----------------$$$$----------------

InstaForex
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab dan Isu Pilihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Soal Jawab dan Isu Pilihan. Papar semua catatan

26/03/14

Orang Islam Boleh Kahwin Dengan Jin Islam?

Ada seorang di tempat saya, disebut oleh orang kampung bahawa dia telah berkahwin dengan jin Islam, mempunyai anak dan hidup dalam keadaan rukun damai. Kebetulan saya pernah ke tempat orang ini, ke rumahnya. Saya dapati dia tinggal seorang diri, tetapi rumahnya bersih seolah-olah ada yang menguruskannya. Persoalan besar saya, bolehkah kita manusia, berkahwin dan beranak pinak dengan makhluk halus?

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Jawapan: Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang mereka kehendaki dengan izin Allah SWT. Persoalan samada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus dari segi sejarahnya banyak yang kita dengar bahawa Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin. Ibunya bernama Balqmah binti Saisan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami' as-Saghir oleh Imam as-Sayuti.

Tetapi apabila balik kepada masalah hukum, dengan jelas al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya); "Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan hidupmu dari jenis kamu juga." (Surah an-Nahli ayat 72) "Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah dijadikan bagi kamu dari jenis kamu juga, pasangan-pasangan hidup, supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dijadikan bagi kamu kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT." (Surah ar-Rum, ayat 21).

Kedua-dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga. Barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan saling percaya mempercayai.

Bayangkan jika kita mempunyai isteri dari kalangan makhluk halus, orang lain tidak nampak, kita seorang sahaja nampak, atau mungkin kita pun tidak nampak. Tetiba kita berselisih faham, bergaduh dan sebagainya, bagaimana akan terjadi kepada rumah tangga kita?

Hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah SAW menegah manusia mengahwini jin.

Berpandu kepada ayat dan hadis saya sebutkan, atas alasan ini jumhur ulama berpendirian, tidak harus mengahwini jin. Jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Kalau berlaku perhubungan jenis, mereka berkesedudukan dalam keadaan haram.

Tetapi Imam Malik bin Anas mengatakan perkahwinan itu adalah makruh dan ada ulama yang sependapat dengan Imam Malik. Namun apapun yang dapat dilihat maka perkahwinan ini suatu yang kudus, yang pasti diketahui syarat sah perkahwinan, yang paling asas adalah agama.

Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana boleh kita pastikan benar-benar bahawa dia Islam? Apakah dengan pengakuan mulut yang mengatakan bahawa dia (jin) Islam boleh diterima?

Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam. Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis). Kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud.

Maka jalan yang terbaik, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, "Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta." - Darussyifa' Online  


16/03/14

PENCERAHAN AGAMA: CIUM #KEMALUAN ISTERI TAK BAU SYURGA

Tersebutlah satu kisah yang berlaku dalam ceramah di satu masjid sebuah kampung.

Diceritakanlah si ustaz itu berkenaan sesiapa yang mencium #kemalu*an isteri atau suami, makanya dia tidak akan berbau syurga.

Ramai yang berbisik-bisik seperti tidak bersetuju. Tetapi takut hendak bertanya kerana takut diejek oleh rakan sekampung.

Maka terbawa-bawalah isu Cium #Kemalu*an Isteri ke kedai kopi.

Kebetulan selepas memberi ceramah, si ustaz singgahlah sebentar di kedai kopi.

Datanglah seorang lelaki muda bernama Harun mendekati ustaz.

Harun: Assalamualaikum ustaz. Boleh saya duduk di sebelah ustaz? Ke sudah ada empunya?

Ustaz: Waalaikumussalam, boleh. Silakanlah duduk, jangan segan.

Harun: Saya ada soalan ni ustaz, berkenaan ceramah tadi. Ada kemusykilanlah ustaz.

Ustaz: Ada ape yer? Boleh, silakanlah bertanya. Keep it short and simple.

Harun: Begini ustaz, pasal cium #kemalu*an isteri tak berbau syurga. Kenapa ye ustaz? Saya pernah dengar ada seorang ustaz tu beritahu, cium #kemalu*an isteri itu tak mengapa dan harus sebab suami isteri boleh saja. Jangan ada orang lain sudahlah. Kenapa boleh sampai tak berbau syurga pula ustaz? Berdosa besar ke?

Ustaz: Syyhhhh! Kuat betul suaranya. Pelahan sikit, tahula tak puas hati.

