Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Datuk Seri Najib Razak tidak faham konsep negara berkebajikan yang ingin dibawa PAS apabila mendakwa BN sudah lama melaksanakannya.
Sebaliknya, kata Abdul Hadi, tiga asas utama negara berkebajikan hampir tidak dilakukan BN selama lebih 54 tahun memerintah, termasuklah kewajipan ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman.
"Dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah perdana menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang berintegriti," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.
Selain itu, kata Abdul Hadi (kiri), negara berkebajikan mesti bercirikan kerajaan yang menolong rakyat memerlukan secara adil dan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua.
Najib kelmarin membidas pihak tertentu yang menguar-uarkan konsep negara kebajikan supaya tidak berlagak seolah-olah orang pertama yang menemui formula itu kerana BN didakwa sudah lama mengamalkannya.
Perdana menteri dan menteri kewangan berkata, pendekatan itu sudah dilaksanakan BN, melalui pemberian subsidi barang makanan keperluan asas yang menelan belanja RM2.3 bilion.
Walaupun Najib (bawah) tidak menyebut secara langsung pihak itu, ia dipercayai merujuk kepada PAS yang mengumumkan agenda "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema muktamarnya Mei lalu.
Abdul Hadi berkata, tindakan kerajaan menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak bertahun-tahun jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri negara berkebajikan.
Beliau juga mengaitkan soal "pemberian bermusim" menjelang pilihan raya dan dakwaan berlaku manipulasi sistem pilihan raya dengan perkara itu, lapor akhbar web PAS itu lagi.
Anggota parlimen Marang itu juga berkata, agenda negara berkebajikan yang mahu dibawa PAS bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas kerangkanya berbanding BN yang didakwa memfokus kepada pemberian subsidi semata-mata.