----------------$$$$----------------

InstaForex

20/02/10

Penduduk bersyukur rumah tergendala, kini siap

Beberapa pemilik rumah di pangsapuri Taman Ukay Bistari di Hulu Kelang yang sudah tujuh tahun menunggu kerana pembinaannya tergendala, hari ini bersyukur kerana akhirnya dapat mendiami rumah sendiri.


Riak wajah ceria mereka jelas terpancar selepas kerajaan Selangor berusaha menyiapkan projek perumahan itu, yang terbengkalai sejak tahun 2003.


"Siapa yang tidak seronok dapat rumah sendiri. Itu yang diidam-idamkan selama ini. Mak cik berasa lega dengan kemudahan yang diberikan.


"Siapa yang tidak suka. Inilah saat yang diidam-idamkan," kata Norziah Nurajin yang ditemui sebelum perasmian program pemulihan perumahan terbengkalai di Hulu Kelang pagi ini.




Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Ukay Bistari.


Beliau turut menyampaikan kunci rumah kepada penduduk di Hulu Kelang dan Puchong yang berjaya memiliki rumah melalui skim pemulihan perumahan terbengkalai di negeri itu.


Kira-kira 300 hadirin termasuk pembeli dari taman berkenaan dan dari Saujana Puchong hadir dalam majlis tersebut.


Norziah, 52, yang sebelum ini merupakan penduduk setinggan di Kampung Pasir Tambahan, melahirkan rasa gembira dan tersenyum apabila dia menerima kunci rumahnya selepas tujuh tahun menunggu.


Sementara seorang lagi pembeli Haliza Che Harun turut melahirkan rasa yang sama dengan Norziah selepas lama menunggu untuk menduduki di rumah sendiri.


Haliza, 40, yang dite

mani dua anaknya di majlis tersebut, turut memuji kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang berusaha membantu membolehkan beliau dan keluarganya menetap di situ.


Menurutnya beliau akan berpindah dari rumah sewanya di Taman Permata dekat Hulu Kelang, selepas menerima kunci daripada kerajaan negeri.


Manakala Abu Samat Abdul Razak, 40, mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Selangor yang berusaha untuk membantu penduduk di taman itu menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai sejak 2003.


Beliau juga menempelak kerajaan terdahulu yang menurutnya "tidak membantu rakyat" untuk menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai.


"Kerajaan sebelum ini banyak tidur. Tidak membantu rakyat. Rumah banyak terbengkalai. Mereka menipu rakyat sebelum pilihan raya. Selepas pilihan raya, mereka tidur," katanya ketika ditemui di majlis tersebut.


Abu Samat yang ketika ini menetap di Pangsapuri Sri Nilam di Ampang berkata sebelum ini beliau risau selepas tiga pemaju masih gagal menyiapkan pangsapuri tersebut.


Bagaimanapun beliau berasa lega kerana pemaju yang dilantik oleh Pakatan Rakyat dapat berbuat demikian.


"Pakatan Rakyat betul-betul membantu rakyat," katanya.


Sementara itu, seorang lagi penduduk di situ memberi reaksi yang berbeza apabila tidak berpuas hati kerana ketiadaan bekalan air dan lif yang tidak berfungsi.


Aminah Othman, 46, yang ditemui Malaysiakini selepas pelancaran program tersebut berkata walaupun berbangga dengan kehadiran ketua pembangkang tetapi masalah tersebut harus diselesaikan segera.


Aminah yang sudah mendiami rumahnya kira-kira sebulan yang lalu, kerana mendakwa pemaju tidak membayar sewa kepada pemilik rumah yang disewanya, berharap kerajaan Selangor bertindak segera untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan lif yang tidak berfungsi


Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Ir Iskandar Samad ketika ditemui pemberita, berjanji pihaknya akan menyelesaikan masalah tersebut dalam masa seminggu.


"Penduduk tidak akan masuk selagi tidak lengkap dengan kemudahan ini," katanya.


Taman Ukay Bistari dan Saujana Puchong adalah antara 141 kawasan perumahan yang terbengkalai di negeri terbabit yang membabitkan kos pemulihan projek berkenaan dianggarkan bejumlah RM 5 bilion merangkumi hampir 5,000 unit rumah.


Program itu diselia oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan dijalankan melalui sumbangan modal dan kepakaran dari syarikat swasta.


Jawatankuasa itu pula diletakkan di bawah jawatankuasa induk yang turut


dianggotai exco perumahan, pihak berkuasa tempatan dan juga wakil penduduk.


Sementara itu, dalam ucapannya, Anwar berkata, lebih 140 projek rumah terbengkalai di negeri itu adalah diwarisi dari kerajaan terdahulu.


