----------------$$$$----------------

InstaForex

10/07/09

Pemansuhan PPSMI hasil perjuangan rakyat

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengalu-alukan tindakan pihak kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelajaran sejak dari tahun 2003.

Tindakan pemansuhan ini adalah juga hasil dari kempen berterusan dan perjuangan yang dilakukan oleh pihak pejuang bahasa, pakar pendidikan, pengkaji, ibubapa pelajar, badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti politik seperti PAS dan pelbagai lapisan masyarakat.

Keputusan pemansuhan ini dilaksanakan setelah ratusan juta wang rakyat dihabiskan untuk melaksanakan satu dasar yang tidak mengalami proses kajian dan perbahasan yang teliti, di samping ianya adalah merupakan satu ujikaji yang akhirnya mendatangkan kesan yang buruk kepada generasi anak-anak.

Para pengkaji dan ibubapa juga sebenarnya telah menilai prestasi pelajar dan jurang pencapaian matapelajaran Sains dan Matematik yang semakin melebar di antara pelajar luar bandar dan di kawasan kosmopolitan.

Selain dari penekanan bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan, PAS juga berpendapat bahawa bahasa-bahasa ibunda yang lain juga perlu diberi ruang yang secukupnya untuk dipelajari oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

PAS juga menyeru pihak kerajaan supaya memperbetulkan kesilapan lalu apabila pihak kerajaan pimpinan Umno juga meneruskan sistem yang melemahkan bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad yang lalu apabila digubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Tindakan ini sangat memalukan kerana rakan-rakan kita kaum Cina dan India dapat mempertahankan tulisan dan bahasa masing-masing, sedangkan tulisan jawi Bahasa Melayu dipinggirkan oleh dasar yang digubal oleh Umno sendiri. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Melayu bertulisan jawi juga mestilah diperkenalkan semua.

PAS berpendapat bahawa episod ini menyerlahkan beberapa kepincangan dalam pengenalan dasar dan pelaksanaan oleh kepimpinan negara.

Pertama, dasar yang sebegini besar dan melibatkan beberapa generasi pelajar khususnya, seharusnya melalui proses kajian dan perbahasan yang lebih mendalam sebelum ianya dapat dilaksanakan.

Ianya bukan sahaja melibatkan perbelanjaan yang menjangkau ratusan juta ringgit, tetapi juga telah menjadikan pelajar sebagai satu objek ujikaji dengan membuat dasar berpandukan kepada pandangan satu dua orang pemimpin negara semata-mata.

Dalam hal ini juga, pihak kerajaan hanya memandang sepi dan menunjukkan sikap berdegil terhadap semua pandangan yang mempertikaikan keberkesanan PPSMI di awal pengenalannya.

Kedua, pihak kerajaan tidak mempunyai satu mekanisme yang cekap dalam membuat penilaian segera terhadap pengenalan dasar ini, terutamanya dari segi keberkesanan dan juga audit perbelanjaan peruntukan yang telah dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Seluruh episod ini sebenarnya menyebabkan kita juga berhak mempersoalkan kewajaran dasar-dasar besar yang lain, samada telah melalui proses-proses yang ketat sebelum ianya diperkenalkan. _

Langkah berjaga-jaga, H1N1 kian serius

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Wabak influenza A (H1N1) semakin serius sehingga kerajaan mencadangkan pemakaian topeng muka jika berkunjung ke tempat sesak, selain mengamalkan "etika batuk" dan menjaga kebersihan diri dan pengudaraan rumah yang baik.

Untuk membendung pandemik ini daripada terus menular dan merumitkan lagi wabak sehingga boleh terjadi kematian, kerajaan juga menggalakkan langkah proaktif "merenggangkan diri daripada orang ramai" seperti mengurangkan perjumpaan.

Menurut laporan Serangan wabak influenza A (H1N1) masuk ke tahap baru hari ini dengan wujudnya gejala penularan tempatan yang tidak lagi dapat dikesan puncanya, termasuk di sebuah syarikat di Cyberjaya.

