----------------$$$$----------------

InstaForex

27/03/10

Hulu Selangor: Pakatan Rakyat ada kelebihan

KUALA LUMPUR: Komposisi kaum yang agak ‘kacukan’ di kawasan Parlimen Hulu Selangor dengan pengundi Melayu sebanyak 53.9 peratus, Cina (26.7), India (19) dan lain-lain (0.4), memberi kelebihan kepada PKR dan Pakatan Rakyat berbanding Umno dan BN.


Bagi Pengarah Pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Fuziah Salleh (gambar), pihaknya masih belum memilih calon walaupun tumpuan umum banyak menjangkakan bahawa Datuk Zaid Ibrahim bakal mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu.


“Keputusan berkenaan calon itu, sekarang ini ada ramai yang cukup berwibawa untuk dicalonkan, bagaimanapun saya akan menyerahkan nama-nama mereka kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan terakhir,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuantan.


Pun begitu, beliau berkata, PKR tidak mempunyai banyak masalah dalam memilih calon kerana identiti PKR bukanlah berasaskan pada perkauman, bukan seperti Umno/BN.


Maka, kata beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan membuat ketetapan akhir berhubung persiapan pilihan raya kecil tersebut pada 4 April depan, sebelum dilanjutkan dalam Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat kelak.


Parlimen Hulu Selangor bakal menyaksikan pilihan raya kecil berikutan kematian wakilnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam tadi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan berhubung perkara itu Jumaat depan.


Dalam pada itu, Fuziah sendiri mengakui bahawa Umno tempatan, khususnya di Hulu Selangor cuba untuk meletakkan calon mereka di kerusi terbabit atas dasar majoriti pengundi adalah Melayu, sedangkan kerusi tersebut sebenarnya adalah kerusi tradisi MIC, Datuk G. Palanivel.


“Sesiapa pun (calon BN) yang diletakkan di situ, ia suatu kelebihan bagi kita, calon PKR sudah pun dilihat mewakili semua kaum,” ujarnya.


Ekoran itu, PKR menurut beliau, tidak perlu menganggap kelemahan BN tersebut sebagai kekuatan pada PKR.


Sebaliknya, beliau berkata, PKR serta Pakatan Rakyat seharusnya bersedia membuat persiapan kempen politik yang lebih rasional dan demokratik, bukannya kempen perkauman seperti Umno BN.


“Apabila kita masuk apa-apa pilihan raya, fokus dan persediaan kempen kita adalah apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat, tidak perlu fokus pada kedudukan orang lain (Umno BN),” jelasnya.


Demi menjayakan kempen tersebut, beliau bercadang untuk mengemukakan pencapaian-pencapaian Pakatan Rakyat sepanjang memerintah negeri Selangor supaya rakyat boleh membuat perhitungan dan perbandingan dengan rekod pemerintahan kerajaan negeri di bawah Umno/BN, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.


“Itu lebih penting, apa pencapaian Pakatan Rakyat di Selangor, bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat dari kerajaan negeri,” katanya.


Menurut beliau, dengan berbuat demikian, rakyat sekaligus dididik dengan politik yang lebih sihat, anti perkauman, anti kronisme serta anti-kezaliman yang selama ini disinonimkan dengan pemimpin tertentu dalam Umno/BN.

Musa Hassan berbohong ????


KUALA LUMPUR,: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah hari ini dipanggil memberi keterangan mengenai laporan polis yang dibuatpada 24 Mac lalu terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam prosiding Mahkamah.


Beliau hadir jam 3.00 petang tadi memberi keterangan hampir satu jam di ibu pejabat polis IPD Dang Wangi.





"Mereka minta bukti saya ada untuk menunjukkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah membuat kenyataan palsu dalam mahkamah.


"Saya sebut saya lampirkan dalam laporan polis saya, saya kepilkan nota prosiding mahkamah.


"Ini bukan cerita dengar cakap, saya dapat bukti kukuh berdasar nota prosiding yang ditaip di mahkamah", katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.


Rabu lalu, Siva membuat satu laporan polis terhadap Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.


Menurut Sivarasa, semasa kes perbicaraan Anwar pada tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.


Tetapi ujarnya, semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan.


Pada masa yang sama, beliau juga turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghentikan tempoh perkhidmatan ketua polis negara itu.


Baginya, Musa sebagai pegawai tinggi kerajaan sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila melakukan pembohongan di mahkamah.