Harun: Maaf ustaz, bukan apa ustaz, sebab ini pertama kali saya dengar ceramah cakap perkara tu tak boleh. Semasa kursus kahwin tak ada pula bagitau tak boleh.

Ustaz: Ermm.. panjang nak cerita ni.

Harun: Pendekkan, Short and simple.

Ustaz: Balas nampak? Hmm...Tak sabar-sabar.

Harun: Ye la, saya musykil ni ustaz. Musykil.

Ustaz: Macam ni. Ustaz tak cakap pun tak boleh, apatah lagi tak cakap pun berdosa. Tetapi ustaz cuma cakap cium #kemalu*an isteri tu tak bau syurga.

Harun: Tak berbau syurga tu maknanya tak masuk syurga la kan? Berdosalah tu. Ustaz, saya dah pening ni.

Ustaz: Hek eleh awak nie, beria-ria sangat ni kenapa? Selalu buat ke? Begini, memanglah cium #kemalu*an tak bau syurga. Semasa cium tu bau apa? Cuba cakap?

Harun: Errr. Ermmm. ooOOOOOoooooo. Heh heh.

Ustaz: Faham? [sambil hirup kopi]

Harun: Faham ustaz. Kenapa tak cakap awal-awal. Boleh salah faham ni.

Ustaz: Dah masa ceramah, tak ada pula yang tanya. Ingatkan faham, pelik juga tadi. Kenapa semua senyap.

Lawak tak sampai ke apa. Rupanya salah faham. Haduh.

Satu kedai kopi gelakkan Harun. Padahal kebanyakan dalam kedai tu semuanya dah salah faham juga! Nasib baik ada Harun

11/01/12

Mandi pada waktu malam tidak memudaratkan

Adakah ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan?

Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan. Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan bahawa kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan dari kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

“Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetis, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita.

Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini,” kata beliau.

Kebaikan Mandi

Menurut Dr Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.

“Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu. Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

“Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

“Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, mana-mana pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi”.

Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

“Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan,” katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria dari permukaan kulit.

“Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun anti bakteria,” katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

“Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam,” kata beliau.

Ekzema

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan.

Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.

“Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan,” terang Dr Tan.

Katanya rawatan bagi kulit yang kering ialah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik adalah berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.

“Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering. Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air dari kulit.

“Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang punya masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit,” terang Dr Tan.

Jadual kerja ketat

Tetapi ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang punya masalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.

Pengamal perubatan Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Katanya ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.

“Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita.

“Masalah itu boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita,” kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?

“Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini. Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air dari paip.

“Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar di mana masyarakat menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti dari binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita dari mandi waktu malam.

“Kini kita semakin maju dan punya kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur,” kata beliau.

Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merelakskan otot badan.

“Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.

“Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit,” katanya.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

Kata Hassan: “Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat”.

Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.

“Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur),” tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.

Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.

- Bernama

8/01/12

Ucapan Takziah Bagi Orang Bukan Beragama Islam

Baru sebentar tadi bapa sahabat bukan ISLAM saya telah meninggal dunia.. Oleh itu saya tercari-cari ucapan untuk disampaikan kepada mereka. Oleh demikian saya mencari di internet terjumpa artikel ini dan ingin berkongsi dengan rakan-rakan para pengikut blog 1rakyat semoga kita dapat mengeratkan lagi ikatan di negara yang berbilang bangsa dan agama untuk saling hormat menghormati mengikut lunas ISLAM. RIP (Rest in Peace)
Mungkin kalau kita tahu bait penuh ucapan “Rest in Peace” atau RIP, kita tidak akan berani mengucapkannya lagi. Ucapan RIP ini merupakan do’a Kristian Katolik kepada pengikutnya yang telah menemui ajal berbunyi “May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace” atau ucapan asal didalam Latin “Anima eius et animae omnium fidelium defunctorum per dei misericordiam requiescant in pace”. Ucapan ini memohon kepada Tuhan agar roh simati dirahmati Tuhan.

Persoalannya, apakah hukum umat Islam mengucapkan takziah kepada keluarga si-mati yang bukan Islam? Agama Islam membenarkan ucapan takziah kepada keluarga orang bukan Islam yang telah menemui ajal. Kita bolehlah memberi ucapan seperti “kami bersimpati dengan apa yang anda hadapi”, “Kami turut bersedih diatas kehilangan beliau”, dan sebagainya. Atau didalam bahasa Inggerisnya seperti : “May Allah compensate you in your loss” , “Sorry to hear this tragic news, my sympathies are with deceased’s family on this sorrowful moment”, dan lain-lain.

