Persoalan sama ada DAP akan terus menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang tidak timbul sama sekali.
Sebaliknya menurut tokoh utama parti itu, Lim Kit Siang, DAP sentiasa memberikan sokongan padu kepada Anwar berhubung kepemimpinannya dalam Pakatan Rakyat, sebagai ketua pembangkang dan sebagai bakal perdana menteri apabila mereka menumbangkan Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Dengan pengumuman keluar parti oleh ahli parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng semalam, PKR kini mempunyai 28 MP. Jumlah itu menyamai dengan kerusi yang dimiliki oleh DAP.
Menurut Lim, apa yang berlaku di PKR adalah proses pembersihan yang dilihat perit dan pedih tetapi amat diperlukan bagi menjamin kredibiliti dan masa depan PKR dan Pakatan Rakyat.
Menurut Lim, “perbezaan ketara antara PR dan BN ialah sampah-sarah PR adalah permata BN”.
Sekretariat DAP juga mengeluarkan kenyataan media yang ditandatangani olehi 28 ahli parlimennya dan dua senator yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Anwar.
Dalam pada itu, sekretariat PAS juga dalam satu kenyataan media menyatakan semua ahli parlimennya menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat PAS, ahli parlimen parti itu, sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.
“Oleh itu kami kesal dengan tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan ini.
“Kami kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha kami dikalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini,” menurut kenyataan itu lagi.
PAS juga menyeru kepada masyarakat untuk bersama menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN untuk menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.
Kenyataan media itu ditandatangani oleh 23 ahli parlimennya dan dua ahli dewan negara PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.