----------------$$$$----------------

InstaForex

12/08/09

Wajib Baca- Maklumat H1N1 Terkini !

10 soalan lazim tentang H1N1 - oleh Dr David KL Quek (Presiden MMA) - Ogos 2006
Diterjemahkan ke dalam BM oleh : Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin
Artikel asal di dalam bahasa Inggeris di sini:-

1) Bolehkah kita membezakan di antara selsema biasa dengan selsema H1N1 tanpa melalui ujian makmal?

Tidak boleh. Selsema adalah selsema, tetapi terdapat juga perbezaan yang boleh diketahui. Sesetengah gejala seperti batuk, hidung berair, demam, sakit badan, penat, muntah dan cirit berlaku hampir kepada semua pesakit yang menghidap selsema, tetapi gejalanya mungkin boleh berbeza dari seorang-ke seseorang yang lain.
Ada sesetengah pesakit yang mempunyai gejala yang ringan, ada yang pertengahan dan ada sebilangan kecil, kurang dari 10 peratus menunjukkan gejala yang merbahaya termasuk jangkitan paru-paru pneumonia.

Walaubagaimanapun, kajian penting dan pemerhatian oleh Kementerian Kesihatan beberapa minggu lepas menunjukkan hampir 95% daripada semua Penyakit Menyerupai Influenza (PMI) atau Influenza Like Illness adalah disebabkan oleh virus H1N1. (wow! saya pun terkejut!!)

Awal beberapa bulan yang lalu, selsema bermusim adalah disebabkan oleh virus jenis B dan jenis A yang lain, tetapi kini virus yang menyebabkan penyakit ialah dari jenis A (H1N1). Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran, yang membawa maksud bahawa virus baru ini membawa masalah dan menyebabkan penyakit bergejala daripada jenis virus-virus yang sebelum ini.

Disebabkan oleh Penyakit Menyerupai Influenza (PMI) ini disebabkan oleh H1N1, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan bahawa tidak perlu lagi ujian makmal diadakan untuk mengesahkan kehadiran H1N1 ini. (Dengar cerita bajet KKM dah makin sikit!)

Kita rawat seolah-olah ia adalah PMI disebankan oleh H1N1. Sekiranya gejalanya ringan, maka kita beri rawatan melegakan masalah (ubat demam paracetamol, hidrasi, ubat batuk dll) dan kuarantin diri, menjarakkan hubungan dan lebih berhati-hati dengan sebarang komplikasi.

Kebanyakan penghidap H1N1 (70%) tidak memerlukan ubat anti virus seperti Tamiflu atau Relenza. Cuma kes-kes yang teruk sahaja perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.


2) Bagaimana doktor membuat keputusan samada seseorang itu patut menerima rawatan khusus untuk H1N1

Selepas 2-3 hari, demam dan batuk tidak berkurang, sila buat rawatan semula, terutama sekiranya terdapat kesukaran bernafas, lemah badan dan pening, atau faktor risiko seperti di bawah:-

1. Obesiti (Kegemukan dilihat mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi)
2. Diabetes, sakit jantung
3. Asthma, Penyakit paru-paru kronik
4. Wanita mengandung
5. Immuniti yang rendah, pesakit kanser,
6. Mereka yang sudah mempunyai masalah jangkitan paru-paru (pneumonia)

3) Ramai pesakit yang terlalu bimbang kerana mempunyai jangkitan selsema PMI mahu diuji atau dirawat untuk H1N1 di hospital, tetapi disuruh pulang sahaja atau dibiarkan menunggu dan akhirnya tidak diuji. Adakah amalan ini betul?

Tidak ada yang betul atau yang salah tentang amalan ini, kerana wabak ini merebak terlalu meluas dan menyebabkan kita kekurangan sumber. Kes ini bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi di semua tempat di seluruh dunia!

Saranan sekarang ialah untuk tidak menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga untuk menjalani ujian di hospital dan klinik. Kemungkinan besar ia sesuatu yang tidak perlu. Saya diberitahu seramai 1000 orang pesakit beratur dengan penuh rasa bimbang di Hospital sungai Buloh untuk menjalani ujian, kerana takut dengan H1N1.

