----------------$$$$----------------

InstaForex

30/01/10

Bakar gereja: PAS selar campur tangan Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 30 Jan: PAS menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melarang polis mengambil keterangan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle, baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya.

“Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan kes berkenaan di bawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegitu, ujarnya lagi, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak polis untuk mendakwa suspek.

Idris mengambil contoh dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini di mana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.

“Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja, beliau tidak dipanggil memberikan keterangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, PAS mendesak supaya polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat.

Menurutnya, jika perkara itu dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

Tambahnya, PAS bertegas agar polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak.

Jika benar, katanya ahli Umno terlibat merancang perbuatan itu, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.


Hina Raja: Penulis blog, Aduka Taruna didakwa

Seorang penulis blog dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor.

Khairul Nizam Abd Ghani, 29, yang dikenali dengan nama penanya Aduka Taruna, sebelum ini diperintahkan ditahan reman empat hari oleh mahkamah majistret Kota Baharu.

Perintah tahanan reman itu berakhir hari ini.



Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, hakim Zamri Bakar mengurangkannya sebanyak RM5,000 dengan mempertimbangkan rayuan Khairul Nizam yang akan mengadakan majlis persandingan esok.

Pengantin yang baru sebulan mendirikan rumah tangga itu diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.

Khairul Nizam kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Isterinya turut hadir di mahkamah.

Pemuda itu sebelum ini menyerah diri ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu.



29/01/10

MP DAP disiasat mengikut Akta Hasutan

Ahli parlimen Teluk Intan M Manogaran dipanggil untuk siasatan polis hari ini, dipercayai mengikut Akta Hasutan, berhubung ucapannya pada satu ceramah minggu lalu yang mengaitkan Umno terlibat dalam serangan ke atas rumah ibadat.

Manogaran berkata ucapan itu dibuat dalam satu ceramah bersama beberapa pemimpin PKR termasuk ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Teluk Intan pada 22 Jan lalu.

Katanya, pada ucapan berkenaan, beliau secara umumnya mendakwa Umno terlibat dalam siri serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

"Tapi saya kata begitu dalam konteks Umno sebagai tulang belakang kerajaan. Jadi apa-apa yang berlaku kepada rakyat, Umno mesti bertangungjawab," katanya yang akan memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Setapak petang ini.




Tambahnya lagi, ketika dihubungi Malaysiakini, beliau bagaimanapun
tidak mempunyai rekod ucapan berkenaan kerana berucap secara spontan tanpa teks
pada ceramah di Cenderiang Balai itu



"Saya bercakap tanpa teks dan tidak mempunyai rekod ucapan tersebut. Polis ada
rakaman (ucapan) itu dan saya nampak ada juga beberapa orang yang merakam dengan
kamera video," katanya lagi.

Dihubungi tiga hari lalu


Tambahnya, polis Teluk Intan telah menghubunginya sejak tiga hari lalu untuk
merakam keterangannya, namun beliau tidak dapat berbuat demikian kerana berada
di Kuala Lumpur.



"Hanya hari ini saya lapang untuk bertemu mereka di Kuala Lumpur," katanya lagi
yang menyifatkan tindakan polis memanggilnya memberi keterangan itu sebagai "prosedur
biasa."



"Cuma, saya harap ini bukan bermotifkan politik semata-mata sebab saya sebut
Umno terlibat (dalam insiden serangan ke atas rumah ibadat)," katanya lagi.


Manogaran merupakan individu pertama yang disiasat polis kerana mengaitkan
Umno dalam insiden serangan ke atas rumah ibadat.



Naib presiden PKR,








Azmin Ali turut membuat kenyataan serupa kelmarin dengan mendakwa beliau
mempunyai bukti bahawa ahli Umno terbabit dalam serangan 8 Jan itu.



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berkata polis tidak
akan mengambil kenyataan daripada Azmin berhubung dakwaan itu yang diketepikan
sebagai "kenyataan politik."  




