Polis akan terus mencari penulis blog seks Alvin Tan sehingga ke lubang cacing, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Khalid berkata, tindakan Tan yang semakin biadab memuat naik status dan gambar di laman sosial Facebook miliknya yang dilihat cuba memalukan beberapa pemimpin negara tidak boleh dimaafkan.
"Dia (Tan) ingat dia boleh lari. Bagaimanapun, setiap negara ada peraturan dan kita akan cari dia hingga ke lubang cacing," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia mengulas mengenai tindakan Tan melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) dan memohon suaka.
Khalid berkata, siasatan terhadap kes tersebut sudah dimulakan dan beliau turut memberi amaran keras kepada mereka yang mengaibkan pemimpin negara menggunakan media sosial.
"Tiada maaf lagi kepada sesiapa yang menggunakan rangkaian media bagi menghina dan menghasut," katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno itu.