Malaysia amnya.

"Pemuda PAS Perak mencabar Dato' Seri Mufti Perak untuk meletakkan jawatannya dan secara 'gentlemen ilmu' bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya di Perak mewakili Umno/BN jika benar-benar mahu melihat Islam tertegak di Perak.

"Hentikan kenyataan-kenyataan berlapik yang membela Umno/BN," tegasnya.

26/05/09

Sivakumar antara 19 ditahan, kini disiasat IPK Ipoh

UALA LUMPUR, 26 Mei - Speaker, V. Sivakumar adalah antara 19 orang yang ditahan oleh pihak polis ketika pelancaran mogok lapar di Wisma DAP jam 11.00 pagi tadi.

Selain itu turut ditahan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran dan enam wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Keshwinder Singh (DAP-Malim Nawar), Chan Ming Kai (KeADILan-Simpang Pulai), Chang Lih Kang (KeADILan-Teja), Leong Mee Meng (DAP-Jalong), Thomas Su (DAP-Pasir Pinji) dan Lim Pek Har (DAP-Menglembu).

Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim memaklumkan dalam blognya bahawa ke semua yang ditahan kini berada di IPK Ipoh untuk soal siasat.

"Saya menemui Adun Sungkai, Sivanesan sebentar tadi dan dia memaklumkan telah cuba memohon dan merayu kepada pengawal pintu masuk IPK Ipoh untuk masuk menghantar ubat kepada Ahli Parlimen Ipoh Barat,Kulasegaran namun tidak dibenarkan.

"Difahamkan YB. Kula sejak beberapa hari ini mengalami masalah kesihatan. Bayangkan untuk masuk menghantar ubat juga tidak dibenarkan," katanya

Sebelum ini, lima orang dari firma pengurusan majlis yang dilantik Pakatan Rakyat ditahan polis ketika cuba menguruskan mogok lapar di luar Wisma DAP di sini jam 7 pagi tadi.

Selain ditahan, pihak polis juga merampas sebiji belon besar yang sepatutnya dilepaskan ke udara ketika pelancaran mogok lapar nanti.

Menurut laporan sebuah laman web, petugas DAP mendakwa belon berharga RM2,000 itu ditempah khas untuk pelancaran tersebut dan ditulis dengan 'Daulat Tuanku' dan 'Bubarkan DUN' .

Mufti Perak memihak, tidak 'menjernihkan'

Meski pun ada pihak yang beriya-iya mendakwa isu pertikaian politik di Perak sudah berakhir ekoran keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Jumaat lalu, satu pihak lain pula menganggap keputusan itu makin merumitkan kemelut tersebut.

Kenyataan dan ulasan dari kedua-dua kumpulan parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, saling tingkah-meningkah.

Masing-masing cuba meyakinkan khalayak umum bahawa kebenaran berada di pihak mereka. Hujah dan alasan yang mereka kemukakan terdedah kepada nilaian dan pengadilan rakyat.

Namun suatu yang agak janggal dan menjengkelkan ialah apabila pihak yang sepatutnya menyisih diri dari terlibat dalam pertikaian ini seakan ikut masuk campur.

"Kenapa hendak datangkan masalah? Kalau menang belah dia tidak apa, tetapi apabila kalah hendak bangkang,� kata Mufti Perak, sepertimana dipetik Akhbar mingguan Ahad (24 Mei).

Beliau tumpang mengulas hasrat para pemimpin Pakatan Rakyat Perak mengadakan mogor lapar bagi menunjukkan tanda tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah sama membenarkan rayuan Zambry bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS sebagai Menetri Besar Perak yang sah.

Sukar difikirkan apa perlunya Mufti Perak turut mengeluarkan kenyataan dalam pertikaian antara dua pihak dalam politik. Apatah lagi komen dikeluarkannya itu sedikit tersasar dari konteks isu yang diperbahaskan, lalu ia bukan bertindak menjernihkan kekeruhan yang sudah pun terlalu lama berlarutan, malah makin merumitkan usaha menjernihkannya.