"Sekarang ini bukan isu dia ada diploma atau ijazah, isunya dia berbohong di mahkamah.


"Kalau nak tahu dia ada diploma atau ijazah, baik tanya dia sendiri," katanya.

24/03/10

"Bekerjasama dengan Umno laksana memikul biawak hidup" - Haji Hadi


Langkap,: Tuan Guru Dato Seri Haji Hadi Awang menegaskan bahawa PAS tidak akan mengambil kekuatan daripada parti yang berpenyakit; parti yang sedang melalui kelemahan. Beliau juga menganggap bekerjasama dengan Umno adalah laksana memikul biawak hidup.


“Pepatah Melayu mengatakan, kalau memikul biawak hidup, menyakitkan kita, kuku dia, dia gigit kita …lebih baik kita bersendirian, kita lapah biawak, ambil kulit dia tu, boleh tak?” Tanyanya dengan disambut sorak ketawa para penyokong di pejabat Dewan Penyokong PAS di sini tengahari tadi.


Demikian reaksi TGHA terhadap seorang wartawan akhbar bahasa Cina yang bertanyakan samada PAS akan bekerjasama dengan Umno.



TGHA tiba di pekan kecil ini tengahari tadi untuk menyampaikan ucapan takziah dan sedikit sumbangan PAS Pusat kepada keluarga mendiang Siva, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak yang ditembak mati pada minggu lalu.


Menurut TGHA, PAS sudah berpengalaman bersama dengan Barisan Nasional. Pada tahun 1974-1978, PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional dan telah mengalami pengalaman yang banyak yang menjadi pelajaran kepada PAS.


Beliau menjelaskan, bahawa selagi Umno tidak boleh membuat perubahan, tidak menerima matlamat untuk mengubah sistem kehakiman, mengubah SPR, mengubah amalan demokrasi yang betul-betul demokratik yang adil; kalau Umno tidak sanggup membuat perubahan ini, tidak ada guna PAS mengadakan kerjasama dengan mereka.


“Mereka mesti terbuka untuk mengembalikan Kehakiman,mengembalikan Demokrasi, mengembalikan Kebebasan Media dan mesti dibuktikan dahulu dengan menunjuk sikap yang positif terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dimana mereka rampas royalti Terengganu, yang menafikan royalti Kelantan, yang menafikan hak Pulau Pinang, hak Kedah …,” katanya.


Beliau juga berkata, “Kalau Umno nak bekerjasama , media-media mesti diberikan peluang kepada semua dan tunjukkan dahulu cara-cara yang baik termasuklah Federalisme, yakni konsep Persekutuan mengikut perlembagaan.”


“Tidak ada penunujuk-penunjuk arah yang positif. Bagaimana nak bekerjasama? Apa yang berlaku, makin hari makin merosot,” katanya lagi.


Seorang wartawan akhbar Sin Chew telah memuji kenyataan TGHA tersebut dengan mengatakan bahawa kaum Cina dan India tentu akan bertambah yakin terhadap apa yang dinyatakan itu, Tuan Guru menjawab :


“Ya, supaya kaum India dan Cina melihat kerajaan kita di negeri-negeri Pakatan Rakyat apa yang kita buat walaupun kita menghadapi pelbagai kepayahan, kita laksanakan seboleh mungkin yang kita buat.


Kepada pertanyaan wartawan yang sama , mungkinkah kaum Cina , India dan bukan-Muslim diterima terus menjadi ahli PAS selepas ini? Tuan Guru berkata:


“Ya, kita telah membuat satu anjakan paradigma dengan memasukan peruntukan di dalam perlembagaan PAS, menubuh Dewan Himpunan Penyokong PAS dan menjadikannya sebagai satu cabang daripada PAS.


Berita asal: alhusseyn51.blogspot.com

Rumah pengarang buku 'Altantuya' diserang bom petrol

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Rumah pengarang buku 'Di Sebalik Pembunuhan Altantuya', Badrul Hisham Shahrin di Seremban dibom dengan molotov cocktail kira-kira jam 1.30 pagi tadi.


Akibat dibom menggunakan bom minyak itu, menurut Badrul, terdapat kesan kebakaran yang kecil di halaman rumahnya di Taman Chedang.

Pun begitu, beliau yang dikenali Chegu Bad mengesahkan tidak ada sebarang kecederaan berlaku ke atas beliau, isterinya dan dua anaknya.


Ujarnya lagi, kedua-dua anaknya hanya mengalami kesesakan nafas akibat asap yang berkepul-kepul dalam rumahnya.


Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, laporan polis telahpun dibuat di Balai Polis Seremban 2.


Dalam laporannya, beliau menjelaskan bahawa jirannya ternampak dua orang pemuda berkeliaran di sekitar kediamannya, sebelum melontar molotov cocktail ke halaman rumahnya.


Bagi Badrul sendiri, beliau tidak mengesaki sesiapa pun.


Zahrain mula terasa bahang dari dakwaannya


KUALA LUMPUR, 24 Mac: Usaha anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Ibrahim untuk menyusahkan pimpinan PKR nampaknya makan diri sendiri apabila beliau didakwa 'sudah kenyang baru melompat' dan beliau dikatakan membuat kenyataan 'bodo-bodo'.


Orang yang menyusahkan Zahrain di Parlimen tidak lain dari orang yang dituduhnya mahu melompat meninggalkan BN untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam projek 16 Septembernya.


Datuk Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) dalam ucapannya meminta Zahrain menarik balik dakwaannya yang beliau adalah salah seorang yang hendak melompat parti menyertai PKR.

Dia juga mendesak media menyiarkan kenyataannya secara besar-besaran sebagaimana media menyiarkan kenyataan yang dibuat Zahrain sebelum ini terhadapnya.


Dalam ucapannya seminggu lalu, Zahrain menyebut 10 nama yang akan meninggalkan BN untuk menyertai Anwar bagi menubuhkan kerajaan baru. Salah saorang dari mereka adalah Ghafur.


"Kenyataan anggota parlimen Bayan Baru bodo-bodo...," kata Ghafur yang berucap dalam keadaan marah kepada Zahrain.


Beliau mempertikaikan kenapa Zahrain hanya menyebut beberapa orang sahaja yang mahu melompat sedangkan yang diperlukan Anwar adalah 30 orang..


"Hanya beberapa orang sahaja disebut mahu lompat...mana dia sekolah...mana cukup. Kenapa tidak disenarai mereka yang ke Taiwan itu, saya tidak ke sana," katanya.


Ghafur berkata, mungkin umpan yang diberikan kepada mereka yang mahu melompat tidak cukup sebab itu mereka tidak melompat.


"Umpan tak cukup, jadi tak lompat, umpan untuk Bayan Baru besar, sebab itu dia lompat..sekarang dia sudah kenyang," kata Ghafur diikutikan dengan tepukan gemuruh dalam Dewan Rakyat.


Ghafur juga menolak dakwaan Zahrain kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai komunis berkata, mungkin dia melompat kerana tidak mendapat apa yang dikehendaki dari kerajaan Pulau Pinang.


Beliau juga mempertikaikan Zahrain kenapa baru sekarang melompat bukan dua tahun lalu.


"Dua tahun baru lompat, kenapa tak lompat awal...sekarang dah jadi bebas...mungkin kerana kocek dah penuh," kata Ghafur.


Ghafur turut mencadangkan agar Umno tidak menerima orang semacam ini jika dia memohon untuk menyertai parti itu.


"Kalau dia boleh gigit tangan ketua dia, dia tentu boleh gigit ketua kita nanti," kata Ghafur.


Ghafur juga berkata, kalau orang macam ini masuk Umno, orang yang ada dalam umno akan keluar.


Ghafur juga berkata, dia tidak akan melompat parti hanya kerana duit yang diberikan tetapi akan melompat jika tidak bersetuju dengan ketuanya.


Menurutnya, pada tahun 1985, PBS (Parti Bersatu Sabah) cuba membelinya untuk keluar parti.


"Tetapi saya tidak terima kerana kalau saya hendak keluar parti kerana tak percaya kepada pucuk pimpinan bukan kerana dibeli," kata Ghafur.


23/03/10

ADUN BN Titi Tinggi letak jawatan: Undi lagi ke?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi dari MCA, Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam.


azlanYazid mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.


Dalam suratnya itu, kata beliau, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta.


"Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat," katanya.






Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.


Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.


Tempatnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho. Beliau juga merupakan setiausaha MCA Perlis.


Mengulas lanjut, Yazid berkata kedudukan Yip belum diputuskan lagi "dan masih dalam pertimbangan saya".


"Kita minta beliau bertenang dan memikirnya semula (keputusannya itu)," tambahnya.


Ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya kecil di DUN Titi Tinggi, Yazid berkata: "Saya tak mahu kata apa, terserahlah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). SPR yang akan tentukan," katanya


Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, mengesahkan perkara itu.