Kes bakar gereja: Tiga didakwa


dikemaskini 2:30pm Dua beradik bersama seorang rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan membakar Gereja Metro Tabernacle di Taman Desa Melawati pada 8 Januari lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat menggunakan bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Ketiga-tiga mereka - Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 24, Raja Muhammad Idzham Raja Ibrahim, 22, dan rakan mereka Azuwan Shah, 23 dibenarkan diikat jamin dengan RM20,000 sementara menunggu kes itu disebut semula.

Mengikut Seksyen 436, jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

Hakim SM Komathy Suppiah juga menetapkan 12 Mac untuk sebutan bagi membolehkan semua mereka yang bekerja sebagai penghantar surat melantik peguam.





Suspek kelihatan lemah dan gugup


Sementara itu Bernama melaporkan ketika prosiding, Raja Mohamad
Faizal kelihatan menahan kesakitan berikutan muka dan badannya yang melecur
teruk manakala pinggangnya terlilit saluran air

kencing dan seluar yang dipakainya pula mempunyai kesan darah.


Pada bahagian lengan kiri adiknya pula juga dilihat terdapat kesan lecur dan
bengkak, manakala badan Azuwan tidak menampakkan sebarang kesan lecur tetapi
ketiga-tiga mereka kelihatan lemah dan gugup.


Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis pada awalnya memohon mahkamah
menetapkan jumlah jaminan RM20,000 setiap seorang memandangkan kesalahan yang
dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam.


Bagaimanapun Raja Mohamad Faizal merayu jaminan dikurangkan kerana
keluarganya miskin dan tidak mungkin dapat mengumpul jumlah itu manakala Azuwan
emohon jumlah sebanyak RM5,000 sahaja.


Serangan bom api pada 8 Jan lalu mengakibatkan bahagian bawah gereja tiga
tingkat di Desa Melawati, Kuala Lumpur itu musnah.


Minggu lalu, lapan orang, termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka
dikenakan tahanan reman.


28/01/10

Zambry bermain dengan perang haram - Nizar

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin berkata, pihak yang bermain dengan perang saraf (mind games) sebenarnya adalah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

"Dia bukan sahaja bermain dengan mind games (perang saraf) bahkan juga perang haram (illegal games)," kata Nizar kepada Harakahdaily.

Media hari ini melaporkan seruan Datuk Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar BN Perak, agar Pakatan Rakyat di Perak menghentikan perang saraf dengan kenyataan mengatakan ‘Don’t Play Mind Games’.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Nizar berkata bahawa yang bermain ‘mind games’ ialah Datuk Zambry. Bukan setakat itu, dia yang juga sedang bermain ‘illegal games’.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat yang sah digulingkan oleh BN pada 5hb Februari 2009 sehinggalah tarikh keputusan Mahkamah pada 9hb Februari 2010 nanti, jawatan Menteri Besar Negeri Perak telah dikosongkan iaitu tiada siapa pun yang memegang jawatan ini.

“Yang bermain ‘mind games’ sebenarnya ialah Datuk Zambry Abdul Kadir dan EXCOnya yang haram itu,” kata Nizar dengan sinisnya.

Chang Lih Kang, ADUN Teja pula berasa hairan dengan kenyataan Zambry dan berpendapat mungkin Zambry dengan tiba-tiba telah berasa gelisah menunggu keputusan mahkamah pada 9 Februari nanti.

Chang berpendapat bahawa jika perkara ini sudah jelas dan berpihak kepada Datuk Zambry, maka keputusan Mahkamah akan sudah diberi pada 5hb November 2009 yang lalu iaitu ketika mahkamah itu bersidang.
Oleh itu, beliau berasa mungkin keputusan akan berpihak kepada Datuk Seri Nizar. Namun ini adalah jangkaan beliau sahaja.

“Kami tidak bermain apa-apa game pun, mungkin Datuk Zambry berasa bimbang dan resah akan keputusan yang diberi oleh mahkamah nanti, oleh itu beliau membuat kenyataan sedemikian,” ujar Chang lagi.