Katanya kerajaan Selangor akan berusaha untuk mempercepatkan projek terbengkalai di Selangor walaupun beliau tidak menjanjikan keseluruhannya pada tahun ini.


"Kita tidak menjanjikan (semua projek terbengkalai) untuk siap dalam tahun ini, tapi kita ikhlas (menolong) memberi tempat (kepada pembeli).


"Kita berjanji, tidak ada habuan wang daripada pemaju dan kita tidak akan mengkhianati rakyat," katanya.


Dalam ucapannya juga Anwar yang juga ketua umum PKR menjelaskan masalah projek perumahan terbengkalai juga mempunyai kaitan dengan keadaan ekonomi di negara ini.


"Ekonomi kita tidak berada dalam keadaan kukuh. Pelabur tidak yakin dengan institusi dan sistem (di Malaysia). Suatu ketika dahulu pertumbuhan ekonomi negara kita mengatasi negara seperti Singapura dan Thailand.


"Dan dari segi persaingan ekonomi, kita berada di tangga kedua, tapi sekarang kita masih rendah. Ini berpunca daripada kurang upaya pemimpin negara untuk meyakinkan pelabur luar untuk menguruskan ekonomi negara," kata Anwar yang juga bekas menteri kewangan.


Dalam ucapan itu juga, Anwar menyatakan berjanji akan mendapatkan sijil pengesahan penduduk (CF) di projek perumahan Taman Ukay Bistari minggu hadapan.


"CF belum dapat lagi, hanya (sijil) sementara sahaja daripada Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Kalau Isnin ini dapat surat, minggu itu juga diluluskan. Kalau tidak lulus, saya akan turun lagi. Saya berjanji," katanya.


Sebelum itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Ir Iskandar Samad menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan "tidak ada gigi" untuk mengenalpasti dan menyelia projek terbengkalai di negeri itu


Kata Iskandar yang juga timbalan pesuruhajaya PAS Selangor berkata, jawatankuasa tersebut sebenarnya mempunyai tanggungjawab penuh kepada kepadanya selaku exco yang terlibat.


"Segala apa yang dilakukan akan dilaporkan kepada Exco dan perlu juga mendapat kebenaran daripada saya terlebih dahulu," katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab ucapan wakil persatuan penduduk Taman Ukay Bistari, yang dikenali Dr Rafick yang berucap sebelum itu yang menyatakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri adalah "organiasasi longgar" dan "tidak ada gigi" kerana tidak berada di bawah agensi kerajaan.


Dr Rafick berharap kerajaan Selangor dari Pakatan Rakyat berperanan sebagai satu kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan terdahulu.


"Kerajaan kini, jika tidak selesai masalah rakyat dan (mengambil kira)
pandangan orang ramai, maka ia tidak banyak beza dengan kerajaan sebelum ini. Tunjukkan keyakinan kepada rakyat," katanya.

Isu MP Australia: 'Mesti lihat pandangan penuh Hadi'

Pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap anggota parlimen Australia - yang didakwa campurtangan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim - harus dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh, kata setiausaha politik kepada presiden PAS itu.


"Kena lihat secara keseluruhan terhadap apa yangg disebut oleh presiden PAS. Beliau menekankan bahawa tentu proses kehakiman dan perundangan dalam negara kita sekarang banyak yang tidak kena sehingga orang luar membuat protes.


"Ini mesti dibetulkan supaya proses keadilan wujud," kata Dr Samsuri Mokhtar.


"Kedua, beliau bukan 'selar', tetapi tidak setuju terhadap campurtangan asing dalam sebuah negara berdaulat atas kaedah secara umum, iaitu atas prinsip hubungan luar dan diplomasi antarabangsa."


Dr Samsuri diminta menjelaskan pendirian sebenar Abdul Hadi yang dilaporkan menyelar 50 ahli parlimen Australia yang telah meminta Malaysia menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.


Bernama semalam melaporkan, Abdul Hadi mahukan kes ketua umum PKR itu diselesaikan mengikut sistem kehakiman negara ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar.

Konvensyen Blogger PAS






19/02/10

Penolong penguasa SPRM dituduh rasuah

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini, terhadap tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah daripada seorang suspek siasatan kes rasuah, pada Oktober tahun lalu.


M Mohan, 37, yang merupakan Penolong Penguasa SPRM Selangor didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dia dituduh meminta bagi dirinya suapan RM250,000 daripada A Sinnaiah sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan terhadap suspek yang disyaki memberi rasuah kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.


Tertuduh yang sudah berkhidmat selama 15 tahun turut didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta sama, iaitu bersetuju menerima suapan RM200,000 daripada Sinnaiah untuk tujuan sama.


Mohan didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 pagi hingga 1 tengahari pada 22 Oktober 2009 di pejabat SPRM, Tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.