Oleh itu mesej yang disampaikan perlu jelas. Kebanyakan penyakit selsema tidak perlu ujian pengesahan, ringan dan boleh pulih sendiri. 90 peratus akan pulih secara sendiri hanya dengan rawatan mengurangkan simptom, cuma hati hati dengan kemungkinan komplikasi yang emungkin timbul dan faktor risiko yang diterangkan tadi.

Sumber kita sangat terhad terutamanya untuk ujian pengesahan. Masalah ini bukan sahaja di Malaysia tetapisecara global. Permintaan terlalu tinggi di seluruh dunia untuk kit ujian dan bahan reagent kimia untuk H1N1 (Polymerase Chain Reaction) telah melebihi pengeluarannya disebabkan oleh masalah ini.

Sehingga 200 juta kit ujian telah dibahagi-bahagikan ke seluruh dunia tetapi bekalannya sangat kritikal kerana permintaan yang sangat tinggi. Oleh itu, setiap negara perlu mengamalkan kaedah catuan untuk menjalani ujian secara terpilih sahaja kepada pesakit yang betul-betul memerlukan agar pengawasan situasi pandemik dapat dilakukan dengan lebih berkesan.


4) Adakah doktor keliru apa yang perlu dibuat pada waktu merebaknya wabak ini, terutamanya apabila mereka tidak mempunyai kebenaran untuk menjalani ujian makmal bagi pengesahan apabila diperlukan?

Tidak sebenarnya. Pada awalnya wujud kekeliruan apa yang perlu dibuat seterusnya, siapa yang perlu menjalani ujian, siapa yang perlu dirujuk dan siapa yang perlu dimasukkan ke dalam wad. (Betul! Saya ada masalah ini sekarang!)

Tetapi sekarang peraturan telah jelas.

Tidak ada keperluan untuk menjalani ujian pengesahan H1N1 atau apa apa virus pun yang menyebabkan selsema. Kita jangkakan sahaja ia adalah H1N1 kerana ia adalah majoriti daripada kes. Rawat simptom sekiranya ringan, beri kefahaman dan keyakinan kepada pesakit bahawa pesakit yang terkena perlu menjaga kebersihan diri, menjalani kuarantin, menjarakkan hubungan, pakai topeng muka bila mereka batuk atau bersin dan sentiasa berhati-hati dengan keadaan penyakit.

Sekiranya ada sesak nafas dan badan menjadi terlalu lemah, sila ke hospital terus untuk dimasukkan ke wad. Memang dimaklumi bahawa, fasa merbahaya ini tidak selalunya jelas dan difahami oleh semua orang. Tetapi tidak apa lagi yang kita mampu buat - jika tidak kita akan masukkan terlalu ramai pesakit ke dalam wad dan ini boleh menjejaskan perkidmatan kesihatan kita.

Pemerhatian yang lebih ketat dapat membantu yang mana satu pesakit yang betul-betul memerlukan mendapat rawatan yang lebih intensif. Walaubagaimanapun, pasti terdapat kes-kes yang tertentu dimana pesakit semakin teruk tanpa dijangka, dan meninggal dunia sebelum apa-apa boleh dilakukan. Diharapkan ia akan menjadi kes yang terpencil.

Ingatan yang penting ialah semua doktor dan jururawat juga mengetahui bahawa mereka juga perlu berhati-hati dan mengamalkan cara-cara untuk menghalang diri daripada dijangkiti. Masalah ini boleh berlanjutan sehingga satu ke dua tahun. Sekiranya cuai mereka juga boleh terkena jangkitan!


5) Adakah garis panduan dari Kementerian Kesihatan lengkap untuk menangani masalah ini?

Saya fikir, garis panduan dari KKM telah lengkap. Walaupun ada ahli politik yang menyalahkan KKM dan menterinya kerana tidak cekap untuk mengendalikan pandemik ini, tetapi sebenarnya ini tidak tepat.

Kita perlu ingat bahawa ini adalah virus yang baru dan tidak pernah dihadapi sebelum ini. Jangkitannya dan cara perebakannya adalah sangat pantas dan hampir semua orang tidak immun terhadap virus ini.