Apa yang dilarang adalah memohon Allah merahmati roh si-mati sepertimana ucapan Rest In Peace. Kita dilarang memohon agar Allah mengampuni si-mati yang bukan Islam. Firman Allah swt :

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka.” [surah al-Taubah : 113]

SUMBER

Hukum Mendoakan Orang Bukan Islam

Adalah haram mendoakan orang bukan Islam sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri ataupun sebaliknya, dengan doa yang berbentuk permohonan keampunan dan seumpamanya yang tidak layak disebut bagi orang bukan Islam. Ianya dilarang sebagaimana firman Allah s.w.t. yang tafsirnya : “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah At-Taubah: 113)

Gambar Hiasan

Daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa yang berkata yang maksudnya : “Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah s.a.w., dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak harus mendoakan orang bukan Islam agar mereka mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Rahmat Allah s.w.t. itu khusus bagi orang-orang yang beriman. Akan tetapi harus bagi kita mendoakan orang-orang bukan Islam itu supaya mendapat hidayah, taufiq serta beriman kepada Allah s.w.t.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata yang maksudnya : “Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), Mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka.” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.”(Hadis riwayat Bukhari).

Sementara hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. berkata yang maksudnya : “Nabi s.a.w. pernah minta tolong menimba air, lalu ada orang Yahudi yang menimbakan air untuk Baginda. Maka Nabi s.a.w. mendoakannya: “Semoga Allah menjadikanmu tampan selalu.” Maka orang Yahudi itu sehingga meninggal dunia tidak pernah kelihatan uban dikepalanya.” (Hadis riwayat Ibnu as-Sunni).

Doa-doa seperti di atas ini adalah diharuskan. Tetapi mendoakan orang bukan Islam dengan memohon keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat, maka itu adalah haram.

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?

Ucapan Takziah Bagi Orang Bukan Islam

Harus bagi orang Islam memberi ucapan takziah kepada orang bukan Islam bahkan sunat hukumnya jika mengharapkan Islamnya.

Apabila si mati orang bukan Islam dan ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarganya yang Islam, lafaznya ialah seperti berikut : Ertinya: “Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya.”

Akan tetapi haram didoakan bagi mayat orang bukan Islam itu dengan memohon keampunan baginya, walaupun ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarga si mati yang Islam. Contoh lafaz mendoakan keampunan yang diharamkan bagi mayat orang bukan Islam itu seperti berikut : Ertinya :“Semoga Allah mengampuni si matimu.”

Tidak boleh diucapkan takziah kepada keluarga yang bukan Islam bagi si mati yang Islam itu dengan mendoakannya supaya Allah membesarkan pahala keluarga yang bukan Islam itu. Kerana tiada pahala bagi orang-orang bukan Islam. Tetapi harus diucapkan takziah kepada keluarga bukan Islam itu jika si mati orang Islam dengan lafaz seperti berikut : Ertinya : “Semoga Allah mengampuni si matimu dan membaikkan kesabaranmu.” (Mughni Al-Muhtaj: 1/481-482).

Manakala ucapan takziah bagi ahli keluarga bukan Islam dan si mati yang bukan Islam adalah lebih baik ditinggalkan kerana ianya mendoakan orang bukan Islam dengan berkekalan dan sentiasa dalam kekufurannya.

Sebagaimana penjelasan di atas adalah haram bagi umat Islam mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang bukan Islam dengan mendoakan semoga Allah membesarkan pahala mereka. Begitu juga mengucapkan bagi si mati yang bukan Islam dengan mendoakan keampunan. Kerana mendoakan orang-orang bukan Islam itu ada batasnya.

SUMBER

20/12/11

Tinjauan: 1/2 tak percaya Anwar dalam video seks

Tinjauan terkini Universiti Malaya (UM) mendapati seorang daripada dua orang tidak percaya bahawa video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan asli.
Menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel) itu, sebanyak 46 peratus daripada 1,304 tidak percaya terhadap video yang mula-mula didedahkan 'Datuk T' sebelum ini.

Kajian yang dijalankan pada 23 hingga 30 Oktober itu juga mendapati 36 peratus tidak pasti dan 18 peratus lagi percaya bahawa Anwar merupakan pelaku dalam video itu.