Hakim Azhariz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dan menetapkan 23 Ogos ini untuk perbicaraan kes itu

Remaja lepasan SPM dakwa dibelasah polis

Malam 12 Feb adalah tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh seorang remaja buat selama-lamanya.


Pada malam itu, remaja berusia 18 tahun berkenaan mendakwa dia dibelasah oleh sekumpulan empat anggota polis yang tidak mengenalkan diri mereka.


“Waktu itu jam 10 malam. Saya sedang duduk besi penghadang di Stesen LRT Star di Sentul, menunggu ayah saya seperti biasanya.

"Tiba-tiba empat lelaki turun dari sebuah van. Mereka menghampiri, membelasah saya serta menghumban saya ke dalam van.

"Ketika itu saya fikir yang saya diculik,” kata remaja lepasan SPM itu yang begitu trauma dan mahukan identitinya dirahsiakan.


Dia mendakwa kumpulan lelaki itu menerpa ke arahnya tanpa berkata apa-apa lalu memukulnya. Seorang daripada lelaki itu kemudian 'duduk' di atas mukanya sebelum dia diheret ke balai polis Sentul.


Remaja itu memberitahu Malaysiakini keempat-empat lelaki tidak mengenalkan diri mereka sebagai anggota polis sebelum membelasahnya.


“Saya sebegitu takut dan menjerit meminta tolong, sedangkan saya tidak tahu bahwa mereka adalah polis.”


Di balai polis berkenaan, remaja itu mendakwa dia dilayan seperti seorang penjenayah semasa disoal-siasat dan sering-kali dipukul.

Dia ditanya tujuannya berada di stesen LRT ketika itu dan sama ada dia seorang penagih dadah ataupun seorang peragut.


Remaja itu mengalami kecederaan pada rusuk, perut dan juga mukanya.


Pada hari kejadian itu, ayah kepada remaja berkenaan berkata dia cuba menelefon anaknya sebanyak dua kali melalui telefon bimbitnya. Pada kali kedua seorang polis menjawab dan memaklumkannya mengenai penahanan anaknya itu.


Remaja itu berkata dia dibebaskan sejurus ketibaan ayahnya dan ujian air kencing yang dijadualkan juga dibatalkan.


“Apabila ayah saya bertanya kepada polis, seorang daripada anggota polis berkata saya diheret kerana cuba melarikan diri daripada ditangkap,” katanya lagi.


Remaja lepasan SPM itu berkata bapanya membuat laporan polis pada keesokkan hari di balai polis Sentul dan sehingga hari ini tiada tindakan diambil.


Beliau juga membuat aduan kepada akhbar arus perdana tetapi tiada yang melayan e-mailnya. Justeru, beliau menghubungi Malaysiakini.


Bapanya menuntut wang pampasan RM75 sebagai bayaran perubatan anaknya yang mendapat rawatan daripada sebuah klinik swasta dan juga kos atas kerosakan telefon bimbit, baju, seluar dan jaket anaknya itu.


OCPD Sentul, Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan laporan itu tetapi enggan mengulas mengenainya.

Utusan Malaysia putar belit kenyataan Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Akhbar Umno, Utusan Malaysia telah mengambil kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita bertajuk "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi" dalam keluarannya semalam, 18 Februari.


Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan.


Jelas, apa yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah berbeza.





Berikut adalah kandungan penuh wawancara yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada bil 1514, 15-18 Februari 2010 di muka surat N10 yang bertajuk 'Tiada percanggahan dengan MB Kelantan - Presiden PAS'.


S: Datuk Seri, boleh perjelaskan sedikit apa yang dikatakan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz dengan Presiden PAS dalam isu perbincangan PAS dengan Umno?


J: Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Dato’ Nik Abdul Aziz dan tidak ada pemisahan antara agama dengan cara hidup dalam Islam. Agama dengan politik dengan sosial dan sebagainya. Apa sahaja masalah dalam dunia ada kaitan dengan agama. Di mana, Tuan Guru Nik Aziz bercakap dalam konteks ‘ad-deen’ (agama dengan cara yang menyeluruh) dan saya mungkin menyentuh aspek-aspek tertentu. Sebenarnya, tidak ada percanggahan antara saya dengan Tuan Guru Nik Aziz.


S: Ini bermakna, apa yang diperkatakan orang tentang berlaku percanggahan itu jauh sekali berlakunya?