Selaku orang agama yang berada pada posisi yang bertanggungjawab terhadap semua pihak, seorang mufti sepatutnya tidak lacuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat memihak. Jangan lah disebabkan terlalu ghairah mempertahankan sesuatu pihak, maka kedudukan yang sepatutnya bersifap neutral itu dijadikan posisi menghentam satu pihak dan memberikan imej serta moral positif kepada satu pihak lain.

Namun itulah nampaknya kecenderungan yang makin dizahirkannya. Mufti Perak nampaknya tidak mengambil pengajaran daripada isu yang hangat diperkatakan bulan lalu, ekoran kenyataannya yang dinilai banyak pihak sebagai sangat sembrono, tidak teliti dan gagal mengambilkira persepsi politik dan dakwah Islam.

Isu itu bermula dari ucapan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, awal April lalu.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan betul dijadikan alasan oleh para pendokong BN kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu memetik ayat suci itu, kononnya bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu, beberapa pihak sealiran dengan BN mengemukakan bantahan. Ada yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu.

Beberapa tokoh agama, termasuk Mufti Perak, juga disorot pandangan mereka. Secara mudah mereka menghukumkan (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin berkenaan suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Mufti Perak malah mempersoalkan, apa hak pemimpin politik bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramah politiknya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Di sinilah timbul persoalan demi persoalan. Sebagai anggota masyarakat yang bagaikan tersepit di tengah-tengah pandangan bertentangan antara dua golongan ulama dan pemimpin, kita berhak dijelaskan apakah pendirian sebenar dalam perkara ini yang bertepatan dengan hukum Islam dan prinsip dakwah Islam?

Cuba kenal Islam, dihalang

Dalam dunia serba maju dan terbuka kini, masyarakat tidak lagi gemar dipaksa untuk menerima bulat-bulat sesuatu penjelasan atau "hukuman sembrono", terutama yang dirasakan dibuat atas kepentingan politik mana-mana pihak. Masyarakat sudah mampu berfikir dan merasional sendiri sesuatu perkembangan yang berlaku.

Lagi pun, jika dipersoalkan tentang keimanan seseorang yang membaca al-Quran, apakah yang betul bacaan, faham makna dan betul niatnya itu benar-benar beriman dan beramal dengan ayat-ayat yang dibaca?

Bukti keimanan ialah melaksanakan apa yang dititahkan Tuhan dalam al-Quran. Apakah umat Islam sendiri mengamalkan segala suruhan itu? Ataukah mereka sekadar tahu membacanya sahaja.

Ertinya, jika di atas sandaran itu, bukan sahaja pemimpin politik bukan Islam tadi yang wajar dipersoalkan atas keimanan terhadap al-Quran, bahkan ramai pemimpin politik Islam sendiri layak dipertikaikan.

Kemudian dipersoalkan juga, jika bukan Islam dihalang dari membaca dan memahami al-Quran, sama ada disebabkan ketiadaan iman atau ketidaksucian jasad mereka, bagaimana mereka mahu faham dan mendalami Islam, serta mendekati Islam?

Kita pernah didedahkan dengan kisah sebegitu ramai tokoh terkemuka bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran. Bagaimana mereka berkesempatan mengkajinya sekiranya sedari awal mereka dihalang memegang atau membaca kitab suci itu?

"Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang," akhbar memetik ulasan Kor Ming, sekaligus menerangkan niatnya atas tindakan itu.

Isu tersebut tidak memulihkan imej dan reputasi Mufti Perak yang sebelum itu telah pun dilanda pertikaian ekoran kemelut pelantikan Menteri Besar BN. Imej dan maruahnya tidak juga bertambah baik dengan komen beliau berkenaan isu mogok lapar tadi. Kesemua itu sebaliknya membuatkan orang dapat melihat pendirian politiknya lebih jelas dan ketara.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3