SEREMBAN, 18 Mei - Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya 'mengambil balik' Setiausaha Kerajaan Negeri (SU) Perak iaitu Dato' Abdul Rahman Hashim kerana gagal mengikut peraturan dan tidak bertanggungjawab.
Zulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Mohd Sidek yang mengatakan Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Nizar Jamaluddin tiada kuasa untuk mengantung SKN Perak, Abdul Rahman baru-baru ini.
Menurut Zulkefly, Menteri Besar ibarat seorang Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) dan adalah menjadi peraturan 'standard' setiap SU harus bertanggungjawab pada kerajaan negeri dan seterusnya melapor diri pada menteri besar.
Malah Abdul Rahman tidak boleh membuat tindakan sesuka hati dan mendahului menteri besar berkaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri, katanya.
"Apa berlaku di Perak adalah jelas bahawa Abdul Rahman telah melakukan beberapa perkara yang bertentangan dan melanggar undang-undang.
"Antaranya menghalau Nizar dari pejabat, berpihak kepada Umno- BN, terlibat dalam kemelut Sidang DUN dan menghalang Nizar dari jalankan tugas sebagai menteri besar," jelas Zulkefly.
Berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah tidak sesuai untuk Abdul Rahman memegang jawatan SU Perak.
"Jika Mohd Sidek berkata bahawa menteri besar tiada kuasa, jadi sebagai ketua kerajaan negeri, apakah kuasa yang Nizar ada jika pegawai kerajaan melangkaui undang-undang dan langgar peraturan?
" Oleh yang demikian saya meminta agar Mohd Sidek mengambil balik Abdul Rahman kerana gagal laksanakan peraturan, tidak bertanggungjawab dan maka tidak layak menjadi SKN Perak," katanya lagi.
Zulkefly turut mengulas bahawa tindakan Abdul Rahman memberi notis Sidang DUN dan kenyataan media adalah tindakan menafikan kuasa Speaker V.Sivakumar.
Maka oleh kerana terlalu banyak salah laku yang dilakukan oleh Abdul Rahman, maka adalah wajar Mohd Sidek 'mengambil semula' Abdul Rahman dari pentadbiran kerajaan Negeri Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.