----------------$$$$----------------

InstaForex

26/06/10

Azmin nafi ada konspirasi tumbangkan MB S'gor


Beberapa pemimpin PKR menafikan wujudnya pakatan untuk menumbangkan menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam permukiman parti itu di Shah Alam hari ini.


Bercakap di luar sesi permukiman parti itu di Shah Alam, seorang naib presiden parti itu Azmin Ali berkata soal menumbangkan Khalid tidak timbul sama sekali.


Katanya, kritikan ke atas menteri besar itu telah disalahtafsirkan sebagai usaha menjatuhkan Khalid.


"Tidak sama sekali. Saya menyokong sepenuhnya kepemimpinan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar," katanya yang juga ahli parlimen Gombak.


Bagaimanapun, kritikan daripada pemimpin parti ke atas Khalid menunjukkan kerajaan negeri perlu membuat perubahan bagi memastikan rakyat sentiasa menyokong Pakatan Rakyat.


Khalid jalankan tugas dengan baik




"Tidak ada penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah. Dari segi ini, Khalid telah menjalankan tugas dengan baik.


"Maknanya pentadbiran beliau bersih... Tapi masalah birokrasi masih ada. Yang ini harus diperkemaskan," katanya lagi.


Tambahnya, perkara utama yang dibincangkan dalam permukiman hari ini ialah persiapan untuk menghadapi pemilihan parti yang melibatkan jawatan di 218 cabang dan di majlis pimpinan tertinggi.


Katanya, taklimat hari ini juga menyentuh mengenai latihan yang akan diberikan kepada petugas-petugas dalam pemilihan yang ditetapkan berlangsung selama lapan hari itu.


"Kita sambut baik persiapan oleh sekretariat dan ada pegawai pilihan raya yang akan dilantik di setiap cabang" katanya lagi


Sementara itu, ketua sekretariat wakil rakyat PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas (kanan) pula menafikan pembabitannya mengetuai seramai 15 orang wakil rakyat bagi menjatuhkan Khalid sebagai menteri besar.


"Saya dalam parti mengetuai sekretariat MP dan ADUN, itu betul. Tapi soal yang dibangkitkan media itu tidak ada dibincang secara khusus.


"Tidak ada petisyen, tidak ada memorandum seperti yang dilaporkan. Kalau ada saya akan tahu," katanya kepada media ketika ditemui di permukiman parti itu.


Buat spekulasi


Ketika ditanya lanjut, beliau turut menafikan kewujudan 15 orang wakil rakyat berkenaan sebagai spekulasi yang ditimbulkan oleh media.


"Siapa kata 15 (orang)? Yang kata 15 itu wartawan. Wartawan yang buat spekulasi. Kenapa 15 (orang) bukan 20, (sedangkan) ada 20 MP dalam PKR.


"Jadi ini adalah nombor yang direka-reka oleh seseorag. Saya tidak bertanggungjawab tentang itu," katanya lagi.


Sementara itu presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail (atas, kanan), ketika ditemui wartawan turut menafikan isu itu ditimbulkan dalam permukiman kali ini.


"Tidak, kita telah keluarkan notis bahawa kita akan buat penilaian sebab kita ada pemilihan parti yang akan datang, dan kita bertemu (di permukiman). Apa yang isunya? Tidak ada isu.”


Turut ditemui, ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof yang berkata beliau langsung tidak mengetahui mengenai wujudnya "komplot" untuk menggulingkan Khalid.


"(Bagi) saya, apa yang dikatakan komplot, saya tidak tahu. Apa yang saya tahu perjumpaan hari ini adalah untuk memantapkan parti," katanya.


Sejak kebelakangan ini, media menimbulkan desas-desus 15 ahli parlimen PKR akan cuba menggulingkan menteri bear Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerna didakwa tidak berpuas hati dengan cara pentadbirannya.

Menteri Besar Selangor Tidak Terfikir Untuk Letak Jawatan Jika Ada Desakan


SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak terfikir untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor walaupun terdapat khabar angin wujudnya pakatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingin menyingkirkannya daripada jawatan tersebut.


"Saya tidak terfikir perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-17 Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Selangor di sini.





Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewujudan pakatan 15 anggota Parlimen PKR yang mahu mendesak beliau berundur daripada jawatan Menteri Besar yang disandangnya sejak Mac 2008.

Mengenai 17 daripada 22 pemimpin bahagian PKR Selangor yang hadir pada mesyuarat tergempar Jumaat bagi menyatakan sokongan mereka terhadap beliau, Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata:


"Ini perkara biasa, dalam persatuan atau politik mesti ada perbezaan antara kepimpinan dan biasanya satu-satu persatuan yang matang dan sudah mengalami beberapa keadaan akan cepat selesaikannya."


