Lembaga Keselamatan Belanda akan mengeluarkan
laporan siasatan awal berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS)
Penerbangan MH17 pada 9 September.
Lembaga itu berkata laporan awal itu boleh diperoleh melalui laman webnya, www.safetyboard.nl pada jam 10 pagi waktu Amsterdam.
"Laporan awal itu akan membentangkan maklumat sebenar berdasarkan sumber yang ada dengan Lembaga Keselamatan Belanda.
"Dalam bulan-bulan yang akan datang, siasatan seterusnya diperlukan
sebelum laporan muktamad boleh ditulis. Lembaga Keselamatan Belanda
menjangka untuk menerbitkan laporan muktamad itu dalam masa setahun
selepas kejadian itu," kata lembaga itu dalam kenyataan dalam laman
webnya semalam.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan
awal mengenai tragedi itu akan dibentangkan bulan ini oleh jawatankuasa
penyiasatan yang berpangkalan di Belanda.