Seramai 12 orang, daripada 24 kes tempatan terbaru, di syarikat swasta itu disahkan diserang wabak, sementara 200 lagi kakitangan di aras yang sama sedang diawasi di pejabat.

"Gejala kejadian bermula antara 4 hingga 8 Julai 2009.

"Punca kejadian kemungkinan berlaku di syarikat berkenaan berdasarkan siasatan mendapati syarikat berkenaan sentiasa menerima pelawat-pelawat dari luar negara," kata menteri kesihatan.

Dalam kenyataan hariannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga berkata 61 kes lagi jangkitan virus wabak selesema itu dikesan, menjadikan jumlah semuanya 574 sejak pertama dikesan Mei lalu.

Sehingga kini jumlah keseluruhan penularan tempatan 159 kes.

Semalam, kementerian mendedahkan perkembangan gejala seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih dan enam disahkan positif influenza A (H1N1).

"Kesemua 50 pelatih yang yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antivirus, dan kesemuanya dalam keadaan stabil.

"Kesemua pelatih dan anggota ALAM yang tiada gejala telah diletakkan di bawah pengawasan," kenyataan kementerian dipetik.

Liow juga berkata, susulan merebaknya wabak tersebut di syarikat swasta itu dan ALAM, "ini memberi petunjuk awal bahawa terdapat penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti."

"Kementerian Kesihatan perlu membuat persediaan proaktif kepada perkara ini," kata Liow.

"Jika penularan dalam komuniti ini tidak dikawal dengan baik, penularan akan meluas dengan cepat dan akan melibatkan kes-kes yang banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal, kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian."

Liow menyarankan tiga langkah diambil untuk membendung pandemik di Malaysia:

1.Merenggangkan diri daripada orang ramai (social distancing) seperti mengurangkan perjumpaan, mengamalkan "etika batuk", kebersihan tangan dan pengudaraan dalam rumah yang baik.

2.Aktiviti pencegahan dan kawalan seperti ini di kalangan orang awam berkesan untuk memperlahankan penularan penyakit dalam masyarakat.

3.Di tempat kerja termasuk institusi dan sekolah, pemantauan kesihatan perlu diperkukuhkan. Mereka yang bersimptom perlu dikenal pasti dan dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah yang terdekat.

Ketidakhadiran ke tempat kerja yang luar biasa juga perlu dipantau dan kaitannya dengan jangkitan influenza.

Kes-kes yang ringan atau tanpa komplikasi akan dirawat sebagai pesakit luar dan diminta tinggal di rumah.

Mereka diminta untuk mengambil langkah kawalan jangkitan serta melaporkan jika tanda-tanda penyakit bertambah teruk.

Kes-kes yang berisiko tinggi seperti lelah, penyakit respiratori kronik, diabetes mellitus, kegagalan organ, obesiti dan ibu hamil akan dirawat hospital.

Orang ramai juga diminta untuk mengamalkan pemakaian topeng muka jika mengalami gejala influenza, jika mengunjungi ke tempat-tempat yang sesak dan juga jika menghidapi penyakit (co-morbid) dan keadaan yang menyebabkan tahap imuniti yang rendah.

Di pusat-pusat rawatan kesihatan dan perubatan, mereka yang bersimptom perlu diasingkan daripada pesakit biasa.

Rawatan antivirus diutamakan kepada pesakit yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri kepada pesakit dan pekerja kesihatan.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan semasa penyakit ini dan maklumat tepat daripada kementerian melalui laman web www.moh.gov.my dan h1n1.moh.gov.my.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian khas influenza A (H1N1) kementerian di 03-88 81 02 00, 03-88 81 03 00, 03-88 83 44 14 dan 03-88 83 44 15 yang beroperasi antara 8 pagi hingga 9 malam setiap hari.

9/07/09

Isu Menteri Besar Perak: Mahkamah Persekutuan benarkan Nizar merayu

PUTRAJAYA, 9 Julai - Perebutan bagi jawatan Menteri Besar Perak bakal berlarutan di Mahkamah Persekutuan di sini selepas mahkamah tertinggi itu memberikan kebenaran kepada bekas menteri besar Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap pengisytiharan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mengisyhtiharkan bahawa Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah.

