ALOR SETAR 18 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy didakwa melakukan pembohongan apabila menggambarkan Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang melampau dalam temu bual di luar negara yang menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.
Justeru tegas Aktivis Semboyan 1Malaysia, Yusuf Azmi, kerajaan wajib menilai sama ada pemimpin Hindraf itu benar-benar layak untuk terus menjawat jawatan itu sebagai menteri yang menjaga perpaduan.
“Saya fikir perkara ini perlu dilihat secara serius di mana orang Melayu dan Islam sama sekali tidak pernah menekan kaum lain mahu pun memaksa mereka menukar agama untuk memeluk Islam.
“Jangan ada walau satu atau dua orang sekali pun yang baru masuk kerajaan, tetapi cuba pula hendak membawa perpecahan. Saya yakin, ada agenda politik tertentu cuba dibawa di belakang kita dan mereka ini diingatkan supaya usah cabar atau usik umat Melayu Islam,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas turut menyertai himpunan dan perarakan aman menuju ke Wisma Darul Aman bagi membantah penyebaran risalah Bible terhadap orang Islam dan ratifikasi ICERD di sini, hari ini.