Berhati-hati dengan saluran yang disangkakan bersifat peribadi. Mungkin
itu ringkasan mesej yang cuba disampaikan bekas juruteknik komputer
Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edward Snowden dalam pendedahan
terbarunya seperti yang dilaporkan
TechCrunch.com.
Snowden yang kerap menggemparkan dunia dengan isu kerahsiaan maklumat
dan kini dalam persembunyian di Rusia, menasihatkan pengguna supaya
menjauhi perkhidmatan internet popular seperti Dropbox, Facebook dan
Google.
Snowden yang dihubungi melalui sesi temu ramah video
jarak jauh sempena Festival New York, berkata demikian ketika ditanyakan
soalan mengenai cara melindungi privasi.
“Bila anda mengatakan ‘Saya tiada apa untuk disembunyikan’, anda sebenarnya berkata ‘Saya tidak peduli tentang hak ini’.
“Anda juga berkata ‘Saya tidak memiliki hak ini kerana saya perlu
justifikasi mengenainya’. Satu-satunya cara sesebuah hak itu berfungsi
adalah pihak kerajaan perlu menjustifikasi pencerobohan dalam hak anda,”
kata Snowden yang mencetus ironi kerana temu ramah itu sendiri dibuat
menggunakan platform khidmat layanan Google.