J: Tidak…kita mesti memahami agama mengikut definisi Islam dari perkataan ‘ad-deen’ yang disebut al-Quran oleh Tuhan. Berbeza dengan agama yang diterjemahkan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris atau agama dalam bahasa ‘Sanskrit’. Di mana, Islam adalah ‘ad-deen’ bukan sahaja agama, bukan sahaja ‘religion’ termasuk di dalamnya cara hidup ‘way of life’ yang termasuk di dalamnya politik, ekonomi, sosial dan segala perkara yang berkait dalam urusan kehidupan manusia secara individu dan masyarakat, secara bangsa dan antarabangsa, secara globalisasi.


Berkait dengan segala aspek yang menjadi tanggungjawab manusia di atas muka bumi ini. Apa yang disebut oleh Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz ialah tentang surat yang dihantar kepada Perdana Menteri. Surat itu menyatakan PAS sedia berbincang dengan Umno dalam aspek Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini sebagai satu penyelesaian cara hidup bagi negara kita. Setelah kita melihat kegagalan-kegagalan yang dialami dalam negara kita talu-bertalu.


Kita mengalami masalah politik yang belum selesai. Masalah ekonomi, masalah sosial yang makin hari makin parah. Sepatutnya, dibincang apakah penyelesaiannya. PAS boleh mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian secara Islam. Dalam hal ini, kita mengambil sikap yang terbuka dan boleh berbincang dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan sendiri. PAS pernah melibatkan diri dengan forum Islam. Bukan sahaja melalui Parlimen, melalui Dewan Undangan Negeri (Dun).


Bahkan, PAS pernah menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen). PAS pernah menyertai apa sahaja forum secara khusus yang diatur oleh kerajaan. Termasuklah yang terkini dalam isu kalimah Allah. Di mana, PAS telah menghantar wakil dalam perbincangan dengan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) dan kita mengemukakan pandangan kita sebagaimana dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam kitab yang banyak yang dikarang oleh mereka.


S: Tuan Guru, adakah kaedah bagi penyatuan tersebut kerana isu perbincangan antara Umno-PAS telah lama tetapi tidak pernah menjadi kenyataan?


J: Masalah penyatuan ini kita hendaklah faham. Di sana ada perkara yang manusia wajib bersatu, ada perkara yang harus bersatu dan ada perkara yang haram bersatu dan tidak boleh bersatu sampai bila-bila. Perkara yang haram bersatu antara benar dan salah, adil dan zalim, antara haram dan halal, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah.


Perkara yang prinsipal, perkara yang konsep, yang diputuskan oleh al-Quran, yang ada nas. Di mana, dalam hal ini tidak boleh disatukan sama sekali antara perbezaan yang berlaku dengan manusia. Ini tidak boleh kita satu, perkara yang ‘tabie’, perkara yang naluri. Dan di sana, ada perkara yang boleh disatukan. Perkara yang menjadi kepentingan bersama, yang menjadi tujuan bersama, keadilan untuk semua. Hak kebaikan untuk semua, menolak keburukan untuk semua. Walau pun persepsinya berbeza itu boleh dibincangkan. Perkara yang boleh disatukan ada, perkara yang boleh diraikan antara satu sama lain, tolak ansur itu ada dan ini perlu dilihat.


Kita tidak boleh melihat secara menyeluruh sebagai satu prinsip yang beku, yang jumud, yang tidak boleh rungkai. Oleh sebab itu, PAS bersdia untuk mengadakan perbincangan dalam perkara yang boleh dirungkai, yang boleh diselesaikan secara ‘ijtihad’, secara kebijaksanaan yang berpandukan kepada prinsip-prinsip ‘fleksibel’ yang ada dalam al-Quran, yang diajar oleh Nabi kita Muhamad SAW.


S: Dahulunya, PAS pernah kata Umno kafir. Dalam isu penyatuan ini macam mana hendak betulkan keadaannya?


J: Kita (PAS) tidak pernah menentukan si anu bin si anu kafir. Kita (PAS) menyataka batas-batas iman dan kufur. Saya sendiri mengarang sebuah buku tentang Aqidah Muslim. Dan Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kitab Mustika Hadis. Jilid yang pertama yang menyatakan batas-batas Iman dan Kufur.


Di sana, ada dinyatakan ada perkara-perkara yang boleh membatalkan iman seseorang, yang membatalkan Islam seseorang dan mungkin mereka yang melakukan secara jahil adalah berdosa. Dan kita (PAS) tidak boleh menentukan siapa-siapa jadi kafir melainkan melalui Badan Kehakiman secara Islam yang sah. Dalam Islam ada hukum dan undang-undang orang yang murtad. Dengan sebab itulah, mesti melalui Badan Kehakiman Islam yang kita (umat Islam) kena faham. Apa yang kita (PAS) sampaikan adalah secara ilmu.


Kita (PAS) tidak menafikan ada di kalangan masyarakat kita yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, yang menghina hukum hudud, yang menghina hukum qisas. Dan ada di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak perlu saya sebut namanya yang mengatakan sekiranya dilaksanakan hukum hudud akan jadi huru-hara.