Menurutnya, Pakatan telah bersiap sedia untuk Pilihanraya di negeri Perak sejak rampasan kuasa oleh BN pada Februari tahun lalu.

Namun demikian, kami berasa tidaklah senang untuk mendapat kemenangan disebabkan oleh tambahan banyak nama dalam senarai Daftar Pengundi yang disemak oleh pihak Pakatan Rakyat pada September 2009. Kami akan menyemak dengan teliti nama-nama yang baru ini," kata Chang lagi.

Menurut Chang, mungkin nama-nama yang baru ini adalah yang mungkin akan menyokong dan mengundi BN.

Jika begitu BN mungkin boleh menang di kawasan dimana Adun Pakatan Rakyat mendapat kemenangan dengan majoriti yang tipis dalam Pilihanraya Umum Mac 2008 yang lalu, katanya.

"Bukan senang untuk Pakatan Rakyat memenangi kembali Negeri Perak. Pertempuran dijangka sengit dan 50% peluang kemenangan sebelum September 2009 telah turun,” sambungnya lagi.

Sementara itu, Lim Kit Siang, anggota Parlimen Ipoh Timur, ketika dihubungi Harakahdaily berkata, semakin dekat dengan tarikh keputusan, maka semakin hangatlah perang saikologi (psychological warfare) yang dilancarkan oleh pihak BN.

'UMNO bakar gereja', keterangan Azmin tak diperlukan polis




Polis tidak akan mengambil keterangan daripada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli
pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak perlu mendapatkan keterangan Azmin kerana beliau bercakap atas kepentingan politik semata-mata.




"Azmin hanya orang politik yang boleh membuat andaian dan tuduhan yang bermacam-macam," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Azmin semalam yang
mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Jan lalu.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian anggota Umno yang didakwa terbabit.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dahulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan
sembarangan.

Polis tidak pilih kasih

Beliau berkata polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya setelah bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia melibatkan orang Umno atau sesiapa sahaja yang didapati terlibat.

"Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting setelah kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pula berkata dakwaan tentang penglibatan Pemuda Umno dalam insiden itu hanyalah satu strategi baru pembangkang yang kini mensabitkan semua kejadian buruk kononnya datang dari Umno.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, Umno juga boleh menuduh PKR atau pembangkang melakukan perbuatan tersebut, tetapi Umno tidaklah sejahil itu untuk membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.

"Saya nak ingatkan pembangkang jangan buat tuduhan melulu. Jika ada bukti sila dedahkan. Yang penting Umno tak suruh. Jika misalnya ada ahli Umno yang terlibat mencuri, itu bukan Umno yang suruh. Itu yang penting," katanya.

- Bernama

PAS kutuk penangkapan ISA, mahu 10 tahanan dibicarakan

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pengunaan Akta ISA terhadap 10 orang suspek pengganas termasuk beberapa pelajar asing dari luar negara. Salah seorang yang ditahan juga adalah rakyat tempatan.

PAS bertegas menolak penggunaan Akta ISA dan mahu 10 tahanan ini dibicarakan dimahkamah terbuka, kata Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad.




Media hari ini menyiarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein yang memberitahu, kerajaan menahan 10 dibawah ISA. Sembilan darinya rakyat asing manakala seorang warga tempatan. Kesmuanya didakwa terlibat dalam kegiatan keganasan. Namun, beliau tidak mendedahkan identiti mereka.

Bagi Idris, keengganan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mendedahkan nama 10 suspek berkenaan menimbul kecurigaan kepada rakyat.

Sewajarnya identiti mereka didedahkan bagi menunjukan pihak Kerajaan benar-benar membuat tangkapan dan membuat siasatan penuh ke atas mereka, katanya.

Bagi Idris, penahanan dibawah Akta ISA tidak memberikan apa-apa jawapan kepada rakyat, kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau sengaja dikambing hitamkan demi untuk menunjukan Menteri keselamatan Dalam Negeri menjadi hero dalam membantu Amerika yang kini giat memburu Pengganas antarabangsa.

