----------------$$$$----------------

InstaForex

8/05/10

'Rosmah derhaka anggap dirinya Wanita Pertama'


Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin hari ini menggesa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana merujuk dirinya sebagai “wanita pertama” atau "first lady" - satu tindakan yang dianggap menderhaka.


“Kenyataan ini dilihat tidak wajar dikeluarkan oleh beliau kerana jika merujuk kepada Perlembagaan Negara, Artikel 32, gelaran itu sepatutnya diberikan dan dipegang oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung selaku isteri kepada Pemimpin Tertinggi Negara.





“Gelaran ini sama sekali tidak harus menjadi pertikaian dan juga hasrat bagi sesiapa sahaja untuk memilikinya kerana ia jelas tertulis dari sudut Perlembagaan Negara,” katan Zuraidah (kanan) dalam kenyataan media hari ini.


Zuraidah merujuk kepada iklan dua muka surat yang disiarkan di New York Times, bulan lalu yang mengucapkan tahniah kepada “Rosmah, Wanita Pertama Malaysia” sempena dikurniakan Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.


Iklan 16 April itu juga dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama yang mendapat perhatian blog Malaysia Today, yang dikendalikan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin yang kini diburu kerajaan.


Laman web itu juga melaporkan iklan yang dianggarkan bernilai RM10 juta itu juga memuatkan gambar besar Rosmah dengan tajuk “Malaysia berbangga dengan anda”.


Menurut Bernama, kos berkenaan ditampung oleh “keluarga dan sahabat Rosmah di Amerika dan Malaysia”.


Zuraidah berkata sikap Rosmah yang kerap mengganggap dirinya sebagai “The First Lady” bukan sahaja dilihat sesuatu yang tidak sopan tetapi menunjukan beliau seolah-olah cuba membelakangi Istitusi Diraja.


“Amat dikesali apabila seorang isteri Perdana Menteri begitu dangkal dan cetek fahaman politiknya sehinggakan bagi menaikkan diri, beliau sanggup membelakangi Raja Permaisuri Agung dan sekaligus dilihat sebagai satu tindakan yang menderhaka.


“Kami ingin menasihati kepada semua rakyat agar tidak mencontohi kelakuan biadap sebegini semata-mata ingin meraih sokongan politik sehingga sanggup melanggar Perlembagaan Negara,” katanya lagi.


Rosmah juga didesak supaya tidal lagi menggunakan gelaran tersebut di mana-mana sahaja beliau berada.


Lagi remaja ditembak, konstabel digantung tugas


Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.


Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun.


Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.


Cedera parah


Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.


"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.


Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.


Osman berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.


"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.


"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."


Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.


"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.


"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.


Bapa terkilan


Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.


Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.


Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.


"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.


"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya.

Mufti diminta nyatakan hukum judi bola sepak

KOTA BHARU, 8 Mei: Para mufti di negara ini diminta mengulas dan menyatakan hukum berhubung cadangan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 khususnya dari sudut agama Islam.


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata sekiranya terdapat seorang mufti mengulas dari sudut hukum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah meminum arak sebelum ini sebagai haram, PAS dan rakyat meminta mufti mengulas dari sudut yang sama berhubung perkara itu.


Katanya, mufti jangan berdiam diri dalam soal itu kerana sudah jelas dan nyata Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui ayat yang sama bahawa minum arak dan berjudi adalah haram dan dosa besar.

Katanya lagi, keputusan kerajaan itu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan ianya telah disiarkan oleh televisyen.


Kelmarin, Awang Adek dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.


Tambahnya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.


Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.


“Saya sebenarnya tidak menonton televisyen, sudah hampir 10 tahun saya tidak menontonnya, saya mengetahuinya melalui satu sms.


“Antara yang terkandung dalam sms itu, apa sudah jadi Datuk? Awang Adek dah lulus lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010, kononnya tidak mahu adanya aktiviti judi haram tanpa lesen,” ujar Husam.


Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga seterusnya membertahu, malang sekali rakyat Kelantan khususnya sekiranya masih memberi undi kepada Awang Adek sehingga tidak tahu perjudian tetap haram biarpun berlesen.


Sambungnya, perkara yang sedemikian (haram dianggap halal) akan berlaku dan terus berlaku sekiranya Umno memisahkan agama dengan politik.

“Adakah rakyat di negara ini masih memandang remeh terhadap keputusan kerajaan ini apa lagi ianya membabitkan soal agama, tak rasa sensitif dan jijik ke terhadap tindakan itu?


“Malang sungguh kita sekiranya membiarkan perkara ini berlaku,”ujarnya lagi.


Husam memberitahu, berikutan keputusan kerajaan meluluskan lesen tersebut, ada seorang wanita Cina menghubunginya supaya bertindak menahan agar lesen tersebut tidak berjaya dilaksanakan.


Katanya, menurut wanita Cina itu lagi, masyarakatnya akan lebih kemaruk sekiranya aktiviti itu dibiarkan sehingga akan berlaku huru hara dalam keluarga.


“Kalau orang Cina boleh berfikiran sedemikian, kenapa kita orang Islam memandang remeh serta turut menyokong apa yang dibuat oleh kerajaan BN,” ujarnya lagi.

Bantuan Kerajaan Pakatan tanpa kira parti politik

BUTTERWORTH, 8 Mei: Timbalan Ketua Menteri, Dr Mansor Othman berkata, bantuan yang disampaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tidak memilih latar belakang politik sebaliknya terus kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, kerajaan negeri akan memberikan bantuan kepada sesiapa pun tanpa mengira latar belakang politik tetapi atas dasar kemiskinan berbanding di era kepimpinan Umno dahulu.