Keputusan itu dibuat Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Menurut laporan akhbar online panel tiga hakim itu memberikan kebenaran itu selepas responden, Dr Zambry, dan pencelah Tan Sri Abdul Ghani Patail tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Bagaimanapun, panel tiga hakim itu menolak permohonan Mohammad Nizar bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 22 Mei lepas.

"Ini adalah keputusan sebulat suara, permohonan bagi penangguhan ditolak. Bagaimanapun, kami akan mengambil langkah untuk mendengar rayuan ini secepat mungkin," kata Alauddin.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, S. Ambiga, memberitahu mahkamah bahawa peguam utama, Sulaiman Abdullah, tidak sihat dan tidak hadir pada prosiding.

7/07/09

HIMPUNAN MANSUHKAN ISA PERINGKAT NEGERI PERAK

TEMPAT : BALAI ISLAM KG. TERSUSUN BUKIT JANA,KAMUNTING TAIPING(1KM DARI KEMTA ISA)

TARIKH : 16 JULAI 2009 / 23 REJAB 1430 (KHAMIS)
MASA : 9.00MLM

PENCERAMAH : YB SALAHUDDIN AYOB ( NAIB PRESIDEN PAS, MP KUBANG KRIAN )
YB GOBALAKRISHNAN ( AMT PKR,MP PADANG SERAI)
USTAZ ZAWAWI HASAN ( KETUA PEMUDA PAS PERAK)
YB YEE SIEW KAI ( PIMPINAN DAP,ADUN POKOK ASAM)
SERTA PIMPINAN PAKATAN RAKYAT LAIN YANG SEDANG DIHUBUNGI.

BAJU RASMI HIMPUNAN MANSUH ISA SERTA PENGIKAT KEPALA AKAN DILANCARKAN OLEH DPP PERAK PADA MALAM TERSEBUT.

UNTUK TEMPAHAN GERAI SILA HUBUNGI MOHD YAAKOB 0125782767

KEHADIRAN ANDA SEBAGAI TANDA KEARAH PEMANSUHAN ISA.
BUKTIKAN KOMITMEN ANDA!

Salam perjuangan dari :
jentera penerangan pemuda PAS Perak

Sumber: http://dppperak.blogspot.com/2009/07/himpunan-mansuhkan-isa-peringkat-negeri.html

3/07/09

Pembubaran Dun Perak pasti berlaku!

KUALA LUMPUR, 3 Julai - Selepas Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman mendedahkan akan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, kini Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak pula yakin dengan pendedahan itu.

Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang melaungkan keyakinan keadaan yang kucar-kacir yang berlaku di Perak sejak rampasan kuasa berlaku kini semakin membimbangkan dan menyebabkan pembubaran Dun terpaksa dilakukan.

Keyakinan beliau itu berasas kerana prestasi kerajaan yang memerintah di Perak hari ini semakin dipertikai.

Kerajaan sedia ada juga dikatakan tidak mampu mentadbir dengan baik berikutan situasi yang tidak tentu hala yang melanda negeri tersebut.

Paling tragis katanya, dalam masa terdekat juga Sidang Dun Perak perlu diadakan berhubung kelulusan Belanjawan 2010 yang pastinya sekali lagi akan mengundang kekecohan.

Nizar mendedahkan beberapa ahli Parlimen dan wakil rakyat BN turut menyetujui kekalutan yang berlaku di Perak boleh diselesaikan hanya dengan pembubaran Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya kecil negeri diadakan.

Sebelum ini, Ustaz Halim yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa dalam wawancaranya bersama Harakah ada mendedahkan bahawa pembubaran Dun Perak mungkin akan berlaku selepas PRK Manik Urai.

"Saya menjangkakan pilihan raya Negeri Perak mahu atau tidak akan diadakan, sebab itu kita cadang mahu buat persiapan apa yang patut hadapi pilihan raya Perak,"tegasnya.

