Hari ini sudah masuk hari kesembilan kehilangan pesawat MH370 menghantui
dunia. Daripada jangkaan awal bahawa pesawat itu mungkin terhempas
dengan fokus pencarian di Laut China Selatan dan Selat Melaka,
pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak dalam sidang akhbar yang tidak
boleh ditanyakan soalan semalam, perhatian kini bertukar dimensi dengan
kebarangkalian ianya dirampas atau sengaja disabotaj pula.
Sebagaimana yang didedahkan Najib juga, pesawat itu kini mungkin berada
di sempadan antara Turkmenistan dan Kazashtan sehingga ke utara Thailand
atau di koridor selatan yang mengunjur daripada Indonesia hingga ke
Lautan Hindi.
Maklumat daripada radar TUDM bahawa pesawat itu sengaja dialihkan
tujuannya serta sistem komunikasi juga dimatikan dengan sengaja, sudah
pasti untuk mengelak dikesan, tumpuan kini ialah kepada mereka yang
berada di dalam kokpit pesawat itu iaitu juruterbang, Kapten Zaharie
Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid.
Persoalannya ialah jika pesawat itu dirampas, apakah juruterbangnya
diugut oleh sekumpulan perampas yang menyamar sebagai penumpang atau
beliau merupakan sebahagian daripada komplot rampasan itu?
Apakah pula tuntutan dan permintaan mereka? Sehingga ini masih belum
terdengar ada sebarang tuntutan dibuat kepada kerajaan Malaysia atau
mana-mana kerajaan lain berhubung rampasan ini.
Atau mungkinkah kerajaan sebenarnya sudah menerima permintaan itu dan
sedang berunding mengenainya dan ia sengaja disembunyikan atas
faktor-faktor keselamatan?
Dah sekiranya kehilangan pesawat ini merupakan satu sabotaj, apakah pula penyebabnya?
Sementara pihak polis sudah pun menggeledah rumah juruterbang dan
pembantunya itu untuk mengumpul lebih banyak maklumat, maklumat berita
di internet ketika ini lebih sarat mengenai pendedahan maklumat tentang
kecenderungan anutan politik jututerbang tersebut.
Selain sudah banyak didedahkan maklumat mengenai Kapten Zaharie yang
digambarkan penyokong tegar PKR dan berkempen kuat untuk V Sivarasa di
kawasan Parlimen Subang dalam pilihanraya lalu, beliau juga digambarkan
sebagai peminat setia Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan terbaru yang didedahkan oleh akhbar Daily Mail, Ahmad
Zaharie juga didakwa berada di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac untuk memberi
sokongan moral kepada Anwar Ibrahim dan menyaksikan sendiri detik-detik
hukuman 5 tahun penjara itu dijatuhkan.
Selepas mahkamah berakhir pada 7 malam, barulah beliau pulang ke rumah
dan kemudian pada jam 9 malam terus bertolak ke KLIA untuk tugasan
membawa pesawat MH370 ke Beijing.
Apakah mungkin kerana kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan itu, lalu beliau melakukan sabotaj itu secara sendirian?
Selain akhbar luar negara, beberapa blog dan pengendali laman sosial pro
UMNO, tanpa segan-silu dan tanpa mengambil kira perasaan isteri dan
ahli keluarga Kapten Zaharie, terus mengaitkan beliau dengan hukuman
penjara terhadap Anwar Ibrahim sebagai punca kehilangan pesawat itu.
Beliau didakwa kecewa dengan hukuman itu dan cuba meluahkan perasaannya
dengan melakukan sabotaj itu. Apakah ianya benar? Isunya ialah apakah
beliau seorang yang tidak berfikir panjang kerana, jika benar itu
alasannya, ia adalah tindakan yang tidak mampu mengubah apa-apa, malah
perbuatannya membahayakan nyawa 239 penumpang adalah ancaman kepada masa
depannnya sendiri.
Walaupun belum dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku dan usaha ke
arah menamatkan misteri ini sedang giat dilakukan, nampaknya
sebagaimana banyak aspek lain boleh dijuruskan dalam sesuatu kejadian,
kaitannya dengan politik dan persaingan kuasa antara Najib Razak dengan
Anwar Ibrahim tetap mengambil tempatnya.
Biar sudah berkali-kali diingatkan agar sesiapa tidak menyebar spekulasi
dan andaian mengenai tragedi ini, namun dalam dunia tanpa sempadan
sekarang ini, bukan saja media dah pengguna internet dalam negeri yang
berbuat demikian, malah sudah menjangkau ke pemikiran antarabangsa.
Sosok yang bernama Anwar yang baru-baru ini dihukum penjara lima tahun,
dihalang daripada bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri
Besar Selangor seolah-olah "kambing yang sedang dicat hitam" sementara
punca sebenar kehilangan pesawat itu masih dalam pencarian.
Yang ditunggu, apakah selepas ini rumah Anwar Ibrahim pula akan digeledah polis? (SH 16/03/2014)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.