Sementara itu Naib Presiden PKR R.Sivarasa berkata tiada bukti yang menunjukkan mengenai kewujudan pakatan 15 anggota Parlimen itu dan menyifatkannya sebagai spekulasi yang dimainkan oleh pihak media.


-- BERNAMA

25/06/10

PAS: Najib takut pendedahan kartun Zunar

Kegusaran kebobrokan ramai pemimpin BN-Umno, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didedahkan menerusi kartun-kartun karya Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar menyaksikan bukunya diharamkan.

“Pemimpin Umno-BN yang menguasai kerajaan tidak dapat menerima secara terbuka kritikan, sindiran dan satira yang dikemukakan dalam edisi kartun-kartun ini. Mereka terdesak untuk menafikan pandangan rakyat terhadap kezaliman, penyelewengan dan keangkuhan mereka,” kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.


Semalam, kerajaan mengumumkan buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, terbitan syarikat Kinibooks - anak syarikat Malaysiakini telah diharamkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.


Menurut Idris, PAS menyokong usaha Zunar (atas) dan Malaysiakini dalam memberikan gambaran alternatif kepada rakyat tentang kerajaan yang selalunya digambarnya dengan imej positif sahaja melalui rangkaian media arus perdana yang dikuasainya.


“Rakyat perlu tahu apa yang kerajaan sembunyikan dari mereka. Zunar yang juga mantan ketua pengarang Suara Keadilan diakui ramai pihak sebagai pengkartun yang mempunyai daya kreativiti satira yang luar biasa dan mampu mengoyahkan kedudukan dan imej Najib.


“Kes kapal selam, dasar-dasar Najib, pergaduhan pemimpin Umno-BN, kezaliman mereka, rasuah dan sebagainya adalah antara perkara yang tidak mampu dijelaskan oleh Najib tetapi mudah diterjemahkan dalam bentuk kartun oleh Zunar,” kata Idris (kanan).


Menurut Idris sebagai seorang kartunis, Zunar berjaya 'menelanjangkan kebobrokan' ramai pemimpin BN seperi Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri S Samy Vellu.


“PAS melihat tindakan KDN ini membuktikan bahawa Najib, dan pemimpin Umno-BN cukup terasa dengan penangan kartun Zunar dan kawan-kawannya,” katanya.


Ujarnya, ruangan kartun Senyum Kambing dalam Utusan Malaysia serta kartun-kartun lain di akhbar milik Umno-BN gagal menyaingi apa yang dihasilkan oleh Zunar.


“Dan jelas, KDN dipergunakan bagi menyekat pengaruh kartun-kartun satira demi untuk menyelamatkan imej Najib dan Umno-BN yang kini dianggap sebagai pelawak sahaja,” katanya.


Menurut
Idris, PAS berharap agar Kementerian Dalam Negeri supaya bersikap terbuka dan realistik serta tidak tunduk pada tekanan pemimpin politik BN dalam tindakan mereka.


Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes RMC: Polis tahan 5 pelajar senior


Polis menahan lima pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (RMC) berhubung kes kematian seorang pelajar tingkatan empat maktab itu awal pagi semalam, dipercayai akibat dibuli dan didera pelajar senior.


Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Abdul Rahim Hamzah Othman, lima pelajar senior itu diserahkan oleh pihak tentera kepada pihak polis jam 6.30 petang semalam.






Pelajar yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri (kiri). Dia dilaporkan meninggal dunia antara jam 11.30 malam tadi dan 1.20 pagi semalam.


Laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh pihak tentera di Balai Polis Sungai Besi pada jam 2 pagi semalam.


Dalam laporan itu, allahyaham pengsan dan kemudian dibawa ke hospital di dalam kem dan diberi pertolongan cemas CPR.


Kemudian apabila mangsa disahkan meninggal dunia, pihak tentra membuat laporan polis.


Jenazah pelajar malang itu kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh anggota polis.



24/06/10

GMI: 9 tahanan ISA bukan pengganas


Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mempersoalkan tindakan kerajaan menahan sembilan warga asing termasuk seorang rakyat tempatan yang dikaitkan dengan pengganas sedangkan negara asal mereka tidak menanggap mereka sebagai pengganas.


Menurut pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh, perkara itu terbukti apabila seorang daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Nigeria - Luqman Abdul Salam - telah menghubunginya tiga bulan yang lalu dan menyatakan beliau bebas daripada tindakan undang-undang di negaranya dan telahpun mendapat pekerjaan di sana.