Beliau melihat bertapa pentingnya kini JPP yang dikendalikan bersedia awal dengan memantapkan ahli-ahli jawatankuasa mengenai ilmu pilihan raya.

10/06/09

Tubuh Suruhanjaya Diraja, bersihkan kerajaan Perak

KUALA LUMPUR, 10 Jun - Pemuda PAS Perak mendesak supaya ditubuhkan segera Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perubahan kuasa di Perak ekoran rentetan perkembangan politik di negeri ini bermula awal Februari lalu hingga sekarang.

Setiausahanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata tujuan penubuhan badan itu adalah untuk menyiasat secara terperinci insiden 'rampasan kuasa' itu demi kepentingan rakyat dan perlu diperjelaskan serta dibersihkan oleh Kerajaan Negeri.

"Kita percaya ada unsur tertentu dan sebab kenapa tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menjadi ADUN Bebas pada awal Februari dahulu.

"Tindakan mereka itu jelas mengkhianati serta menafikan hak rakyat yang memilih mereka di atas nama Pakatan Rakyat dan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS negeri itu katanya akan mempersembahkan cadangan tersebut kepada Paduka Seri Sultan Perak demi menegakkan demokrasi dan akan juga membersihkan pentadbiran Kerajaan Negeri di samping yakin usaha ini akan memberikan perkembangan positif kepada palabur dan juga pemulihan ekonomi kepada Kerajaan Negeri kelak.

"Kita amat yakin dan percaya jika usaha ke arah penubuhan suruhanjaya ini dan akan menjalankan siasatan yang bakal mendedahkan kepada seluruh rakyat bagaimana perubahan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat yang dirampas oleh Umno / Barisan Nasional (BN)," katanya.

7/06/09

Nizar sokong usul Rembau mansuhkan PPSMI

SHAH ALAM, 7 Jun - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin menyokong penuh usul memansuhkan PPSMI yang dibawa PAS Kawasan Rembau sempena Muktamar PAS ke-55 hari ini.

"Saya selaku wakil PAS Kawasan Kampar bersetuju sangat dengan usul ini. Pada tahun 2004 saya bersama-sama dengan peguam Hanipa Maiden, dan sebagainya telah membawa isu PPSMI ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Pada masa itu anak saya yang darjah empat, anak Muhaimin Sulam dan anak Mejar Yahya yang juga pimpinan Kuala Kangsar bersama-sama memulakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2004," katanya.

Saman itu dibuat atas keputusan kerajaan sebaik meluluskan PPSMI, mereka mengeluarkan pekelilin bagi 11/2004 kepada Pengetua Sekolah Kebangsaan dan SK Jenis Kebangsaan Tamil memaksa pengajaran Sains dan Matematik dijalankan dalam bahasa Inggeris, katanya.

Namun dalam satu lagi sekular 12/2004 yang dihantar kepada SK Jenis Kebangsaan Cina pula, memutuskan mereka boleh mengajar PPSMI dalam bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin, kata Nizar.

Pelaksaan ini jelas 'double standard' dan Umno/BN telah melanggar beberapa peratutan antaranya perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, dan mereka melanggar Akta Bahasa Kebangsaan, kata Nizar.

Justeru pada tahun 2004, beliau dan beberapa pimpinan PAS Perak mengambil tindakan mahkamah ke atas kerajaan Malaysia, Menteri Pelajaran ketika itu Musa Mohamad dan Ketua Pengarah Pendidikan.

Ujar beliau pada 25 Jun ini kes saman tersebut yang tertunggak sejak 2008 akan disebut di mahkamah yang sama.

Justeru beliau menyokong usul tersebut yang akan jika berjaya dimansuhkan PPSMI ia memberikan ransangan pendidikan kepada anak-anak masa akan datang.

Sementara perwakilan PAS Kawasan Cheras, Ustza Muhamad Ali Jamil turut menyokong penuh usul PPSMI yang perlu serta merta dimansuhkan.

Beliau sendiri menyatakan keputusan kerajaan Umno itu adalah satu keputusan yang 'bengong' dan 'pelik'.