Bagaimanapun, Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya itu dan yakin pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.


Musa Hassan, Hishammuddin retak?

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pagi tadi menganggap kenyataan 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi penguatkuasaan polis sebagai mencerminkan keretakan yang genting antara pegawai peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Justeru, tahap kebebasan PDRM terus dipersoal apabila Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa terdapatnya 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi badan penguatkuasaan tersebut.

Kit Siang juga tidak menolak kemungkinan bahawa keretakan tersebut membabitkan lebih banyak lagi ahli-ahli politik tanah air serta kumpulan kongsi gelap tertentu.


Sekiranya kemungkinan itu tidak salah, beliau yang juga Penasihat DAP berkata, tidak mustahil individu seperti Datuk Ramli Yusoff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang pernah dibabitkan dengan beberapa kes rasuah dan penyelewengan kuasa boleh dilantik menjadi Ketua Polis Negara kelak.


Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan semula kerajaan tentang keretakan yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa pegawai atasan PDRM.


Beliau turut mempersoal keikhlasan Hishamuddin dan Musa kerana dilihat bias dalam memelihara kepentingan keselamatan negara.


Turut menyertai Kit Siang dan Loke di lobi Parlimen ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan Adun Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Kalau DAP anti Islam, adakah Umno dua kali ganda anti Islam

KUALA LUMPUR, 23 Mac: “Kalau DAP (dan) Pakatan Rakyat dianggap ‘anti Islam’, adakah Umno dua kali ganda ‘anti Islam’ kerana memberikan peruntukan yang jauh lebih sedikit waktu memerintah kerajaan negeri dulu,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Justeru, beliau menempelak dakwaan Umno bahawa DAP melaksanakan dasar ‘anti-Islam’ di Pulau Pinang apabila membacakan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri era Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional untuk perkembangan Islam.


“Waktu kita ambil alih kerajaan (2008), kerajaan Umno beri peruntukan (sebanyak) RM12.5 juta untuk perkembangan Islam di Pulau Pinang, selepas kita memerintah (2009), kita naikkan pada RM20.5 juta,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Rakyat pagi tadi.



Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan kewangan untuk aktiviti perkembangan Islam sehingga RM24.3 juta pada tahun ini.


Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi soal jawab, mendakwa Guan Eng dan DAP mengamalkan sikap anti-Islam ketika mentadbir kerajaan negeri.


Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Utusan Malaysia turut didakwa cuba menutup pencapaian sebenar kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan Islam dan umat Melayu di Pulau Pinang.
Tidak cukup dengan mendakwa Utusan Malaysia sebagai ‘utusan fitnah’, beliau turut mendakwa akhbar tersebut juga mengamalkan sikap anti Islam demi merealisasikan cita-cita Umno untuk menguasai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kelak.


Pun begitu, beliau melahirkan rasa yakin bahawa rakyat Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan dakyah ‘anti Islam’ yang dipropagandakan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana rakyat sekarang bermaklumat dan bijak menilai berita dari akhbar tersebut.

22/03/10

PAS mahu Rukunegara dipinda


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (bawah, berserban) berkata pemimpin Islam gagal menangani isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan berlakunya serangan ke atas rumah-rumah ibadat.


Beliau yang juga wakil PAS berkata dari segi hukum, Islam tidak melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah berkenaan.


"Apa yang penting ialah penjelasan, dialog di antara pemimpin-pemimpin agama, bukan diserahkan kepada mereka yang bebal dan menggunakan hukum akal, tidak menggunakan nas.


"Malangnya perkara ini dibawa ke mahkamah, berlakunya pembakaran gereja, berlaku pembakaran masjid, berlaku perkara negatif.


"(Ini) menunjukkan kita tidak menangani perkara ini dengan baik," katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.


Katanya lagi, peluang itu juga seharusnya digunakan untuk berdakwah dan memberi penerangan mengenai Islam kepada golongan bukan Islam.


"Mereka guna perkataan Allah, dan sepatutnya peluang ini digunakan untuk masuk ke gelanggang mereka untuk menjelaskan.


"Saya minta supaya kerajaan meminda Rukunegara yang pertama, kepada kepercayaan kepada Allah," tegas Hadi.


Katanya lagi, al-Quran tidak pernah menghalang penganut agama lain daripada menggunakan kalimah Allah semasa hayat Nabi Muhammad SAW.


