KUALA LUMPUR, 16 Mei -PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan tindakan Dato' Seri Dr Zambry Abd. Kadir kembali bertugas sebagai 'Menteri Besar' adalah kemuncak kepada penderhakaan terhadap seluruh rakyat Perak.
Menurut Penasihat Undang-undang PAS Wilayah Persekutuan,Ahmad Zamri Khuzaimi,sungguhpun Zambry telah mendapatkan perintah penggantungan daripada Mahkamah Rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur , tindakan Zambry kembali bertugas bersama barisan Exconya dilihat membelakangkan kehendak rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abdul Aziz Abd Rahim Isnin lalu telah mengesahkan lagi bahawa Dato' Seri Nizar sememangnya Menteri Besar Perak yang sah dan kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan pilihan rakyat Perak yang masih sah berkuasa.
"Apa yang dilakukan Zambry kini tidak lebih sebagai Menteri Besar yang 'syok sendiri' dengan menafikan kehendak majoriti rakyat,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, kedudukan Zambry kini hanya sebagai 'care taker' sahaja sementara menunggu selesainya proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan berkemungkinan juga akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yg merupakan mahkamah tertinggi negara.
"Justeru itu, beliau dan barisan Exconya tidak boleh membuat apa-apa keputusan yang bersifat dasar ataupun yang melibatkan kewangan negeri.
"Walaupun dari segi perundangannya, Zambry berhak untuk merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari, tetapi secara moralnya, Mahkamah Tinggi telahpun membuat keputusan yang jelas mencerminkan hasrat majoriti rakyat Perak yang mahukan kerajaan Pakatan Rakyat kembali menerajui negeri Perak,"katanya yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Titiwangsa.
Ahmad turut mengulas bahawa,keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dicapai selepas Hakim meneliti dan mendengar keterangan saksi-saksi dan hujahan-hujahan peguam kedua belah pihak dalam perbicaraan yang mengambil masa empat hari untuk diselesaikan.
"Zambry sepatutnya akur dengan keputusan tersebut demi menamatkan kemelut perebutan kuasa yang sudah berlanjutan lebih tiga bulan ini.
"PAS Wilayah Persekutuan juga melahirkan rasa kagum yang amat sangat di atas keputusan Mahkamah Rayuan pada hari Selasa lalu yang disifatkan 'extra' efisyen dengan kelajuan yang sangat luar biasa.
Menurutnya, difahamkan bahawa permohonan untuk penggantungan penghakiman tersebut telah dibuat oleh peguam Zambry pada pagi tersebut dan ia didengar dan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali secara berseorangan dalam masa kurang tiga jam selepas permohonan tersebut difailkan.
"Ini merupakan satu rekod baru dalam sejarah kehakiman negara dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
"PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar kecekapan mahkamah dalam melupuskan kes sepantas ini dapat diteruskan ke mahkamah-mahkamah lain terutamanya yang melibatkan kes-kes jenayah,"jelasnya lagi.
Sementara itu menurut Ahmad,sehingga hari ini masih terdapat tahanan-tahanan reman yang sudah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk dibicarakan dan masih belum diselesaikan.
"Setiap rakyat sepatutnya mendapat keadilan yang sama rata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin hak asasi manusia dan tidak sepatutnya ada layanan istimewa diberikan kepada pihak-pihak tertentu.
"PAS Wilayah Persekutuan mengulangi dan menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak ini ialah dengan cara membubarkan DUN dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapakah yang layak untuk mewakili mereka dan menerajui kerajaan Negeri Perak.
"Selagi isu ini dibiarkan berlegar di mahkamah perundangan dengan mengheret insitusi istana, maka selagi itulah rakyat Perak akan terus berhadapan dengan konflik politik ini dengan tidak ada kesudahannya,"tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.