Jika laksanakan hukum Islam ramai orang Islam yang kudung (potong tangan). Ini hukum yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran. Mungkin mereka mengatakan demikian kerana jahil dan jika kerana jahil dia berdosa kerana tidak belajar. Tetapi, jika dia kata dengan pengetahuan dia, dengan tahu dia sebagai seorang Islam dan tiba-tiba dia menafikan hukum Allah. Ini boleh merosakkan aqidah (Islam) dia. Dan menjadi tanggungjawab kitalah (PAS) menyampaikan. Alhamdulillah, kita (PAS) telah berjaya menyampaikan mesej kita (Islam) sehingga hari ini Umno tidak boleh mendedahkan kesilapan kita dalam masalah ini.


Apa yang berlaku ialah anjakan paradigma dalam Umno sendiri yang tidak lagi mengatakan politik suku agama suku. Dan tidak lagi menghina hukum-hukum Islam, tidak ada lagi budaya dalam Umno. Ini kejayaan yang dapat kita (PAS) laksanakan. Ini kejayaan dakwah yang kita (PAS) sampaikan bagi menyedarkan umat kita, bangsa kita dalam perkara (batas iman dan kufur) ini. Sepatutnya, kita tidak boleh bertelingkah dalam masalah ini dan PAS sendiri pernah minta diadakan muzakarah secara ilmu.


Dalam PAS ada Majlis Syura Ulama’ PAS dan dalam Umno ada Biro Agama Umno. Dan kerajaan sendiri mempunyai Majlis Fatwa, ada mufti-mufti dalam kerajaan, ada IKIM ada macam-macam. Jika dalam Umno ada mereka yang membawa ijazah PhD dalam bidang Islam. Dalam PAS juga ada dan dengan sebab itu perbincangan secara ilmu adalah penting.


Walau pun demikian, saya melihat telah berlaku anjakan paradigma dalam Umno tidak lagi mengatakan agama berpisah dari politik. Ini satu perubahan yang positif dan apa yang penting kita terjemahkan secara praktikal dan dilaksanakan dengan cara yang baik. Antaranya, sekurang-kurangnya memberi ruang kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat.Tidak ada gangguan-gangguan dari segi semangat federalisma.


Apa yang berlaku ialah mereka (Umno-BN) telah melanggar semangat dan konsep federalisma yang diamalkan, tidak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.


Bila pakatan Rakyat telah menubuhkan kerajaan, mereka (Umno-BN) mesti menghormati keputusan ini tetapi seolah-olah tidak berlaku penghormatan terhadap keputusan ini. Ini suatu hal yang lain dari prinsip Islam. Dengan sebab itu, perbincangan Islam secara ‘usuli’ secara asas perlu antara PAS dengan Umno yang merupakan ada di kalangan Islam disemua pihak.


Jadi perbincangan secara ilmu sangat penting. Dan PAS telah meneroka, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menjemput kami (PAS) menghadiri perjumpaan dengan IKIM dan saya sendiri hadir dalam majlis itu bersama dengan wakil PAS dalam persidangan itu dan kita (PAS) telah mengemukakan pandangan- pandangan kita (PAS). Ini suatu perkembangan yang sangat positif dan kita (PAS) bersedia untuk hadir jika dibuka ruang untuk kita (PAS) menghadirinya.

Nik Aziz Bidas masalah kita orang Melayu kalau terima Islam bukan dengan cara belajar


Nik Aziz membidas segelintir masyarakat termasuk Umno yang sibuk mempertikaikan isu sambutan Maulidur Rasul yang disifatkannya sebagai isu remeh.


“Kenapa nak sibuk sangat dengan isu remeh ini. Lebih 20 tahun saya pegang Kelantan, tidak pernah berarak pun.


“Kita kena ingat, maulid ini disambut hanya selepas 300 tahun baginda wafat.


“Ini lah masalah kita orang Melayu kalau terima Islam bukan dengan cara belajar dan mentelaah, tetapi terima dengan tradisi. Yang belajar pun kadang-kadang belajar lain buat lain,” katanya.


Sambil mengaku pendekatan kerajaan negeri yang hanya mengambil kesempatan sempena bulan Maulidur Rasul dengan mengadakan ceramah dan kuliah-kuliah Islam khusus mengenai topik berkaitan adalah memang berbeza dengan negeri-negeri lain.


Kata beliau, hakikat afdalnya sambutan atau mengingati Maulidur Rasul bukan sekali setahun bahkan sebaliknya, setiap hari dan sepanjang masa.


