Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menafikan pihaknya menggesa orang ramai supaya tidak membeli ikan air tawar di beberapa buah pasar raya kerana didapati menjual ikan patin yang diberi makan bangkai babi.
Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata kandungan mesej WhatsApp yang tersebar pagi tadi mengenai gesaan itu tidak benar dan sehubungan itu orang ramai diminta tidak mempercayainya dan menyebarkan mesej itu.
"IKIMfm menafikan kandungan mesej di aplikasi WhatsApp yang tersebar pagi ini berkenaan dakwaan 'kolam ikan patin Batu Gajah Ipoh kering kontang, penuh dengan tulang khinzir. Berikutan dengan itu, diingatkan! Jangan beli ikan air tawar di pasaraya Billion, Econsave, Giant, Tesco, AEON dan Rapid. Semua ‘supplier’ ikan bangsa Cina. Keluar dalam radio IKIM pagi tadi’,” katanya.
Menurut Nik Mustapha, pihaknya kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam penyebaran itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini
Rabu lepas, media melaporkan pemeriksaan Jabatan Perikanan Perak di sebuah kolam ternakan ikan patin yang kering berhampiran kawasan Lahat, Ipoh menemui rangka dan serpihan tulang haiwan dipercayai babi.
Siasatan awal mendapati rangka dan tulang itu terdampar di dalam dasar kolam yang kering kerana masalah sistem saliran.
- Bernama
Facebook comments for blogger brought to you by 1Rakyat Blog
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.