Kemungkinan, suatu hari nanti, semua sumber dari kerajaan dan sektor swasta boleh digemblengkan untuk disalurkan ke arah yang lebih efisyen. Masalah logistik boleh berlaku kerana manusia adalah berbeza dari segi kapasitinya untuk memahami sesuatu masalah dan mengikut arahan-arahan yang diberikan daripada pelbagai pihak.

Adakalanya permintaan daripada pesakit adalah luar biasa dan kadang-kadang tidak terikut. Setiap pesakit merasakan bahawa penyakitnya adalah lebih bahaya dan memerlukan lebih penjagaan dan analisa.

Doktor juga berada di dalam tahap tidak pasti tentang keseriusan atau tahap bahaya penyakit baru ini - kita cuma baru cuba memahaminya dengan lebih baik sekarang. Oleh itu tahap keyakinan dan penerangan yang diberikan oleh doktor kepada pesakit tidak begitu meyakinkan bagi pesakit terutama kepada pesakit atau saudara mara yang terlalu bimbang.

Tidak ada banyak yang doktor boleh lakukan di dalam keadaan terdesak seperti ini terutama dengan cepatnya merebaknya penyakit ini seolah-olah merebaknya api ganas di dalam hutan. Apapun, kita jangan panik. Ingatlah bahawa 90% daripada pesakit yang terkena akan pulih dan mengalami kesan yang ringan. Kemungkinan hanya 10% sahaja yang dijangka akan mengalami masalah dan dimasukkan ke wad.


6) Adakah adil untuk menghadkan ujian pengesahan H1N1 hanya kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital?

Saya sudah terangkan bahawa keadaan kekurangan kit dan alat reagent untuk menjalankan ujian pengesahan. Lagipun ujian ini tidak boleh dilakukan kepada semua orang di seluruh dunia. Apatah lagi kita mengetahui bahawa hampir semua penyakit jangkitan selsema, batuk dan gejala flu sekarang disebabkan oleh H1N1.

Rasional kita menjalankan ujian pengesahan kepada pesakit dalam wad ialah supaya kita dapat menghadapi musuh yang jelas, mengasingkan pesakit yang mempunyai virus yang bermutasi. KKM juga sedang membuat kajian secara rawak di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih tepat jenis-jenis virus yang merebak sekarang.


7) Adakah kita kekurangan ubat anti-virus (Tamiflu, Relenza)? Bolehkah saya makan Tamiflu?

Ubat antivirus ini didapati di kebanyakan klinik dan hospital ketika penularan wabak selsema burung (avian flu) tetapi sekarang sangat-sangat terhad. Kita kena ingat ubat ini juga dipesan oleh 167 negara di seluruh dunia.

KKM telah menyimpan di dalam stok 2,000,000 dos tamiflu dan ubat generiknya. Di dalam mesyuarat pandemik antara menteri yang lepas, Malaysia akan meningkatkan simpanan tamiflu kepada 5.5 juta dos iaitu meliputi 20 peratus populasi rakyat.

Buat masa ini, negara tidak mengalami kekurangan tamiflu. Ia cuma belum diedarkan secara umum lagi. KKM perlu memantau pemberian ubat ini dengan lebih ketat.

Sektor swasta pula berlainan pendapat dan mahukan ia diedarkan dengan lebih terbuka kepada umum dan kawalan dapat dikurangkan. Tetapi kita maklumi bahawa terdapat ketakutan yang mempunyai dasar, iaitu apabila berlaku rintangan (resistant) oleh virus ini. Cuba bayangkan virus H1N1 yang tidak lagi lut kepada apa-apa ubat antivirus. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalang kita dibunuh oleh virus ini!

Jenis virus rintangan ubat (drug resistant virus) yang kebal ini telah dikesan di Mexico, sempadan US, Vietnam, Britain dan Australia. Oleh itu kita perlu lebih cakna dan menilai keadaan semasa dengan lebih bijaksana.

Walaubagaimanapun, oleh kerana terdapat situasi di mana orang yang sihat pada asalnya tiba-tiba berubah menjadi kritikal atau meninggal dunia, maka para doktor tidak menolak kemungkinan bahawa virus jenis yang lebih garang ini sudah sampai ke tanahair kita. Atau mungkinkah kita yang lambat untuk memberi rawatan yang sepatutnya.