“Kita sambut maulid ini kerana hendak mengingati hari kelahiran Nabi. Hakikat ingat ke Nabi ini tak boleh sekali setahun begitu, sepanjang masa kita mesti ingat. Ini sebenar-benar pelaksanaan Maulud Nabi.


“Sebab itu dasar PAS Membangun Bersama Islam sentiasa teliti terhadap segala pelaksanaannya dalam segenap aspek termasuk mengambil kira halal haram, syurga neraka dan dosa pahala,” jelasnya.


Mengulas lanjut dakwaan kononnya isu tersebut sengaja dipolitikkan ekoran konflik sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, Nik Aziz menafi meniru kerajaan DAP di Pulau Pinang sebaliknya mendakwa “kerajaan Pulau Pinang yang meniru Kelantan."
“Saya dah katakan, 20 tahun saya pegang Kelantan, tak pernah pun berarak. Lim Guan Eng baru saja. Mana Kelantan tiru dia (Pulau Pinang),”.
Isu timbul bila Pergerakan Pemuda Umno Kelantan mendakwa kerajaan negeri itu seolah-olah terpengaruh dengan langkah Pulau Pinang dengan tidak mahu mengadakan perarakan sempena Maulidur Rasul tahun ini.

18/02/10

Laksana hukum sebat cara Islam


KUALA LUMPUR, 18 Feb: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, pelaksanaan hukuman sebat belum memenuhi kehendak Islam sepenuhnya kerana dilakukan secara tertutup, buka secara terbuka seperti yang dianjurkan dalam Islam.


"Hukuman sebat mesti dilakukan secara terbuka, bukan tertutup dalam penjara. Kita kena ingat, tujuan dilakukan secara terbuka adalah untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada rakyat agar tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.


Justeru, beliau mengingatkan kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak berwajib agar melaksanakan hukuman sebat seperti yang dituntut dalam Islam, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Hishammuddin bahawa tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.


Hishammuddin dilaporkan sebagai berkata, tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.


Hishammuddin juga berkata, seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.


Menurutnya, wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


"Saya nak ingatkan menteri yang berkenaan, jangan ingat bila sudah laksanakan hukuman sebat, sudah cukup segala-galanya. Kerajaan kena kaji semula hukuman sebat yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. belajar daripada awal," kata Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.


Beliau juga berkata, tindakan Hishamuddin mendedahkan mengenai hukuman yang dijalankan terhadap tiga wanita itu hanya sekadar untuk menutup mulut rakyat daripada terus mempersoalkan isu Kartika.

"Saya nampak cara menteri memberitahu rakyat mengenai hukuman yang dilaksanakan itu seperti hanya meraikan pandangan orang sahaja dan ingin menutup mulut rakyat daripada terus bercakap isu sebat ini.

"Saya minta menteri laksanakan hukuman sebat ini kerana Allah, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.


Beliau juga mempersoal sikap kerajaan melengah-lengahkan pelaksanaan hukuman sebat ke atas bekas model sambilan yang didapati bersalah kerana minum arak, Kartika Sari Dewi Shukarno, 33.


Nuridah hairan dengan sikap kerajaan yang dilihat seolah-olah sengaja membiarkan Kartika ternanti-nanti untuk menerima hukuman sebat itu walaupun beliau sudah menyatakan kesediaan untuk menerima hukuman itu sejak dari awal lagi.


"Tiga orang yang dihukum itu, biarlah dihukum. Tapi yang saya persoalkan kenapa kes Kartika belum selesai lagi? Apa masalah kerajaan sebenarnya sehinggakan Kartika perlu menunggu begitu lama untuk menerima hukuman itu?" soal Nuridah ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Hishammuddin bahawa tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu di Penjara Wanita Kajang.


Sementara itu, Kartika sendiri, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam,berasa pelik pelik mendapat tahu tiga wanita telah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lalu kerana melakukan kesalahan syariah tersebut.


Menurut ibu tunggal kepada dua anak ini, apa yang berlaku seolah-olah 'mempermain-mainkan' perasaannya selama ini.


Kartika sebelum ini telah membuat permohonan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang (Jaip) untuk campur tangan bagi mempercepatkan hukuman terhadapnya memandangkan ianya masih tertangguh sehingga kini.


Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan terhadapnya.


Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman bagaimanapun dilaporkan sebagai berkata, pihaknya masih menunggu reaksi daripada Tengku Abdullah selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebelum boleh mengambil sebarang tindakan susulan.


17/02/10

Anwar gagal dalam rayuan batalkan tuduhan liwat

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.


Hakim Datuk Abu Samah Nordin berkata tiada kes untuk mahkamah itu membenarkan rayuan tersebut.

Beliau juga memutuskan bahawa laporan perubatan hanyalah untuk menyokong kerana ia juga perlu disokong oleh keterangan lisan, forensik dan bukannya semata-mata laporan itu sahaja.


