KUALA LUMPUR, 20 Mei - Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Dato' Kamarul Baharin Abbas mencabar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengotakan janji mengutamakan rakyat.
Najib sebelum ini menyatakan bahawa akan mengutamakan rakyat dalam pemerintahannya, walhal kata Kamarul kenyataan itu tidakpun diaplikasikan dengan tindakan.
"Kalau itulah sebagai prinsip Najib, maka saya menyeru supaya DUN Perak dibubarkan segera kerana rakyat Perak mahukan suara mereka didengari.
"Rakyat mahu kemelut politik di Perak ditamatkan 'once and for all'. Rakyat Perak mahu menentukan semula kuasa mereka dapat menentukan halatuju negeri Perak mengikut fahaman, selera dan kepentingan mereka," katanya.
Rakyat telah melihat bagaimana protes penyelesaian politik di Perak dibuat mahupun melalui proses legislatif atau kehakiman tidak mampu menamatkan krisis, katanya.
"Rakyat juga telah melihat bagaimana pihak BN telah mengeksploitasikan kuasa-kuasanya yang kebetulan masih menguasai kerajaan pusat. Rakyat cukup faham dengan situasi ini," katanya.
"Jalan mudah yang paling mulia dan paling dihormati oleh rakyat adalah dengan membubarkan DUN dan biarkan rakyat Perak membuat pilihan mereka sendiri.
Najib harus membuktikan kebenaran apa yang dikatakan dengan mengotakan kehendak rakyat, katanya.
Najib juga katanya mesti mengenepikan ego dan kesombongan BN dengan menyahut seruan rakyat, katanya.
"Najib wajib melakukan sesuatu yang mencerminkan bahawa beliau bersungguh-sungguh merasai setiap denyutan nadi rakyat!," tegasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.