Tol kematian ke angka 14 (yang saya tahu 15 orang - seorang belum diumumkan) semakin membimbangkan. Pihak KKM sedang melihat perkara ini dan membuat kajian samada virus bermutasi ini sedang merebak. Kita berharap ia belum lagi berlaku.


8) Apakah masalah yang dihadapi doktor di dalam menghadapi H1N1?

Ia sangat berguna apabila doktor memberikan perhatian yang lebih kepada informasi tentang H1N1, mengetahui perubahan dan pembaharuan informasi setiap hari. Ini boleh membantu pesakit kita.

Melayari internet setiap hari untuk mengetahui informasi terkini boleh membantu. Daripada asyik merungut tentang kekurangan data dan maklumat di dalam arus perdana, para doktor perlu bersikap proaktif dan bertanggungjawab di atas masalah ini yang mungkin berlarutan sehingga ke satu atau dua tahun lagi.

Yang lebih penting, tumpukan perhatian yang lebih terhadap jangkitan paru-paru, faktor risiko dan rujuk secepat mungkin untuk penjagaan yang lebih rapi.

Kemudahan antivirus yang lebih mudah, penggunaannya yang bertanggungjawab, dan pemerhatian yang serius dapat mengurangkan keresahan dan kebimbangan orang ramai terhadap kelewatan menerima rawatan. Menggunakan antivirus secara tidak terkawal atau untuk mengelakkan jangkitan adalah cara yang salah dan menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

Walaupun begitu, merujuk kepada kes-kes di mana pesakit yang muda tiba-tiba meninggal dunia, maka penggunaan antivirus ini perlu digunakan lebih awal dan lebih aggressif.

Kita mengalu-alukan kehadiran Vaksin H1N1 spesifik dijangka pada akhir tahun. Buat masa ini, kepada petugas di barisan hadapan, pesakit jantung dan paru-paru dan pengembara yang sering ke luar negara dapat mengambil vaksin untuk flu bermusim yang boleh membantu mengurangkan masalah flu dari jenis lain.


9) Adakah kita sudah melaksanakan apa yang patut dan perlu dibuat?

Ya, apabila kita mellihat apa negara lain buat, kita secara relatifnya agak baik. Kita tidak telalu menakut-nakutkan orang ramai tentang bahaya penyakit ini dan dalam masa yang sama kita adalah telus di dalam menyatakan kemungkinan bahawa penyakit ini semakin merebak.

Pada awalnya, terdapat agensi, orang ramai dan doktor menuduh kami terlalu membesar-besarkan pandemik ini. Dan maklum balas kami dianggap terlalu melampau. Terlalu membesar-besarkan! Hanya apabila ada pesakit yang mati, maka apa yang kita buat sekarang pula dianggap terlalu sedikit!

Jika kita ikhlas memikir tentangnya, cuba bandingkan dengan negara lain, dan kita dapati bahawa tidak ada satu pun kerajaan di negara lain yang berjaya menangani masalah ini secara tepat.

Kita sedang mempelajari penyakit pandemik flu ini, dan maklumbalas setiap egara adalah berdasarkan pengalaman mereka yang lalu. Di Hong Kong, China, Vietnam, Singapore dan Malaysia, kita pernah mendapat penularan SARS, oleh itu kita lebih paranoid!

Dan pengalaman kita juga, tidak ada flu yang menyebabkan kematian sebelum ini, tak seperti di barat dimana flu bermusim membunuh beratus malah beribu orang setiap tahun! Oleh itu, ketakutan kepada H1N1 tidaklah setanding di barat. Walaupun sekarang ia semakin digeruni, apatah lagi kemungkinan ia akan bertukar kepada virus yang lebih garang menyebabkan ombak kedua atau ketiga pandemik ini, kita tidak akan tahu sehingga setahun dua tahun lagi.


10) Adakah orang ramai secara umum sudah cukup membantu untuk mengawal penularan ini?

Saya fikir orang ramai sudah cukup diberitahu tentang H1N1 pandemik ini. Malah mereka mungkin terlalu tahu sehingga mereka menjadi terlalu takut. Yang lebih penting, jangan panik dan berlebih-lebih.