Syed Ibrahim juga diberitahu bahawa seorang lagi rakan senegara Luqman iaitu Abdul Alhi Bolajoko - turut tidak didakwa atau ditahan oleh kerajaan Nigeria.


"Jika betul kerajaan Malaysia mengatakan mereka sebagai pengganas, tetapi selepas dibebaskan oleh negara asal mereka. Kerajaan mereka menyatakan mereka bukan pengganas.


(Oleh itu) dari situ kita mempersoalkan, kenapa mereka ditahan kerana dikaitkan dengan pengganas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.


Menurut Syed Ibrahim lagi, pihaknya setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat mengenai baki tujuh tahanan termasuk seorang rakyat Malaysia itu.


"Setahu saya, mereka (warga negara asing) telah dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya yang juga timbalan presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).


Tambah Syed Ibrahim lagi, pihaknya juga turut menguruskan penghantaran pulang keluarga warga Nigeria itu selepas mereka dibebaskan dan pulang ke negara mereka.


Berdasarkan maklumat GMI, tujuh tahanan yang dibebaskan itu adalah tiga warga Syria yang dikenali sebagai Aiman Al Dakkak, anaknya Mohamed Hozifa serta Kutiba Al-Issa.


Manakala tiga lagi tahanan masing-masing seorang dari Yaman iaitu Khalid Salem, Hassan Barudi (Syria) dan Hussam Khalid dari Jordan. Manakala warganegara Malaysia yang dibebaskan adalah Azzahari Murad.


Februari lalu, GMI berkata adalah dipercayai ada di kalangan 12 orang warga asing dan tempatan yang ditahan di Gombak di bawah ISA Januari lalu mungkin dikaitkan dengan gerakan Wahabi.


Dua belas orang yang ditahan itu adalah antara 50 orang yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak bulan lalu. Bagaimanapun, 38 daripada mereka dibebaskan tidak lama kemudian.


Manakala Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein beberapa hari selepas itu dilaporkan berkata sembilan daripada tahanan berkenaan kini dalam proses untuk diekstradisi pulang ke negara asal masing-masing.


Mengulas lanjut, Syed Ibrahim mendakwa tindakan mengaitkan bekas tahanan ini dengan kegiatan kumpulan pengganas antarabangsa termasuk menguar-uarkan ancaman Jemaah Islamiah (JI), bertujuan "untuk kepentingan politik pemerintah".


Beliau mendakwa ia juga bertujuan untuk menimbulkan rasa takut kepada umat Islam dan bukan Islam bagi menjustifikasi tindakan pemerintah terhadap pemimpin parti, NGO dan mahasiswa.


"Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjustifikasikan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang mana pindaannya akan dibentangkan dalam bulan depan.


"Dengan digambarkan bahawa ISA perlu, seolah-olah Jemaah Islamiah (JI) merekrut pelajar universiti, maka ada keperluan untuk ISA dikekalkan.


"Ia sebagai tindakan pre-emptive supaya ada sebab ISA dikekalkan atau diperkukuhkan lagi," katanya.

23/06/10

Dr M: Lesen judi diluluskan jika saya berkuasa


Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan meluluskan lesen judi sukan sekiranya masih berkuasa.


"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," katanya ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya hari ini.


Beliau ditanya oleh wartawan sama ada kerajaan perlu segera meluluskan lesen berkenaan.


Katanya lagi, kerajaan tidak sepatutnya menghalang golongan masyarakat yang dibolehkan berjudi.


"Orang Cina main judi selalu, bagi dia tak haram. Buat apa kita nak sekat dia.


"Apa pasal kita nak larang? Tak boleh halang dia makan babi sebab bagi dia tak haram," katanya lagi.


Pada 14 Jun lalu, Mahathir berkata bantahan pembangkang terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah disebabkan ajaran agama, tetapi demi kepentingan politik semata-mata.


"Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.


"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.

ADUN Seri Serdang kosongkan kerusi?

Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor malam semalam.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim (kanan) ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.


Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat malam semalam kerana mereka ada urusan di luar negara.


Sabtu lalu, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Seri Serdang, pada mesyuarat malam semalam.








Noh berkata mesyuarat malam semalam membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.


Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.


Pada pilihan raya umum pada 2008, Mohamed Satim mengalahkan calon PAS, Ahmad Idzam Ahmad dengan majoriti 45 undi.


- Bernama

Kematian Altantuya: Bekas pegawai PM tak terbabit

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan terdapat nama atau suspek Datuk Nasir Safar - bekas pegawai khas perdana menteri - dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Hasil daripada siasatan polis, tidak terdapat nama atau suspek yang dimaksudkan terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya,” katanya dalam jawapan bertulis kepada R Sivarasa (PKR-Subang).


