MARAN:
Gara-gara dikatakan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600,
seorang pesara warga emas terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000
selepas diperdaya sindiket Macau Scam.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir
Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 15 April lalu apabila wanita
berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa
kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Suspek
meminta mangsa menjelaskan hutang tunggakan cukai sebanyak RM17,600.
Namun mangsa menafikan mempunyai tunggakan cukai berkenaan.
"Mangsa
kemudian diminta untuk bercakap dengan Sarjan Kumarasin iaitu dari Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kononnya boleh membantu
menyelesaikan kes berkenaan.
"Selepas
bercakap dengan Sarjan Kumarasin, panggilan itu disambung pula dengan
seorang pegawai polis mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,"
katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Mohd
Wazir berkata, ketika bercakap dengan pegawai Bukit Aman itu, mangsa
menyerahkan sebanyak tiga kali nombor TAC kepada suspek yang kononnya
sedang membantu menyelesaikan kes berkenaan.
"Tidak
lama kemudian, mangsa yang tidak berpuas hati meminta seorang rakannya
yang bekerja dengan sebuah bank menyemak akaun miliknya dan mendapati
wang berjumlah RM49,800 sudah lesap," katanya.
Mohd
Wazir berkata, mangsa yang berasa dirinya sudah ditipu oleh sindiket
berkenaan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Maran di sini semalam.
"Polis
menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta
denda, jika disabitkan kesalahan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.