Sudah pasti bahawa H1N1 akan merebak ke sekolah, universiti, akademi, kilang, pejabat, tempat kerja dll. WHO menganggarkan hampir 20-30 peratus populasi dunia akan dijangkiti penyakit ini setelah mengkaji model jangkitan penyakit-penyakit yang lalu. Cra jangkita utama dan yang paling pantas ialah melalui jalan udara.

Dimana flu-flu yang terdahulu mengambil masa 6 BULAN untuk merebak ke sekian banyak negara, H1N1 "berjaya" menular ke bilangan negara yang sama dalam masa 6 MINGGU!

Jika senario yang paling teruk berlaku, wabak ini dijangka akan menyebabkan kemasukan hospital sebanyak 100,000 orang sehingga ke 500,000 orang, dan kemungkinan melibatkan 5,000-27,000 orang akan meninggal dunia!

Oleh kerana kita telah memerhatikannya dengan rapat dan mengawal daripada merebak sehingga kini, keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi daripada orang ramai, ia mungkin boleh mengawal jangkitan dan kes kematian ke tahap terkawal.

Bagaimana orang ramai boleh membantu? Pertama belajar dan laksanakan kebersihan diri yang baik. Sekiranya sakit, pastikan anda duduk di rumah, aau paling baik duduk di dalam bilik. Pakai topeng muka (topeng 3-ply pun dah cukup). Jangan keluar, jarakkan diri anda dengan orang lain lebih kurang 3 meter. Jangan keluar dan menyebarkan virus.

Bagi orang muda, ia adalah sesuatu yang sukar. Itu sebabnya virus ini merebak dengan cepat bagi golongan umur 16-25 tahun.

Bila penyakit ini tidak kurang selama beberapa hari, atau semakin teruk, pergi ke hospital yang berdekatan. Yang lebih penting, sentiasa berhati-hati dalan amalkan sikap bertanggungjawab.

Akhirnya, ambil tahu tentang berita terkini kerana informasi tentang penyakit ini sentiasa diperbaharui..

Vaksinasi H1N1 secara besar-besaran akan tiba dan masalah ini kita akan dapat atasi juga. Sementara itu, ia akan mengambil masa, tenaga, kesabaran, penggemblengan tenaga daripada pihak yang berwajib dan juga orang ramai dan menggunakan sumber kewangan yang banyak.

Dr David KL Quek ialah Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Terjemahan oleh Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin

Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bil 10/2009 Berkenaan H1N1

Ini adalah surat pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bil 10/2009 - secara amnya KKM membuat keputusan untuk tidak lagi menutup sekolah-sekolah yang pelajarnya dikesan positif. Setiap hari guru akan mengadakan pemeriksaan kepada semua pelajar. Yang menunjukkan simptom akan disuruh pulang dan cuma kembali ke sekolah setelah sihat. Penutupan kelas atau pengawalan hanya kepada mereka yang terlibat sahaja. Penutupan sekolah dianggap sebagai langkah terakhir.

Tan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan,

Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 10/2009

PANDEMIK (H1N1) 2009 DI MALAYSIA:


LANGKAH PENCEGAHAN BAGI MENGURANGKAN KEMATIAN,

LANGKAH KAWALAN PENULARAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI/SEKOLAH.


TUJUAN

Surat Pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan tindakan pelaksanaan aktiviti tambahan kepada pencegahan dan pengawalan Pandemik (H1N1) 2009 bagi memperlahankan penularan dan mengurangkan impak pandemik kepada aktiviti sosioekonomi kepada masyarakat dan negara.

LATARBELAKANG

2.1 Penularan pandemik influenza A(H1N1) ke Malaysia telah memasuki komuniti dan jangkitan tempatan ini dijangka akan melibatkan jumlah kes yang tinggi terutama di tempat-tempat yang mempunyai kepadatan penduduk atau penghuni yang tinggi. Penularan ini perlu diperlahankan bagi mengurangkan beban kepada fasiliti kesihatan juga jangkitan kepada golongan berisiko tinggi.

2.2 Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) telah mengeluarkan pekeliling pada 31 Julai 2009 di mana telah mengesyorkan pemberian awal dalam tempoh 48 jam selepas onset simptom, rawatan anti-viral influenza kepada golongan berisiko tinggi.