Menurutnya, pendirian seperti itu boleh dilihat dalam surat yang dikirim oleh Nabi Muhammad kepada Raja Mesir yang menganut Kristian.


"Tanpa memaksa mereka menerima agama kita, kita berhujah sekiranya berlaku kekeliruan," katanya lagi.


Jelasnya, dalam warkah berkenaan, Nabi Muhammad memberitahu Raja Mesir bahawa umat manusia tidak boleh menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada di kalangan pemimpin mahupun di kalangan paderi.


Katanya, Nabi Muhammad juga tidak menghalang penganut Kristian itu menggunakan kalimah Allah.


"Di sinilah mengapa Islam membenarkan penganutnya makan sembelihan daripada penganut agama lain (ahli kitab).


"Sembelihan mereka halal kerana mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah.


"Ini menunjukkan keizinan itu berlaku," kata Abdul Hadi lagi.
Ketika ditemui media selepas itu, Abdul Hadi berkata beliau turut mencadangkan supaya perkara 'kepercayaan kepada tuhan' dalam Rukunegara diubah dengan 'kepercayaan kepada Allah.'


Jelasnya perkara tersebut boleh dilakukan memandangkan masyarakat bukan Islam sudah boleh menerima Islam sebagai sebahagian daripada agama mereka.


"Kerajaan perlu terima positif dalam tangani isu ini, bukan negatif. Penganut agama Kristian dan agama lain sudah sedar Allah diberi nama unggul, perkataan lain yang mereka guna sebelum ini, God, Lord dan lain-lain tidak tepat," katanya.


"Ini menunjukkan mereka sudah terima Allah sebagaimana mereka terima Islam sebagai agama. (Jadi perlu) ubah Rukunegara kepada lebih pro-aktif dalam masa sama tuju ke arah perpaduan rakyat," katanya lagi dan menambah kekeliruan yang berlaku adalah akibat kejahilan orang Islam sendiri dalam membuat penafsiran.


Mereka tu bodoh

Oleh:Li Fook Gao


Jika rampasan kuasa di Perak tidak menjadi masalah kepada mereka, malah disokongnya, apa pula yang nak dibisingkan pada perancangan 916 yang tidak kesampaian?


Tak apa, rakyat dah bosan dengan isu Perak… mereka pun dah lupa. Itu kita tak rampas, mahkamah yang kata Menteri Besar kita sah…. Itu sahaja rakyat perlu ingat… ala.. mereka ini kalau ingat pun, tak akan ingat lama….





Mengapa mereka begitu percaya pada satu kenyataan pengkhianat amanah rakyat yakni ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang menghebohkan tentang konspirasi 916 yang telah berlalu sekian lama?


Apa pula yang tak percayanya…. Tak kisahlah siapa, asalkan cerita itu daripada orang yang benci Pakatan Rakyat, kita akan percaya. Rakyat bukannya kisah… tengok tak ada reaksi pun…. Lambat-laun mereka lupa jaga Zahrain itu seorang katak….


Mengapa pula mereka tidak pula pergi membuat laporan polis terhadap 8 ahli Parlimen daripada BN yang didakwa akan melompat sekiranya 916 berlaku untuk mengesahkan kesahihan dakwaan pengkhianat rakyat tersebut?


Mereka itu masih duduk dalam BN… kita pentingkan persahabatan. Mereka belum lompat, jadi tak boleh kata mereka ini pengkhianat. Ya, kita tahu 916 itu tak menjadi, tapi masih kena siasat ….kita kena cipta isu supaya rakyat jangan hanya teringat pasal GST, Model Ekonomi Baru, kapal selam tak leh selam, jet engin yang dijuallah…. Oops.. silap bukan dijual.. hilang lah… tu lah. Kita kena kaburkan minda mereka…. Tak susah, mereka tu bodoh…


Dalam isu royalti minyak pula, apabila kehabisan hujah untuk menangkis kenyataan-kenyataan berfakta Tengku Razaleigh Hamzah, ketua mereka mengambil pendekatan untuk melakukan serangan peribadi dengan berkata:


"Masalahnya, hari ini saya melihat Ku Li (Tengku Razaleigh) mungkin mengumpan parti untuk buat sesuatu kepada beliau kerana saya nampak dia tidak akan keluar parti. Dia tidak akan buat kesilapan yang sama dua kali ketika keluar parti dahulu, dia mengumpan kepimpinan parti untuk memecatnya atau dikenakan tindakan kerana mahu dianggap sebagai hero."