Manakala 40 peratus beranggapan bahawa pendedahan video itu tidak menjejaskan kewibawaan Anwar manakala 34 peratus beranggapan sebaliknya. Satu perempat lagi tidak jelas.

15/12/11

MURTAD Mengikut Pandangan Ulama

MURTAD Mengikut Pandangan Ulama.

Oleh Dr Zakaria @ Mahmod bin Daud, KIAS Disediakan oleh : Markaz Perjuangan Islam
Pendahuluan

Akhir-akhir ini isu murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja, ia ada disiar dalam akhbar-akhbar, majalah-majalah dan disebut dalam ceramah-ceramah bahkan ada kes-kes tertentu diangkat ke mahkamah.

Selain itu pengikut- pengikut kumpulan ajaran sesat ada di seluruh Malaysia dan mereka menghayati ajaran itu samada terang-terangan atau secara senyap-senyap seperti pengikut ajaran Ayah Pin, Anti Hadis dan lain- lain.

Selain itu, mungkin ramai dari umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu menukar agama, masuk agama Kristian, agama Hindu dan sebagainya.

Manakala yang mengamalkan ajaran- ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin, Hassan Anak Harimau dan lain-lain tidak dianggap murtad. Perkara ini tidak dianggap sensitif, yang dianggap sensitif hanya yang masuk Kristian, Hindu, Budha dan agama-agama lain. Kertas ini penulis akan mengulas mengenai murtad secara lebih luas mengikut pandangan ulama' Islam.

Definisi Murtad.

Murtad dari segi bahasa bermaksud "Kembali". Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggal atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana aqidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samada dengan melalui perkataan atau melalui perbuatan atau apa-apa iktiqad, kepercayaan dan keyakinan hati.

Murtad atau keluar dari agama Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam; Ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Sebab itu, orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh setelah disuruh bertaubat beberpa kali sedangkan dia tetap tidak mahu bertaubat.

Allah berfirman, ertinya : Dan sesiapa diantara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam) lalu dia mati, sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosaklah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama- lamanya) . (surah al-Baqarah : 217) Rasulullah bersabda, ertinya : Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya. (Hadis riwayat al- Bukhari)

Perkara-perkara yang Boleh Menjadi Murtad.

Mengikut Islam, murtad boleh terjadi dengan melalui salah satu dari tiga perkara berikut; melalui perkataan, ucapan dan kata-kata, melalui perbuatan atau tingkah laku dan melalui iktiqad, kepercayaan dan keyakinan dalam hati atau niat. Di bawah ini akan dijelaskan sebab- sebab tersebut.

a) Melalui Perkataan / Ucapan dan Kata- kata. Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata- kata. Apabila ucapan dan kata-kata tersebut menolak hukum-hukum Islam dan prinsip- prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina apa-apa ajaran Islam, hukum hakam Islam, menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan nabi-nabi lain, menghina Allah S.W.T. dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib puasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain, atau dia berkata minum arak tidak haram, berzina harus, apatah lagi kalau suka sama suka, riba' diharuskan (tidak haram), dikatakan al-Quran bukan kalam Allah atau kata-kata yang merendahkan dan menghina Sunnah Rasulullah, umpamanya apabila diterang kepadanya bahawa mengerat kuku adalah Sunnah Rasulullah S.A.W.

Apabila dia mendengar kata-kata itu, dia menjawab, "aku tidak akan kerat kuku, walaupun ia Sunnah Rasulullah (dengan niat mahu menghina sunnah tersebut)". Atau dia berkata, "sekiranya Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. menyuruh aku kerjakan anu-anu, aku tidak akan melakukannya" . Atau dia berkata, "Aku tidak tahu adakah nabi itu manusia atau jin". Atau pun dia berkata, "Aku tidak tahu apa itu iman". Semua kata-kata di atas adalah ucapan yang menghina / mengejek ajaran Islam, maka dengan kata-kata sedemikian seseorang itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga seseorang yang zalim, apabila dia mendengar orang yang dizaliminya berkata, "Ini, (kezaliman yang dilakukan ke atasnya) adalah ketetapan Allah dan takdir Tuhan", maka orang zalim tadi sebaik sahaja mendengar kata-kata di atas dia terus berkata dengan sombong,"Aku lakukan itu bukan dengan takdir Allah S.W.T. tetapi dengan kuasa yang ada padaku" , maka kata-kata orang zalim sedemikian itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang haram oleh Allah dan RasulNya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama' tetang halal atau haramnya perkara itu seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat, menghalalkan minum arak, atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jual beli dan seterusnya. Maka sikap sedemikian boleh menjadi murtad.