2.3 Bilangan kluster kejadian jangkitan influenza A(H1N1) yang meningkat dan melibatkan pelbagai sektor termasuk sekolah / institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan di komuniti. Kejadian kluster di sekolah dan institusi pengajian tinggi telah mengakibatkan banyak sekolah telah ditutup dan ini memberi impak negatif terhadap aktiviti pembelajaran pelajar.

2.4 Taklimat Mencegah Influenza A(H1N1) di Institusi Pengajian Tinggi telah diadakan pada 1 Ogos 2009. Sesi taklimat ini dihadiri oleh pegawai-pegawai dari semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan juga pegawai kesihatan daerah terbabit.


KEPUTUSAN

Bagi mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti pembelajaran dan memastikan rawatan awal dengan anti-viral influenza dapat diberikan dengan segera bagi mereka yang berisiko tinggi dan menunjukkan simptom-simptom jangkitan influenza, Kementerian Kesihatan telah membuat ketetapan berikut;

3.1 Semua kes-kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza serta mempunyai faktor risiko(mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetik dan golongan imuniti rendah), hendaklah diberi rawatan anti-viral influenza serta-merta TANPA perlu membuat ujian pengesahan influenza A(H1N1). Pemberian rawatan dalam tempoh 48 selepas onset memberi manfaat yang optimum.

3.2 Ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk kes-kes yang dirawat di hospital (maksudnya di sini yang ditahan di wad sahaja).

3.3 Bagi pelajar sekolah termasuk institusi pengajian tinggi adalah diingatkan bahawa mereka yang bersimptom hendaklah mengelakkan diri daripada menghadiri kelas atau kuliah termasuk aktiviti berkumpulan. Mereka hanya dibenarkan menghadiri aktiviti-aktiviti ini selepas 1 hari bebas simptom jangkitan influenza A(H1N1).

3.4 Untuk tindakan kawalan yang berkesan penularan penyakit influenza di sekolah atau institusi tinggi, kerjasama semua pihak adalah diperlukan termasuk ibu-bapa dan pelajar itu sendiri seperti yang berikut;

a)
Pelajar yang bersimptom influenza hendaklah tidak dibenarkan bersekolah oleh IBU BAPA (bukan doktor atau guru tau!) dan hendaklah segera dirujuk mendapatkan rawatan. Mereka hanya dibenarkan bersekolah setelah bebas simptom jangkitan.

b) Semasa pembukaan sesi pagi atau sebelum memasuki kuliah, para guru atau pensyarah hendaklah memaklumkan pelajar yang bersimptom untuk tidak memasuki kelas dan dirujuk untuk rawatan. Mereka hanya dibenarkan memasuki kelas setelah bebas simptom.

c) Penutupan sekolah merupakan pilihan terakhir dalam menangani kejadian influenza A(H1N1) di sekolah atau institusi. Jika penularan terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan dan pencegahan hendaklah menumpukan kumpulan ini. Penutupan sekolah atau institusi pengajian tinggi secara total, hendaklah dibuat setelah siasatan dan penilaian risiko yang teliti dijalankan mendapati terdapat justifikasi kukuh berbuat demikian serta dengan persetujuan bersama di antara pihak pejabat kesihatan daerah dan institusi / sekolah.



TARIKH BERKUATKUASA
Surat Pekeliling ini berkuat kuasa dengan serta-merta.


PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan hendaklah dikemukakan kepada;

Pengarah Kawalan Penyakit
Bahagian Kawalan Penyakit
Aras 3, 4, 6 dan 8, Blok E10
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya

Tel: 03-88834370 / 88834386


Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

10/08/09

Khairy jerut leher sendiri!

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) -Hujah yang menjerut leher sendiri! Umno terdesak! Demikian antara kenyataan yang boleh ditujukan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.
Iklan

Kenyataan Khairy bahawa PAS wajar keluar daripada Pakatan Rakyat ternyata satu usaha terdesak dan Umno kini semakin kehilangan modal dalam menarik kembali sokongan rakyat.

"Dewan Pemuda PAS Pusat ingin mempertegaskan bahawa Umno terlebih berhak dan wajar untuk keluar daripada BN dan menyertai PAS sebagai sebuah gerakan Islam jika sekiranya Umno benar-benar ikhlas mahu membela serta memelihara kesucian agama Islam,"tegas Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi hari ini.