Justeru PPSMI perlu dimansukan segera, ujarnya._

USUL TERGEMPAR: Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak

SHAH ALAM, 7 Jun - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

27/05/09

Ketua kampung di Perak saman kerajaan BN

IPOH, 27 Mei - Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat seluruh Perak telah menfailkan saman ke atas Kerajaan Negeri Perak semalam di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Saman tersebut telah dikemukakan oleh Mohd Ridzuan Asit yang mewakili kesemua Ketua Kampung seluruh Perak.

Semasa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak mentadbir negeri ini seramai 817 orang ketua kampungg seluruh Perak telah dilantik setelah ketua kampung yang lama meletakkan jawatan.

Semua ketua kampung telahpun dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada 7 Ogos 2008 sehingga 31 Julai 2010.

Namun begitu apabila rampasan kuasa berlaku di negeri ini oleh Umno/BN perkhidmatan seluruh ketua kampung di negeri ini telah ditamatkan berkuatkuasa pada 16.4.2009 yang lalu.

Dalam saman yang dikemukakan oleh ketua-ketua kampung, mereka menuntut perintah bagi membatalkan tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan mereka,

Ketua-ketua kampung juga menuntut perintah mandamus yang mewajibkan kerajaan untuk melantik semula Ketua-ketua Kampung,

Mereka juga menuntut perintah deklarasi bahawa pemecatan atau penamatan perkhidmatan tersebut adalah batal dan tidak sah.

Dalam saman itu juga mereka menuntut perintah injunksi untuk melarang kerajaan dari melantik sesiapa yang lain sebagai Ketua Kampung.

Ketua-ketua kampung itu juga menuntut injunksi untuk melarang kerajaan dari membenarkan Dewan Orang Ramai dalam semua kampong dari digunakan oleh BN semata-mata.

Mereka juga menuntut ganti rugi punitif, keterlaluan dan teladan untuk dibayar kepada pemohon dan menuntut suatu siasatan dan taksiran ganti rugi kepada pemohon.

Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaludin Dato' Ngeh Ko Ham, Adun Lubuk Merrbau, Zainuddin Yusof dan Adun Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain turut hadir memberi sokongan moral dan semangat kepada ketua-ketua kampung.

Mufti Perak dicabar letak jawatan, bertanding pilihan raya

IPOH, 27 Mei - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPNP) melahirkan rasa sedih dan kesal di atas kenyataan Mutfi Negeri Perak, Dato' Seri Dr Harussani Zakaria, di dalam temubual beliau di dalam majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Mei 2009 THN 7 Keluaran 82 yang cuba membangkitkan api perkauman di negeri ini.

Dalam temubual tersebut, Dato' Seri Mufti Perak jelas cuba membangkitkan api perkauman di antara kaum di Perak bahkan di Malaysia amnya. Rata-rata kenyataannya bersifat �racist� dan tidak memikirkan perasaan rakan-rakan non-muslim.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Dr. Rahja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataan medianya semalam.

Pemuda PAS Negeri Perak katanya, mempertegaskan bahawa Perlembagaan Malaysia telah jelas menerangkan bahawa Islam adalah agama rasmi dan agama lain bebas untuk diamalkan, begitu juga hak kaum-kaum lain untuk hidup saksama di negara tercinta ini.

Sehubungan itu Pemuda PAS Perak kesal dengan tindak-tanduk Dato' Seri Mufti yang kelihatan selesa menjadi boneka dan talian hayat Umno Perak sering mengeluarkan kenyataan yang memihak Umno/BN.

"Sifat kepura-puraan Dato' Seri Mufti Perak sangat dangkal dan menyedihkan rakyat dan umat Islam Perak dan Malaysia amnya.

"Pemuda PAS Perak mencabar Dato' Seri Mufti Perak untuk meletakkan jawatannya dan secara 'gentlemen ilmu' bertanding di mana-mana kerusi pilihan raya di Perak mewakili Umno/BN jika benar-benar mahu melihat Islam tertegak di Perak.

"Hentikan kenyataan-kenyataan berlapik yang membela Umno/BN," tegasnya.
PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3