Malaysia sebelum ini terkenal sebagai negara transit kepada pendatang tanpa izin, transit kepada aktiviti pengedaran dadah, transit kepada aktiviti pelacuran, transit kepada aktiviti penjualan bayi, transit kepada pengubahan wang haram, transit kepada aktiviti cetak rompak dan negara transit kepada pengganas.

Tetapi itu semua tidak bermakna Kerajaan boleh menangkap orang sesukahati tanpa membuktikan mereka bersalah dimahkamah, katanya.

Menurut beliau, adalah satu kezaliman jika orang yang dituduh itu tidak bersalah tetapi ditahan dibawah akta ISA dan terpaksa melalui musim-musim penderaan yang mengerikan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 2 tahun di Kamunting atau di Kluang.

"PAS yakin, dengan tindakan terbaru ini jelas rakyat sudah melihat bukti bahawa Malaysia adalah negara Polis, dan Menteri yang juga ahli Politik Barisan Nasional bebas menahan sesiapa sahaja tanpa perlu membuktikan kesalahan mereka.

"Maka, tidak mustahil juga akta ini akan digunakan suatu hari nanti kepada pemimpin-pemimpin Politik atau rakyat yang tidak bersetuju dengan parti Menteri tanpa perlu dibuktikan kesalahan mereka," katanya.

Ops Lalang dan penangkapan pemimpin Reformasi membuktikan perkara berkenaan. Sehingga kini, katanya, mangsa yang telah bebas tidak tahu apakah kesalahan mereka hingga terpaksa merengkok dalam penjara dan disiksa.

Pihak Polis juga hingga kini gagal membuktikan kesalahan mereka dan jelas segala pertuduhan yang dibuat semasa penahanan adalah fitnah.

Sehubungan itu, PAS mendesak Kerajaan mendakwa 10 tahan ini bersama tahanan-tahanan sedia ada dimahkamah dan mansuhkan akta ISA

Kohilal mulakan 'road show' di Kelantan

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Koperasi Al Hilal Malaysia Sdn. Bhd. akan memulakan “road show” untuk mengembalikan semula ingatan dan menyemarakkan semula penggunaan barangan yang bermottokan “ Hilal Yang halal”.

Menurut Bendahari Kohilal, Dr Md. Yusnan Yusof, Kelantan telah dipilih sebagai negeri pertama bagi 'road show' tersebut untuk berrtemu anggota dan stokis serta mereka.

Program “road show” tersebut akan diadakan pada 30 Januari 2010 di Dewan Utama, Kelantan Trade Centre (KTC), yang terletak berhampiran Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Jelas Yusnan, program ini adalah sebagai suatu usaha untuk membangunkan semula Kohilal dengan berpegang kepada tujuan asal penubuhannya untuk menyediakan barangan keperluan harian yang halal.

Program jualan barangan Kohilal akan bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari yang sama.

Pihak Kohilal juga akan membuka kaunter untuk permohonan pendaftaran baru anggota koperasi dan permohonan anggota-anggota untuk menjadi stokis.

"Mereka yang telah mencukupi saham sebagai anggota dan ingin menjadi stokis hanya perlu membuat pembelian pertama yang bernilai sebanyak RM350 dan memastikan pembeliaan tahunan tidak kurang dari RM2000.00 sahaja.

"Bagi mereka yang berminat untuk menjadi stokis tetapi belum menjadi anggota Kohilal mereka perlu mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota dengan menjelaskan bayaran proses sebanyak RM27 dan bayaran saham anggota sebanyak RM500 dan seterusnya memohon untuk menjadi stokis," katanya.

Sehingga kini katanya, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob bagi melancarkan barangan baru Hilal seterusnya memimpin solat hajat bersama-sama anggota Lembaga Kohilal.

Semua pihak dan orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama membeli dan menyemarakkan lagi program 'road show' Kohilal yang julung-julung kali diadakan di Malaysia.