Tambahnya, Pemuda PAS melihat desakan Khairy supaya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat jelas menunjukkan bahawa Umno sangat terdesak untuk menguasai kepercayaan rakyat dan pengaruh politik nasional.

"Pemuda PAS juga melihat hujah Khairy bahawa PAS terpingir dalam Pakatan Rakyat semata-mata kerana adun PAS di Pulau Pinang tidak diberi Jawatan exco lalu mengesa supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat adalah hujah yang menjerut leher beliau sendiri kerana Khairy Jamaludin sendiri selaku Ketua Pergerakan Pemuda Umno tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam kebinet Dato' Seri Najib Tun Razak.

"Bukankah itu juga satu penghinaan dan satu penyisihan yang jelas dilakukan oleh Najib kepada Khairy sedangkan Naib beliau iaitu Dato' Razali Ibrahim dilantik Timbalan Menteri. Kenapa tidak pula Khairy Jamaludin keluar daripada Umno setelah jelas beliau disisih dan dihina oleh Presiden partinya sendiri,"bidas Ustaz Nasruddin.

Semalam Kahiry mencabar PAS keluar daripada pakatan pembangkang bagi menjaga maruah parti itu yang seolah-olah tidak dihargai oleh rakan gabungannya, DAP.

Beliau berkata, gabungan itu bukan sahaja tidak mempunyai semangat setiakawan yang tinggi seperti Barisan Nasional (BN), malahan tidak menghormati sumbangan PAS.

Tambahnya, contoh yang jelas berlaku di Pulau Pinang apabila satu-satunya wakil rakyat PAS yang memenangi pilihan raya umum lalu tidak mendapat sebarang tempat dalam barisan exco kerajaan negeri.

"Oleh kerana kita akan ada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir tidak lama lagi dan difahamkan PAS akan bertanding di situ, saya cabar PAS supaya menuntut jawatan exco daripada kerajaan negeri pimpinan DAP agar suara PAS didengari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Bukit Mertajam semalam.

Beliau berkata, jika mereka tidak diberikan tempat, sewajarnya parti itu menarik diri daripada gabungan itu untuk menjaga maruah.

"Saya bagi cabaran kepada PAS sekiranya kerajaan negeri DAP dan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng tidak menghormati parti itu dengan tidak memberi jawatan sebagai exco, saya sarankan PAS keluar dari pakatan pembangkang di Pulau Pinang," katanya. - mks._

Kemenangan awal PAS di Permatang Pasir

UALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) - Permatang Pasir milik PAS! Kehadiran bulan Ramadan bakal memberikan kemenangan kepada PAS dalam mempertahankan Dun Permatang Pasir kelak.
Iklan

Bulan Ramadan tidak akan melemahkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat sebaliknya akan memberikan kekuatan dan kemenangan.

"Ramadan adalah bulan jihad dan bulan kemenangan yang telah menyaksikan pelbagai peristiwa besar di sepanjang sejarah dan tamadun Islam khasnya perang atau Ghazwatul Badr al-Kubra yang berlangsung pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah,"kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Tambahnya, saf para pejuang Islam akan lebih kemas, bergaya dan perkasa terutama dalam menghadapi pilihan raya kecil kelak.

"Bulan Ramadhan akan mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia , semangat kemanusiaan yang tinggi berpaksikan fitrah yang suci dan kesabaran yang mantap melepasi ujian yang dipraktis.

"Disiplin menjadikan saf para pejuang Islam akan kelihatan lebih kukuh dan mantap serta sukar untuk digugat,"jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos, awal Ramadan, dan penamaan calon pula 17 Ogos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan pilihan raya kecil itu dalam bulan puasa kerana, "ia merupakan masa yang palng sesuai sekali untuk menyelesaikan secepat yang boleh kerana umat sedang berpuasa".

"Waktu itu juga merupakan masa cuti sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya pagi tadi.

Pilihanraya kecil kelapan ini diadakan ekoran kematian Dato' Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu.

Permatang Pasir adalah satu daripada tiga kerusi negeri dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi. - mks.
PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3