KUALA LUMPUR, 19 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyambut baik keputusan mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat yang menegaskan tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Ummat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang akan diadakan di Shah Alam pada 22 Oktober ini.
Timbalan ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya menyifatkan tindakan PAS Pusat untuk tidak menyertai majlis Himpun tersebut kerana menghormati pihak penganjur yang tidak mahu majlis himpunan tersebut dijadikan pentas politik telah menunjukkan bahawa PAS adalah parti yang sangat beretika dan bertanggungjawab.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak penganjur himpunan tersebut akan dapat mengawal suasana majlis supaya tiada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ‘merosakkan’ suasana himpunan tersebut dengan mainan politik murahan dan perkauman,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, ujar beliau, pihaknya mendoakan semoga majlis Himpun akan berjalan dengan lancar dan baik dan akan menatijahkan satu resolusi yang akan memperkasakan kehidupan beragama yang syumul kepada seluruh warga Muslim di dalam negara ini.
Selain itu, tambahnya peserta himpunan perlu mendesak pihak kerajaan supaya dapat menggubal dan melaksanakan undang-undang hudud untuk mempertahankan aqidah umat Islam masakini yang telah semakin ‘rosak’ bersama arus perubahan semasa.
PAS Selangor menyeru penganjur Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun), menjauhkan diri dari sebarang usaha melaga-lagakan penganut agama hanya disebabkan dakwaan tanpa bukti mahkamah.
Kelmarin, Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abd Rani Osman berkata, biarpun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme.
"Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak beserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi.
"Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana aqidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Selangor di Shah Alam.