Hahahaha… si rakyat mana yang ingat masa Gemilang, Terbilang dan Cemerlang dahulu apa yang berlaku kepada wang ehsan di Terengganu, kan?? Monsoon Cup, Patrick Badawi…. Sshh… sshhh, senyap, jangan ungkit…. Rakyat kan dah lupa pasal kisah aku menantu…


Selepas berudu bertukar menjadi katak-katak, PKR kehilangan majoriti kerusi parlimen dalam Pakatan Rakyat, ketua mereka pula cepat menyibuk dengan berkata:


“Biasanya parti yang paling banyak anggota Parlimen itu yang diberi penghormatan untuk jadi Ketua Pembangkang tetapi sekarang ini mereka masih memberi penghormatan kepada Datuk Seri Anwar. Mungkin mereka terutamanya PAS tak yakin dengan Lim Kit Siang (Anggota Parlimen Ipoh Timur dan veteran DAP), jadi mereka terpaksalah masih lagi memberi sokongan kepada Anwar.”


Rakyat kan bodoh… mereka ini suka berita sensasi… kita besarkan isu, mereka semua akan lupa yang aku ini bukanlah menteri… yalah … aku tahu orang yang aku tewaskan pun dapat jadi Timbalan Menteri… sebab itu aku tak boleh kalah publisiti.. kena reka isu untuk tonjolkan bahawa aku ini lebih berkaliber dalam menghentam PR…. Tu aje..


Baru-baru ini, tanpa sebarang siasatan dijalankan, ketua mereka terus menyuruh rakyat untuk menilai kredibiliti ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendedahan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan “16 Sept” di Parlimen.


Nak siasat apa, asalkan kita mainkan isu ini tiap-tiap hari supaya ia “stick to the mind” pada rakyat… ia akan jadi benar… rakyat kan bodoh, dahlah pelupa…. Kita tak ada hujah nak lawan dalam banyak isu, sebab itulah kita kena jatuhkan imej mereka ke tahap kita… rakyat tak akan perasan… asalkan kita buatkan mereka sama jijik seperti kita, rakyat akan percaya… kan mereka bodoh…


Soalan Cepu Emas:


Sekiranya rakyat betul-betul bijak, beranikah mereka membuat kenyataan-kenyataan seperti di atas tanpa mengambil kira kesan politik terhadap mereka?


Kesimpulannya, terdapat 3 modal politik yang boleh menjamin kemenangan Barisan Nasional pada PRU-13, 1. Kebodohan rakyat, 2. Sikap mudah lupa rakyat dan 3. Pakatan Rakyat membuat kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan.


Sekiranya rakyat dapat menilai prestasi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional secara adil, dan mengelakkan diri sendiri daripada tertipu oleh media arus perdana, percayalah Barisan Nasional akan dapat dikalahkan dengan ketiadaan modal (1) dan (2) jika dan hanya jika tanggapan (3) tidak berlaku.


----------------------------------------------------------------------


Li Fook Gao ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada staf-staf harakahdaily dalam menjayakan pelancaran web baru harakahdaily.net/en pada 22 Mac 2010. Artikel ini hanyalah hasil nukilan imaginasi penulis…


Saya mungkin ditahan di bawah ISA - Mazlan


BERA, 22 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, terdapat banyak maklumat yang menunjukkan kerajaan akan melakukan tindakan agresif terhadapnya termasuk kemungkinan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, penahanannya baru-baru ini bertujuan untuk menakutkan dirinya dan masyarakat peneroka menghadiri program yang dianjurkan sekali gus berusaha menutup kepincangan pengurusan Felda dan kerajaan Umno/BN.


“Penahanan saya adalah untuk menakutkan masyarakat Felda untuk menjemput saya berceramah. Mereka berusaha untuk menutup kepincangan yang dilakukan dalam pengurusan Felda termasuk penindasan terhadap masyarakat peneroka.


“Saya menerima banyak maklumat yang diberikan oleh banyak pihak tentang bagaimana penyelewengan berlaku. Saya ada 15 isu yang akan saya dedahkan satu persatu. Saya akan dedahkan walau pun saya juga mendapat maklumat bahawa saya dicadangkan agar saya ditahan dibawah ISA,” katanya ketika berucap dalam program yang dianjurkan PAS kawasan di Darul Ikhwan, Mengkarak, dekat sini semalam.


Selepas peristiwa yang berlaku di Felda Lembah Klau, baru-baru ini, beliau menerima banyak sokongan dari masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu penjelasan diberikan agar kehidupan mereka terbela.


