----------------$$$$----------------

InstaForex

3/05/12

Suhakam: Tindakan polis tak boleh diterima sama sekali

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan bahawa penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali.

"... di mana mereka (polis) mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam.

Suruhanjaya itu juga, tegasnya, terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika.

"Sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa," tambahnya.

Berikut adalah kenyataan penuh pengerusi Suhakam yang bertajuk 'Kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi dan dihormati'.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suruhanjaya) amat kecewa dan bimbang dengan pelbagai insiden yang dilaporkan berlaku semasa perhimpunan awam pada 28 April 2012, termasuk laporan pasukan pemantaunya, khususnya dakwaan pengendalian yang terlalu kasar dan secara sembarangan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Suruhanjaya juga terkejut dengan dakwaan layanan polis terhadap petugas media yang mempunyai tanggungjawab untuk merekod, mendokumen dan melaporkan peristiwa yang menarik minat orang ramai secara professional dan beretika; sesetengah daripada mereka dikasari sementara dua wartawan dilaporkan ditahan, di samping peralatan mereka dimusnah dan dirampas oleh pihak penguatkuasa.

Suruhanjaya juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan keadaan di mana kelakuan dan tingkah laku peserta perhimpunan yang tidak dapat dikawal dan menjadi huru-hara.

Namun begitu, penggunaan kekasaran yang tak seimbang dan tidak sepatutnya terhadap peserta perhimpunan dan juga petugas media adalah satu tindakan pihak polis yang tidak boleh diterima sama sekali di mana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan awam secara professional lebih-lebih lagi sekiranya diperlukan untuk mengendali dan memudahkan perhimpunan awam.

Suruhanjaya, dalam Laporan Tahunan serta laporan Siasatan Awam berkenaan penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak polis semasa perhimpunan awam, telah berulang kali menyeru pihak berkuasa, agar menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ianya perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan.

Tambahan pula, Prinsip Asas Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang juga menyediakan bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang haruslah, seboleh mungkin, menggunakan cara yang tanpa kekerasan sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan kekasaran.

Walaupun Suruhanjaya telah beberapa kesempatan menawarkan diri sebagai mediator antara polis dan penganjur perhimpunan agar satu persetujuan secara konsensus antara dua pihak sebelum perhimpunan dapat dicapai, namun, tawaran tersebut telah ditolak. Suruhanjaya juga telah beberapa kali menyeru pihak berkuasa untuk membenar dan memudahkan orang ramai untuk berhimpun secara aman.

Ia juga telah menggesa agar polis memudahkan orang ramai untuk melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan tanpa membahayakan hak orang lain untuk menjalankan kehidupan dan hal ehwal harian dengan gangguan minima.

Peserta di perhimpunan yang seumpama di beberapa tempat lain seperti Georgetown, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh, Kuching dan Kota Kinabalu telah dibenarkan untuk berhimpun dan bersurai secara aman, teratur dan bertanggungjawab tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku merupakan satu testimoni kepada kebolehlaksanaan langkah-langkah tersebut.

Suruhanjaya ingin mengulangi pendiriannya bahawa ia mengakui keamanan dan kestabilan adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, namun ianya juga berpendapat bahawa perhimpunan awam menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isu yang menjadi kebimbangan.

Hak-hak tersebut adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20(1) Perisytiharan hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta Akta Perhimpunan Aman 2011 dan juga Perkara 19 UDHR mengenai kebebasan mengeluarkan pendapat.

Walau bagaimanapun, dalam usaha ke arah demokrasi yang berfungsi sepenuhnya, Suruhanjaya telah berulangkali menggesa semua pihak untuk melaksanakan hak mereka secara bertanggungjawab dalam memastikan keamanan dan keselamatan semua yang terlibat dilindungi dan yang lebih penting hak orang lain yang terlibat secara tidak langsung juga mesti dihormati dan dilindungi.

Buat ketika ini, Suruhanjaya menyeru orang ramai, pihak media serta pihak berkuasa yang berkaitan yang telah menyaksikan sebarang pelakuan atau insiden mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa perhimpunan 28 April 2012 untuk mengemukakan maklumat, dokumen lain dan bukti yang berkaitan kepada Suruhanjaya untuk siasatan.

Sementara itu, Suruhanjaya akan membincangkan perkara ini, menganalisa bukti yang terkumpul dan mengkaji laporan pemantuan perhimpunan tersebut secara terperinci dalam mesyuaratnya yang akan datang bagi mempertimbangkan tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger Comment

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3