Abu Samah juga berkata, mahkamah berpandangan bahawa Anwar juga gagal membuktikan bahawa tuduhan itu merupakan satu penindasan dan menyalahguna proses mahkamah.


Oleh itu, katanya, perbicaraan kes liwat terhadap Anwar hendaklah dibenar diteruskan.


Mahkamah juga menolak permohonan lisan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut, sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.


Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.


Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.


Perbicaraan tersebut dijadualkan bersambung esok, dengan Mohd Saiful menjadi saksi pertama dipanggil memberi keterangan.

Presiden PAS, keluarga selamatkan orang lemas

MARANG, 17 Februari: Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di Pantai Rusila berhampiran rumahnya.

(Gambar bawah: Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas)




Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang iaitu berhampiran dengan rumahnya.

"Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila, yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.


Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai itu.


Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk aqiqah cucu Abdul Hadi.


Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke laut.


Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu.


"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut...saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai.


"Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai," cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.


Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau.


Ini adalah catatan beliau dalam facebooknya.


"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang. Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.


Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat.


"Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."


Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.


Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58, bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya.


Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar.


Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

16/02/10

Mahfuz: Umno nak kucar kacir k'jaan Pakatan Rakyat

Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang mencerminkan sikap Umno yang didakwanya bermatlamat menghalalkan cara.


"Matlamat Umno nak kucar kacirkan kerajaan PR (Pakatan Rakyat) dengan menimbulkan suasana yang boleh membawa kepada keadaan huru-hara walaupun sampai kepada pertumpahan darah.

"Yang penting bagi Umno (ialah) untuk dapat kembali kuasa. Ini lah perangai orang gila talak," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Kerajaan Pulau Pinang didakwa telah membatalkan perarakan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini. Bagaimanapun, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikannya.


Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, satu perkara pelik mutakhir ini ialah apabila Umno begitu ghairah mempertahan dan memperjuangkan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang.


"Sehingga media arus perdana pun memberi liputan yang meluas kononnya kerajaan PR Pulau Pinang membatalkan perarakan dan ini digambar seolah-olah kerajaan Pulau Pinang anti-Islam," katanya.


"Bagi saya, berarak Maulidur (Rasul) tak salah, tak berarak tidaklah berdosa. Untuk apa kalau berarak membawa pada dosa. Apa erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi, kemudian tolak apa yang Nabi suruh," katanya.


Menurutnya lagi, apa guna berarak dan berselawat jika kemudiannya melakukan rasuah dan melakukan salahguna kuasa.


Mahfuz juga menyifatkan golongan tersebut menggunakan agama untuk kepentingan politik murahan mereka.


Pada hal, tegasnya, di Kedah, perarakan Maulidur Rasul telah dibatalkan sejak zaman pemerintahan Umno lagi.


Namun, ketika itu, katanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak pula mempersoalkan menteri besar ketika itu, Datuk Seri Mahazir Khalid mengapa perarakan Maulidur Rasul dibatalkan.


Begitu juga dengan media arus perdana yang juga tidak mempersoalkannya, tegas Mahfuz lagi.


Malah, katanya, banyak lagi negeri-negeri lain di bawah pentadbiran Umno yang tidak mengadakan perarakan tersebut.


Beliau sekali lagi mengulangi bahawa perarakan Maulidur Rasul tidak salah, dan tidak berdosa jika tiada perarakan.


Sebaliknya, kata beliau, yang bersalah dan berdosa ialah apabila rasuah, salah guna kuasa, adu domba di kalangan rakyat dan melakukan provokasi membakar gereja, surau dan melempar kepala babi ke dalam masjid.

Mokhzani Mahathir antara 20 terkaya di Malaysia


Datuk Mokhzani Mahathir - anak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - tersenarai dalam 20 orang terkaya di Malaysia, demikian menurut hasil kaji selidik majalah Malaysian Business.


Sehingga 15 Januari lalu, Mokhzani dari Kencana Petroleum, disenaraikan dengan kekayaan sebanyak RM1.075 bilion untuk menduduki tangga ke-20 orang terkaya di Malaysia.


Jutawan Melayu lain yang disenaraikan ialah Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary dari Yayasan AlBukhary, dengan kekayaan sebanyak RM6.01 bilion di tangga ke tujuh.

Manakala Tan Sri Azman dari Arab-Malaysian Corp di senaraikan di tangga ke-11 denan kekayaan se banyak RM2.8 bilion.


Datuk Seri Nazir Razak - adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - dari Kumpulan CIMB, turut disenaraikan antara 40 orang terkaya di Malaysia.


Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut kaji selidik Malaysian Business, kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia mencatat peningkatan terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih RM96.3 bilion, berikutan pemulihan dalam pasaran saham.


Bagaimanapun, menurut kenyataan majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.


Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.


Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka telah diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran 16 Februari. Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Jan tahun ini.


Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih.


Ada lebih jutawan tahun ini - 22 orang iaitu lebih lapan orang berbanding tahun lepas.


Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya "Raja Gula" tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.


Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.


Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion.


Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.


Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion.


Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.


Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun.

Tidak cukup dengan berarak, angkat sepanduk dan berselawat


KUALA TERENGGANU, 16 Feb: “Tidak cukup dengan sambut maulud setahun sekali, berarak, angkat sepanduk, berselawat, dalam masa yang sama kita tengok di hadapan mata kita, hukum-hukum Islam, perintah Allah Taala tidak diamalkan,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.




Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam supaya memahami bahawa dibangkitkan Rasulullah s.a.w. untuk mengajar manusia supaya beramal dengan Islam.

“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah di pekarangan Surau Istiqamah, Padang Nenas, malam tadi.


Turut berucap pada majlis ceramah yang diadakan bersempena Nadwah Ulama PAS Terengganu itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.


Katanya, berita kedatangan Rasulullah s.a.w. dibawa oleh Allah Taala melalui semua nabi dan rasul.


Jelasnya, Allah memerintahkan nabi-nabi dan rasul-rasul mengarahkan umat masing-masing supaya beriman, menolong dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah sekiranya sempat dengan baginda s.a.w. untuk memenangkan Islam.


“Menolong untuk memenangkan Islam, menang untuk apa, menang untuk memerintah, mendirikan kerajaan,” ujarnya yang menafsirkan ayat 81, surah Aali Imran berhubung perintah Allah tersebut.


Jelasnya, setelah dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rasul, maka Rasulullah mengajak kaum keluarganya dan mereka yang ditemui supaya mengucapkan dua kalimah syahadah di samping mengajak mereka mendirikan kerajaan yang beramal dengan hukum-hukum Allah sebagaimana yang diturunkan di dalam al-Quran.


Tambahnya, Nabi s.a.w. juga mengumpulkan para sahabat, orang-orang beriman selain mengajak ahli-ahli kitab Yahudi dan Kristian dan mengutuskan surat kepada raja-raja dalam dunia supaya menganut Islam dan menerima Islam sebagai agama yang memerintah dan berdaulat.


Justeru itu, tegasnya perjuangan itu tidak berhenti walaupun Rasulullah s.a.w. sudah wafat.


Maka, katanya, adalah tidak cukup dengan sekadar sambutan Maulidur Rasul setahun sekali dengan berarak, mengangkat sepanduk dan berselawat tetapi dalam masa yang sama tidak melaksanakan perintah Allah Taala.


Tambahnya, akibat tidak melaksanakan hukum-hukum Islam menyebabkan keadaan menjadi huru-hara dengan peningkatan jenayah seperti rompakan, kecurian, pembunuhan dan sebagainya.


Di samping itu, ujarnya, bencana semakin banyak berlaku kerana manusia meninggalkan perintah Allah supaya beramal dengan hukum-Nya dalam semua perkara.


“Marilah kita sedar dan faham perkara besar dengan bangkitnya Rasulullah s.a.w. mengajar manusia supaya beramal dengan Islam,” ujarnya.


Tambahnya lagi, para sahabat dibunuh dan dihalau dari kampung halaman kerana berjuang bersama-sama Rasulullah s.a.w untuk mendirikan kerajaan dan memerintah dengan syariat Allah.

14/02/10

Penipuan siber meningkat

KUALA LUMPUR - Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel dari institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.


Pengguna menerima e-mel dari bank meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kajiselidik yang menawarkan ganjaran RM200.






Mereka yang menerima e-mel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri berkata, menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.


“Ini kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya. - Bernama

Pinggir Melayu: Pakatan cabar Umno berdebat

Pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang berhempas pulas menepis tuduhan bahawa kerajaan negeri meminggirkan masyarakat Melayu dengan mencabar Umno berdebat berhubung perkara itu.


Cabaran itu dibuat dalam forum 'antifitnah' Pakatan malam tadi di pesta Tapak Expo Seberang Jaya di hadapan lebih 1,000 peserta yang hadir.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dua timbalannya Mansor Othman dan P Ramasamy, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut terlibat dalam program itu.


Forum tersebut dibuat ekoran dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang menuduh kerajaan Pakatan pimpinan DAP cenderung menghukum peniaga kecil Melayu berbanding orang Cina.


Selain dewan tersebut, Umno dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terlibat menganjurkan demonstrasi yang menyaksikan insiden patung Lim dibakar.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3