Dalam buku Mustika Hadis, ada menyebut beberapa contoh kata- kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu: Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :

• Hukum apa ini ? • Hukum ini sudah lapuk. • Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan. • Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong). • Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya? • Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya. • Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya. • Kalau hendak sangat menurut hukum- hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju. • Seseorang berkata," Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan). • Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah. • Membaca ayat- ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama- nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkann ya. Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.

26/10/11

Isteri Disyihirkan, Suami Buat Masiat & Halang Isteri Melakukan Ibadah

Assalamualaikum ustaz berdosa ke seorang wanita yg disihir dan badan nya di kuasai mahluk halus meminta cerai dgn suaminya...kerana siisteri sudah tidak tahan dgn suami yg selalu membuat maksiat dan yg tidak mahu bersamanya kerana dia memakai tudung, dan marah akan nya bila dia bangun pagi untuk sembahyg tahajud..ada ke wanita ini berdosa kerana memecah belahkan keluarga nya sendiri?

Jawapan

Apa yang saya faham dan dapat buat kesimpulan dari soalan puan adalah seperti seorang isteri kena syihir, isteri tersebut diabaikan oleh suaminya yang melakukan maksiat dan suaminya tidak suka isterinya menutup aurat dan melaksanakan ibadah kepada Allah.

Isteri Kena Syihir

Maksud Syihir adalah ilmu yang berkaitan perbuatan secara halus melalui pertolongan makhluk ghaib, iaitu dengan bantuan syaitan atau jin bertujuan memudharatkan atau mengelirukan manusia. Kalau si suami, kaum keluarga dan orang yang punya badan itu sendiri mengetahui ia telah disyihirkan. Maka cepat-cepatlah mendapatkan rawatan perubatan Islam. Jangan berlengah lagi sebab apabila orang yang terkena syihir secara tidak sedar ia akan melakukan segala perkara tanpa disedarinya. Nasihat saya dalam mendapatkan rawatan mestilah berwaspada dalam memilih pakar perubatan Islam, pastikan ia bertauliyah dan berijazah dari gurunya yang asal. Pastikan juga segala amalan dan perlakuannya tidak bercanggah dengan prinsip syariat Islam. Friman Allah yang bermaksud :

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.” (Al-Baqarah : 102)

Bagi sesiapa yang terkana syihir atau kaum kerabatnya yang terkena syihir, maka hendaklah ia bersabar dan redho dengan apa yang telah berlaku. Carilah jalan penyelesaian yang diredhoi Allah dan jangan mencari jalan untuk membalas dendam dengan apa yang telah dilakukan oleh orang yang telah berbuat jahat kepadanya. Semua perkara serahlah kepada Allah, biar Allah yang membalas balasan yang setimpal dari apa yang telah mereka lakukan.

Kalau orang yang disyihir cakap perkara-perkara yang boleh menjatuhkan iman seperti mempertikaikan kekuasaan atau kewujudan Allah. Sebenarnya perlakuan tersebut tidak merosakkan akidah kerana itu semua bukan datang darinya, secara ilmiahnya orang yang terkena syihir atau dirasuk oleh jin, kebiasaannya seluruh sarafnya telah dikuasai oleh jin. Nada suaranya juga berubah dan wajah mukanya pun berubah. Segala perkataan yang dikeluarkan itu bukan datang dari orang tersebut tetapi ia datang daripada jin yang telah menguasainya.

Begitu juga si isteri yang meminta cerai disebabkan kena syihir atau rasuk jin. Ia sebenarnya tidak berdosa kepada suaminya, yang menjadi dosa adalah orang yang mensyihirkannya itu. Di sini pihak suami seharusnya faham akan keadaan isterinya yang terkena syihir, jangan biarkan isteri begitu sahaja, cepat cari jalan untuk mengubati masalah yang dihadapi oleh isterinya. Suami seharusnya tenang dalam mengatur segala tindakan. Segala keputusan bersandarkan kepada Allah melalui doa dan solat sunat atau sebagainya. Ada pepatah yang mengatakan bahawa setiap kesulitan dan kepayahan itu ada jalan keluarnya dan mustahil tidak ada jalan keluar.

