Mahkamah Persekutuan akan menjadi perhatian
ramai Isnin ini apabila ia memutuskan dan mendengar dua kes berprofil
tinggi membabitkan penggunaan kalimah 'Allah' dan pembunuhan Altantuya
Shaariibuu.
Pada hari berkenaan, mahkamah tertinggi itu akan menyampaikan keputusan
yang amat ditunggu-tunggu, sama ada membenarkan atau tidak, Gereja
Katolik merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan
mingguan 'The Herald' daripada menggunakan kalimah 'Allah', dalam versi
bahasa Malaysia terbitannya.
Pada 5 Mac lepas, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mempengerusikan
panel tujuh hakim mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung
permohonan kebenaran merayu itu.
Gereja itu memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan
rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt 2013, yang
melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia
terbitannya.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah
Tinggi yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah selepas
Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam
Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah
menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.
Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Paderi Besar Murphy Pakiam
memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Kementerian Dalam
Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon
perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah
Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan
kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia,
terutama bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.
Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil
perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk
membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.
Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang
yang dikemukakan pemohon memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah
Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.
Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran
merayu kepada gereja itu, keputusan Mahkamah Rayuan terpakai dan gereja
itu tidak boleh lagi mengemukakan rayuan.
Pada hari yang sama, mahkamah itu akan mendengar rayuan pendakwa
terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis, Cif Inspektor
Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terhadap pertuduhan membunuh
wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul
Azhar daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan
rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah
Tinggi Shah Alam pada 2009.
Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di
Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006
Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman 47 muka surat, menegaskan bahawa
keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi
untuk mengekalkan keputusan bersalah kedua-dua anggota polis itu.
Kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan, "oleh itu mahkamah terpaksa memberi mereka faedah kesangsian".
Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 3 Januari tahun ini,
menyenaraikan enam sebab panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah
terkhilaf, dalam undang-undang dan fakta, untuk membenarkan kedua-dua
anggota polis itu terlepas daripada tali gantung.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang pada mulanya
didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada
31 Oktober 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima
facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.