KUALA LUMPUR, 21 Jan: Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Kamaruddin Jaafar memaklumkan mereka masih lagi membuat siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM).
Beliau mengulas perkembangan semalam berhubung keterangan yang diberikan Ketua Setiausaha bagi Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Datuk Seri Rodzali Daut kepada PAC di bilik mesyuarat Parlimen.
"Pada peringkat ini, kita (PAC) baru mendengar secara umum, kita belum lagi menyoal secara terperinci...oleh itu tidaklah boleh dimuktamadkan untuk kita buat kesimpulan lagi," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Bagaimana pun, beliau yang juga AJK PAS Pusat melahirkan rasa yakin bahawa Kementerian Pertahanan akan memberikan komitmen penuh dalam menyelesaikan kes yang dianggap seolah-olah mencemarkan nama baik negara itu.
"Dalam kes ini, pegawai-pegawai Panglima tiga cabang tentera (TDDM, TUDM dan TLDM) ini akan memberikan sokongan sepenuhnya pada usaha-usaha PAC untuk memastikan bahawa insiden-insiden seperti ini tidak berlaku," jelasnya.
"Kita masih memberi peluang dan kita yakin para pegawai untuk menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen."
Pun begitu, beliau berharap kementerian terbabit boleh memberikan maklum balas yag lebih terperinci berkaitan kes tersebut dalam siri siasatan PAC depan.
"Tidak berpuas (hati), kalau jawapan-jawapan yang diberikan secara umum dan tidak tepat pada apa yang kita hasratkan," jelasnya.
Ditanya tentang inti penjelasan oleh Kementerian, beliau berkata, sistem penyelenggaraan harta TUDM merupakan salah satu faktor yang membawa pada kehilangan enjin bernilai RM2 juta tersebut.
"Seperti yang dilaporkan, enjin tersebut sebenarnya rosak dan hendak dibaiki...kecurian 'harta kerajaan yang sensitif' itu berlaku ketika sesiapa pun tidak sedar," jelasnya.
"Sebahagian dari masalahnya adalah berkaitan sistem penyelenggaraan harta berkaitan keselamatan itu sendiri."
Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata, siasatan penuh yang dibuat oleh jawatankuasanya dijangkakan selesai pada Mac ini.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai bawahan TUDM yang berpangkat Sarjan dan seorang ahli perniagaan didakwa terbabit dalam kes kehilangan enjin tersebut di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya awal bulan lalu.
Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan bahawa enjin yang bernilai RM2 juta tersebut telah pun dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa di luar negara.
Pun begitu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri menafikan bahawa enjin tersebut bernilai RM2.
Berdasarkan kontrak jual beli yang dibuat pada 1972, Ahmad menjelaskan bahawa harga enjin tersebut hanya RM303, 570 sahaja.
Sumber TUDM pula memberitahu bahawa pengoperasian jet pejuang F-5E tersebut dihentikan sejak tahun 1999 kerana negara menjadikan jet MiG-29N dan F/A-18D sebagai pesawat tempur barisan hadapan bagi pertahanan negara.
Kemudian F-5E diaktifkan semula pada 2003 sebagai pesawat latihan dan pesawat peninjau bagi menampung satu-satu keperluan semasa dalam mempertahankan keselamatan ruang udara tanah air.
Facebook comments for blogger brought to you by 1Rakyat Blog
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Blogger Comment
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.