BATU: PAS pernah bekerjasama serta bergabung dengan PKR dan DAP, namun keduanya ditolak atas tindakan parti-parti tersebut yang secara jelas merugikan Islam, demikian tegas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya.
Sebaliknya, PAS menerima Umno dengan memeterai Piagam Muafakat Nasional pada September tahun lalu atas kerjasama untuk bersama membawa sinar Islam dari perjuangan politik yang didukungi kedua-dua parti kini.
Perkara tersebut dijelaskannya pada Himpunan Wanita Muafakat Nasional (HWMUNA162) di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini awal minggu ini.
“Apabila sinar Islam cuba diranapkan, cuba dihilangkan, maka PAS tidak merasa segan silu, bahkan tidak merasa kerugian untuk ditinggalkan dan mereka keluar dari Pakatan (Rakyat) dahulu,” ujarnya.
Beliau turut menyingkap bahawa kerjasama dan penyatuan antara PAS dan Umno bukan perkara baharu, tetapi ulangan semula sejarah yang pernah berlaku beberapa kali, namun terpisah oleh berbagai sebab hingga kini kembali bertaut.