Pemuda Pakatan dan BN sepakat bantah serangan

KUALA LUMPUR, 28 Jan: Pemuda semua parti politik di negara ini mengambil kata sepakat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang terbabit dengan insiden serangan dan pencemaran ke atas rumah-rumah ibadat.

Dalam satu kenyataan bersama yang luar biasa dari parti politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) ini, mereka menyifatkan sebagai suatu yang melampau, biadap, bacul dan amat bertentangan dengan nilai-nilai agama serta tatasusila yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.

Berikut adalah kenyataan penuh mereka:-

KENYATAAN BERSAMA PEMUDA BARISAN NASIONAL DAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

Kami, barisan kepimpinan sayap pemuda bagi parti-parti politik di Malaysia, mengambil ketetapan untuk bersepakat dan bersatu hati bagi mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang terbabit dengan insiden serangan dan pencemaran ke atas rumah-rumah ibadat. Ini termasuklah kejadian terbaru yang melibatkan dua buah masjid iaitu Masjid Jumhuriyah di Taman Dato' Harun serta Masjid Al-Imam Tirmizi di Taman Sri Sentosa yang dicemari dengan kepala babi.

Sebarang serangan atau vandalisme terhadap mana-mana rumah ibadat tidak boleh sama sekali dipertahankan. Tindakan-tindakan sebegini merupakan suatu yang melampau, biadap, bacul dan amat bertentangan dengan nilai-nilai agama serta tatasusila yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.

Kami menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan politik untuk bangkit bersatu menentang tindakan segelintir puak ekstrim ini yang mahu menggugat kestabilan dan keamanan negara, lantas merobek semangat hormat-menghormati sesama rakyat yang sememangnya tersemai di kalangan kita.

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bertenang dan tidak bertindak berbaurkan emosi. Kami mendesak pihak berkuasa untuk menumpukan segala usaha demi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Adalah penting siasatan ini dijalankan secara bebas tanpa sebarang tekanan.

Kami sependapat bahawa isu ini adalah perkara sejagat yang merentasi batasan agama, politik serta bangsa. Apabila datang ancaman kepada perpaduan dan identiti kita sebagai warganegara Malaysia, kepimpinan muda negara sedia mengenepikan perbezaan fahaman politik demi mempertahankan kemakmuran dan keharmonian negara.

Pemuda Barisan Nasional Pemuda Pakatan Rakyat
Pemuda UMNO Angkatan Muda Keadilan
Pemuda MCA Democratic Action Party Socialist
Pemuda MIC Youth
Pemuda Gerakan Dewan Pemuda PAS
Pemuda PPP
Pemuda PBB
Pemuda SUPP
Pemuda SPDP
Pemuda PRS
Pemuda PBS
Pemuda UPKO
Pemuda PBRS
Pemuda LDP

Kedah catat pelaburan ke-5 tertinggi

ALOR SETAR, 28 Jan: Negeri Kedah telah berjaya mencapai pelaburan keseluruhan bagi tempoh Januari hingga September 2009 sebanyak RM839 juta.

Manakala pelaburan tempatan pula berjumlah RM279.4 juta serta pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM559.8 juta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, sehingga tempoh tersebut juga Kedah berada pada tangga kelima bagi jumlah pelaburan terbanyak dalam negara ini.

"Walaupun jumlah pelaburan bagi tiga bulan terakhir belum dikemaskini oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, namun begitu statistik ini sudah dapat membuktikan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa ekonomi Kedah tidak memberangsangkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang adalah tidak benar sama sekali.

"Malahan pada bulan Disember 2009, terdapat penambahan pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi pembesaran kilang panel solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih daripada seribu orang.

"Kerajaan negeri juga sedang merangka program ekonomi yang berasaskan pertanian sebagai persediaan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian utama," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menambahkan pelaburan dalam bidang pembuatan, industri minyak dan juga automotif.


PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3