Isteri Diabaikan Oleh Suami Yang Melakukan Maksiat

Dalam perkahwinan suami isteri mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Jika hak dan kewajipan tersebut diabaikan, maka ia telah mengundangkan kemurkaan Allah kepada mereka. Dalam masalah ini, tidak sepatutnya seorang suami mengabaikan tanggungjawabnya. Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Cukup berdosa orang mengabaikan orang yang ditanggungnya”. (Riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Isteri boleh meminta cerai kepada suaminya (khuluk) jika benar-benar telah melalui beberapa pertimbangan menurut syariat Islam. Harus hukumnya sekiranya terdapat keperluan ke arah itu, seperti isteri membenci suaminya kerana perwatakan luarannya, kerana akhlaknya yang tercela, kerana agamanya ertinya mengabaikan perintah Allah atau melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan lain-lain, terlalu tua atau lemah syahwat. Kemudian isteri pula khuatir kalau-kalau tidak dapat melaksanakan hak-hak Allah SWT dalam mentaati suaminya.

Jika suami mengatakan bahawa dia telah melakukan zina dan sifat terus terangnya itu kerana menginginkan agar isteri meminta cerai, maka perbuatan suami semacam ini haram hukumnya dan berdosa besar. Seandainya telah sampai ke tahap demikian berpisah atau cerai adalah lebih baik demi kemaslahatan isteri dan menjaga agama isteri.

Sebagaimana Islam memberikan hak kepada suami tentang talak maka Islam juga memberi hak kepada isteri untuk meminta khuluk atau cerai. Untuk lebih memuaskan lagi hati puan merujuklah kepada pihak qadi yang berdekatan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang bijaksana dan mengikut undang-undang syariat di negara kita.

Suami Marah Isteri Melaksanakan Perintah Allah

Kebanyakkan isteri jahil tentang masalah ini, mereka sering kali mentaati suami mereka membabi buta, bila sahaja suami mereka menyuruh melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam, mereka serba salah dan delima untuk melakukannya. Sebenarnya perkara ini telah jelas dalam prinsip Islam bahawa Allah tidak pernah meredhoi umatnya melakukan perkara yang dilarang oleh Islam. Hal ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Tidak berdosa dan isteri juga tidak perlu meminta izin suami untuk melakukan ibadah atau melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah. Setiap suruhan Allah yang kita lakukan itu adalah sebagai lambang kita mentaati perintah Allah. Mentaati perintah Allah adalah lebih besar dari mentaati perintah suami atau manusia lain. Lazimnya bagi isteri yang mentaati perintah Allah, secara tidak langsung ia juga mentaati perintah suaminya.

Menjadi tanggungjawab kepada isteri menegur segala kesalahan dan ketidak fahaman suami tentang selok belok ajaran Islam. Jika ini semua telah dilakukan oleh isteri, maka ia telah melaksanakan tanggungjawabnya kepada Allah untuk menyampaikan amal makruf nahi mungkar dalam keluarganya.

Jika segala usaha menasihati suaminya diancam dengan siksaan atau perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudharatan kepadanya, maka lebih baik ia melibatkan keluarganya dan keluarga suaminya bagi membantu ia untuk menyelesaikan masalah ini. Selain dari itu juga ia boleh membuat aduan di Pejabat Agama Islam berdekatan untuk tindakan lanjut. PETIKAN DARI : Ustaz Nor Amin

12/10/11

Bolehkah Manusia Masuk Alam Jin & Sebaliknya

Soalan Banyak perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya. Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato' dapat jelaskan.

SUBHAN JAMAL,Kuala Langat

Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.

Cerita sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.

Dunia kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan, unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi dengan semua makhluk ini. Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.

Jawapan oleh Dato' Dr Haron Din

Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa.

Salah satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan) adalah pelindung dan penolong kamu........(hingga akhir ayat)." (Surah al-Anfaal, ayat 48) Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum.

Suraqah (syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.
Akhirnya apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya, lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin, ia adalah jelmaan syaitan.

Jelas daripada ayat ini, menunjukkan syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan berada dalam alam makhluk halus.

dalam Kitab Gharaib Wa'ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin'.

Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya.

Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber'idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber'idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.

Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.

Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.
Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.

Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu.

Kisah ini dengan sendirinya membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.

Namun demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin, tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.

Tidak mustahil, orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan masalah-masalah yang tertentu.

Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati.
Wallahua'lam.

(Petikan dari Ruangan bersama Ustaz Dr. Haron Din: Harakah Bil.1340)

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3