“Selepas saya ditangkap ramai peneroka terutama generasi keduanya tak puas hati dan marah kepada Felda. Malahan, selepas itu semakin ramai anak Felda yang mahu menyertai persatuannya kerana tahu inilah saja pentas yang boleh diharapkan dapat membela masa depan mereka,” katanya.

IPOH : Bayi dijumpai di tempat buang sampah


IPOH - Seorang bayi perempuan yang berbalut dengan sehelai kain dijumpai ditinggalkan di tempat pembuangan sampah di sebuah pusat membeli belah di sini semalam.


Bayi yang baru dilahirkan itu dijumpai oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.


Timbalan Pengarah HRPB, Dr Raimi Goon berkata, bayi yang cukup sifat itu telah dikejarkan ke hospital berkenaan selepas dijumpai oleh orang awam pada kira-kira 6 petang.

Beliau berkata, bayi tersebut sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata polis telah menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menyiasat.


Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-Bernama

Dua laporan polis dibuat berhubung pendedahan Zahrain

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO membuat dua laporan polis di Lembah Klang hari ini berhubung pendedahan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Parlimen baru-baru ini mengenai rancangan "16 September" bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.


Laporan polis pertama dibuat Ketua Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Ghazali di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kira-kira pukul 10 pagi tadi manakala laporan kedua oleh Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengahari tadi.


Jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengesahkan menerima laporan polis tersebut.



Suhaimi membuat laporan polis bagi meminta pihak polis menyiasat kenyataan yang mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan panglima angkatan tentera dalam rancangan 16 September itu.


Anwar mendakwa Yang di-Pertuan Agong berkenan melantiknya sebagai Perdana Menteri keenam jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan, malah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyokong pembentukan kerajaan baru itu.


Selain dakwaan menjaja nama Yang di-Pertuan Agong dan panglima ATM Rizalman dalam laporan polisnya pula turut meminta polis menyiasat dakwaan mengenai cubaan Anwar memancing anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang bagi menubuhkan kerajaan.-Bernama

21/03/10

‘Pelacur politik’ tidak patut bersarang di Parlimen

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Parlimen tidak sepatutnya dijadikan sarang ‘pelacur politik’ sehingga meruntuhkan kemuliaannya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


"Jangan jadikan Parlimen sebagai sarang pelacuran yang dipenuhi kuman siflis dan wabak aids yang akan meruntuh kemulian dewan yang dibanggakan selama ini," tegas beliau ketika mengulas ahli-ahli Parlimen yang melompat.





Beliau meminta ahli-ahli Parlimen yang melompat itu menyedari bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada mereka atas nama Pakatan Rakyat (PR) bukan atas nama diri mereka


"Mereka boleh untuk tidak bersama PKR dan PR tetapi mereka perlu melepaskan jawatan ahli Parlimen untuk kembalikan mandat itu kepada rakyat.


"Inilah cara terbaik untuk mereka membuktikan dakwaan mereka PKR dan PR tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Bukannya menjadi pelacur politik yang membawa penyakit yang boleh merosakan masyarakat," tegas beliau lagi.


Beliau juga menyifatkan ahli-ahli Parlimen yang melompat itu sudah tidak ada kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.


Ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, katanya, mencabuli amanah rakyat.


"Parlimen tak boleh mengizinkan ahli Parlimen seperti ini yang membohongi dan menggadai amanah rakyat.


"Perbuatan ini sama seperti kesalahan pecah amanah. Orang yang pecah amanah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.


Mengulas titah diraja ketika perasmian penggal Parlimen Isnin lalu di mana Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menjaga adab dalam perbahasan, Mahfuz berkata, apabila membicarakan soal adab dan kesopanan ia tidak terbatas kepada tingkah laku seseorang ahli Parlimen ketika berbahas.


"Tingkah laku tindakkan ahli Parlimen diluar dewan juga merupa perkara penting untuk dinilai," katanya.


Tingkah laku tersebut termasuk perbuatan mencabuli amanah rakyat yang mengundi mereka.


Abdul Aziz Mustafa PETIKAN: HARAKAH


Pindaan ISA akan dibentang bersama 6 akta lain

KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan bahawa pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) harus dibentangkan pada persidangan Parlimen bersama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang akan dipinda.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu diputuskan Kabinet selepas berbincang mengenainya, kelmarin.