Dalam pertanyaan lisannya, Sivarasa meminta Hishamuddin menyatakan adakah benar atau tidak Nasir adalah lelaki dalam kereta Proton berwarna biru yang sampai di hadapan rumah Razak Baginda pada malam 19 Oktober 2006.


Ia berikutan dakwaan seorang penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang kini melarikan diri di luar negara bahawa belia melihat Nasir di kenderaan berkenaan sebelum Altantuya dibawa oleh polis.

Menurut Balasubramaniam, pada mulanya, beliau tidak mengenali Nasir tetapi berjaya mengecamnya melalui laporan media berhubung kenyataan pegawai khas Perdana Menteri itu yang dikatakan berbaur perkauman.


Berikutan peristiwa itu, Nasir meletakkan jawatannya sebagai pegawai khas Najib.


Jawapan yang dikemukakan oleh Hishamuddin di Dewan Rakyat, hari ini, bagaimanapun tidak menjawap soalan utama - benar atau tidak Nasir adalah lelaki dalam kereta yang berada di hadapan rumah Razak.


Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen, Sivarasa melahirkan rasa dukacitanya yang kerajaan memilih untuk tidak menjawap soalan yang dikemukakannya.


"Jawapan yang diberikan tidak menyatakan sama ada Nasir berada di kereta itu ataupun tidak tetapi sebaliknya perkara lain diceritakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mindef: Kontrak Scorpene bernilai RM6.7 bilion


Kerajaan membayar sejumlah 1.341 bilion euro (kira-kira RM6.7 bilion) untuk dua kapal selam Scorpene yang pembeliannya kini disiasat oleh mahkamah di Perancis kerana dipercayai mempunyai unsur rasuah.






Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan jumlah itu dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua di Dewan Rakyat hari ini.


Katanya lagi, sejumlah RM600 juta dibayar untuk perkhidmatan penyelenggaran bagi tempoh enam tahun.


“Kontrak penyelenggaraan masih dibincangkan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata Zahid.


Daripada jumlah itu, 114.96 juta euro dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, yang mempunyai kaitan rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bayaran untuk “penyelarasan dan perkhidmatan bantuan” yang dibekalkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, termasuk untuk latihan mewakili 10 peratus daripada harga dua kapal selam itu, iaitu sebanyak 969.15 juta euro (RM4.85 billion).


Chua dalam soalannya juga meminta menteri menteri pertahanan memberikan butiran perbelanjaan perbelanjaan kerajaan membeli dua kapal selam Scorpene dan juga butiran pembelian peluru berpandu kapal selam dari Itali dan Perancis.


Menjawab soalan kedua itu, Zahid mendedahkan kerajaan membayar 219.265 juta euro (RM1.1 bilion) for peluru berpandu berkenaan yang dijangka akan dibekalkan menjelang tahun 2013.

22/06/10

Anwar tetap dedah klip video RM2 juta










Peniaga lepas tuduhan hina Sultan Perak

Selepas empat hari dibicarakan, seorang peniaga hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan iaitu menghantar komen yang bersifat jelek terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melalui portal di internet.


Hakim Komathy Suppiah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi yang memanggil 10 saksi, gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muslim Ahmad, 54.

Muslim yang menghadapi tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang jelek sifatnya melalui portal negeri iaitu www.perak.gov.my.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.21 petang, 7 Februari tahun lepas. Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama pada pukul 2.27 petang hari yang sama, dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan kesalahan sama pada pukul 4.39 petang, 8 Februari tahun lepas.


Bapa kepada empat orang anak itu, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di alamat No 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di Kuala Lumpur.


Muslim, diwakili peguam K Periasamy dan N Nathan, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.


Komathy, dalam penghakimannya berkata berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan ke sembilan iaitu, Pengurus Bahagian Forensik Digital, Cybersekuriti, Mohd Zabril Adil Talib, 31, gagal menunjukkan ada kaitan atau persamaan antara masa komen yang dihantar dengan masa Muslim mengakses internet.


Selain itu, hakim berkata biarpun defendan seorang suspek dalam kes berkenaan berikutan alamat pengguna Internet Protokol (IP) yang digunakan miliknya namun secara amnya sesiapa saja boleh menggunakan alamat IP yang sama untuk mengakses internet.


"Ia menunjukkan ada kemungkinan terdapat orang lain menggunakan alamat IP yang sama digunakan oleh defendan," kata Komathy kepada Muslim yang dilihat begitu gembira.


--Bernama

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3