"Selepas mengambil kira kepentingan awam, Kabinet memutuskan ISA harus dibentangkan bersama-sama pindaan ke atas enam akta lain berkaitan pencegahan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959, Seksyen 27 Akta Polis 1960, Akta Buang Negeri 1959, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969," katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Hishammuddin berkata, bagi Akta Pencegahan Jenayah, kajian dibuat terhadap keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah, sementara Seksyen 27 Akta Polis dikaji dari aspek berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit.


"Akta Buang Negeri diteliti sama ada masih relevan atau perlu dimansuhkan, manakala Akta Kediaman Terhad dilihat dari segi keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan.


"Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat diteliti," katanya.


Hishammuddin berkata, kajian ke atas Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat sudah siap, sementara kajian terhadap Seksyen 27 Akta Polis berada pada peringkat akhir penggubalan dan akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan tidak lama lagi. - Bernama


Musa: Ada campurtangan orang ketiga dalam PDRM


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kebelakangan ini "semacam ada tekanan kepada pasukan polis, sama ada dari pihak politik atau orang-orang tertentu".


Menurutnya, mereka cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.


"Jadi, ada juga arahan yang diberikan terus kepada pegawai-pegawai bawahan saya tanpa pengetahuan pengurusan atasan," kata Musa dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini.


"Bagi saya, ini merupakan satu trend yang salah kerana dalam pasukan polis, terdapat perintah dan kawalan.

"Yang hanya boleh memberi arahan adalah KPN kalau ikut undang-undang," katanya sambil menegaskan bahawa Seksyen 4 Akta Polis 1957 mengatakan bahawa semua arahan dan kawalan PDRM adalah di bawah KPN.


"Maka kalau ada mereka yang cuba campurtangan, ini boleh merosakkan polis. Kerana pada masa itu, anggota akan merasa serba salah kerana terdapat autoriti lain yang memberi arahan kepada mereka," tegasnya.


Musa menjelaskan, kalau ada seorang ketua yang memberi arahan, maka ketua berkenaan akan bertanggungjawab terhadap arahan itu.


"Dalam polis, jika ketua memberi arahan yang salah, maka dia perlu bertanggungjawab terhadap arahan itu," katanya sambil menambah bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.


"Tetapi jika orang ketiga yang memberi arahan dan kita tidak tahu siapa mereka, kemudiannya pegawai pula menjalankan kerja yang salah, jadi pegawai saya yang akan menjadi mangsa.


"Ini kerana kesalahan yang dilakukan, mengikut arahan yang tidak sepatutnya. Jika orang yang memberi arahan kemudiannya nafi memberi arahan tersebut, maka ia akan merosakkan pasukan polis," tegas Musa lagi.


Sehubungan itu, beliau berharap agar perkara sedemikian perlu dihentikan kerana pentadbiran kepolisian dan segala tindakan dan operasi dijalankan adalah di bawah bidang kuasa KPN dan pegawai atasan yang mengendalikan operasi berkenaan.


Ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya, Musa berkata beliau hairan dan terkejut kenapa berita itu boleh keluar.


"Benda yang saya tidak buat, kata saya buat. Ini seolah-olah macam hendak mempercepatkan pemergian saya dari jawatan ini.


"Kita pun tahu bila hendak pergi, jadi tidak perlulah suruh dipercepatkan.


"Tapi kalau seseorang itu mahu mempercepatkan(nya), saya kena dapat arahan dari kerajaan untuk bersara awal.


"Jika demikian saya akan bersaralah. Itu yang saya boleh cakap tapi sekarang ini di pihak kerajaan tidak ada apa-apa yang berlaku," tambahnya.


Musa juga ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan terdapat menteri yang tidak berapa sebulu dengan beliau.


"Itu saya tidak tahu. Saya hanya menjalankan tugas saya sama ada orang suka atau tidak selesa dengan cara saya menjalankan tugas, saya tidak tahu," jawabnya.


Ditanya sama ada isu tersebut akan memberi kesan kepada PDRM, Musa berkata: "Saya rasa begitulah".


"Kalau dilihat apabila seorang ketua boleh diperkotak-katikkan sebegini rupa, maka anggota bawahan akan turut merasa begitu," kata beliau sambil menambah, ada yang menghantar SMS bertanyakan kenapa jadi begitu.


"Saya pun tidak tahu nak jawab. Jadi saya suruh anggota saya bersabar. Saya pun faham, saya akan pencen pada bulan September ini," tambahnya.


PETIKAN: http://www.malaysiakini.com

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3