Lazimnya, kata beliau PUZ akan memberikan bantuan kepada mereka yang mengalami kesukaran hidup atau mempunyai keluarga yang daif.


"Inilah agenda Kerajaan Pakatan Rakyat berlainan dengan apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang asyik mementingkan politik sempit dengan membiarkan orang Melayu berada di paras kemiskinan untuk menyenangkan mereka menyalurkan bantuan ketika pilihan raya kecil atau umum," tambahnya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah PUZ di Jalan Mengkuang, semalam.


Sembilan orang mangsa bencana alam di Jalan Mengkuang, Penaga dan Bayan Baru mendapat peruntukan hampir RM200,000 untuk membaiki kerosakan rumah termasuk dua rumah sumbangan Pusat Urus Zakat (PUZ) bernilai RM33,000 sebuah menggantikan rumah yang terbakar penghujung tahun lalu.


Pengarah PUZ Negeri Pulau Pinang, Dr Azman Abdul Samat memberitahu, kesemua mangsa memperolehi berdasarkan mengikut kos kerugian masing-masing.


"PUZ memberikan rumah beranggaran RM33,000 berkeluasan 20 x 34 kaki persegi dengan mempunyai tiga bilik tidur. Yang lain kita bagi bentuk wang tunai ada yang RM6 ribu, RM5 ribu dan RM2 ribu," jelasnya.


Turut sama dalam program tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ustaz Ellias Zakaria, timbalannya, Ustaz Saleh Man dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd Farid Arshad.

Pertandingan tiga penjuru di Sibu


Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.


Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi.


Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.


Muhyiddin
bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.


Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.


Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.


Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.
Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.


BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.


Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.


Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.


Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.


Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.


Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.


Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.


Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).


Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.


Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

7/05/10

Suami isteri saman polis, kerajaan RM4.75 juta


Seorang lagi mangsa yang mendakwa ditembak oleh polis, Siti Nasrinda Tumirin, hari ini tampil membuat pendedahan yang dia ditembak di Klang pada Ogos tahun lalu.


Siti Nusrinda (kanan, bertudung), 23 dan suaminya, Mohd Fauzi Mohd Daud (kanan, berbaju hijau), 26, serta bapa mertuanya, Mohd Daud Ab Hamid, 51, memfailkan saman bernilai RM4.75 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam, terhadap dua anggota polis dan empat yang lain selepas mendakwa mereka melepaskan tembakan bertubi-tubi dan membuta tuli ke arah mereka, tahun lalu.





Saman itu dibuat melalui Tetuan M Manoharan & Co, menamakan Konstabel Razlan Mohd Khairi dan Koperal Abdul Wahab Ishak, sebagai defendan pertama dan kedua, manakala Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Kerajaan Malaysia, sebagai defendan ketiga, keempat, kelima dan keenam, dalam writ saman itu.


Mereka turut menuntut suatu deklarasi terhadap defendan kerana melanggar Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan, satu deklarasi bahawa defendan gagal, enggan, cuai dan abai untuk mematuhi Seksyen 20, 21 dan 24 Akta Polis 1967, satu deklarasi bahawa defendan pertama dan kedua melakukan kesalahan cubaan membunuh, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Pada kejadian itu, Siti Nusrinda mendakwa cedera di bahgian pinggang manakalasebutir lagi peluru mengenai tudungnya.
Selain itu, Siti Nusrinda juga menuntut agar anggota polis yang menembaknya dan Mohd Daud yang merupakan tunangnya ketika itu, menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama dua tahun.


Katanya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada anggota polis berkenaan supaya tidak lagi mengulangi kesilapan mereka.


Saman itu difailkan oleh peguamnya, M Manoharan, yang juga ahli dewan undangan negeri Kota Alam Shah.


Pada kejadian 19 Ogos itu, Siti Nusrinda dan Mohd Fauzi mendakwa sedang berbual di kereta mereka yang diletakkan di sebatang jalan di Klang Utama pada jam 8.30 malam.


Sebuah kereta peronda kemudiannya menghampiri mereka sambil menyalakan lampu beberapa kali. Pasangan itu mendakwa mereka ketakutan dan terus memecut.


Pihak polis dilaporkan terus mengejar dan tanpa amaran terus melepaskan beberapa tembakan.


Sebutir peluru menembusi kerusi penumpang dan mencederakan Siti Nusrinda di bahagian pinggangnya.


Mohd Fauzi yang memandu kereta itu kemudiannya memberhentikan kenderaan itu dan diberitahu mereka disiasat kerana memecut, berkhalwat dan menghalang tugas polis.


Mereka mendakwa, kedua-dua anggota polis keluar dari kereta peronda dan terus mengacukan pistol mereka ke arah mereka.


Sehubungan itu, sebagai plaintif, mereka memplidkan kedua-dua defendan pertama dan kedua cuai dan gagal dalam menjalankan tugas mereka sebagai anggota polis yang bertanggungjawab selain mereka tidak mengendahkan langsung kepentingan nyawa plaintif dan orang awam.

'Pembersihan' di Star dan media milik MCA


Beberapa perubahaan pucuk pimpinan dijangka dilakukan ke atas beberapa syarikat yang dimiliki oleh MCA. Antaranya, termasuk Huaren Holdings, Star Publications, dan stesen radio 988.


Pihak pengurusan kanan yang dilantik oleh bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat dijangka akan disingkirkan dan diganti dengan pegawai-pegawai pilihan presiden baru, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Bagaimanapun perubahaan itu dikatakan akan hanya membabitkan perlantikan berkaitan politik.


Antara nama yang disebut-sebut termasuk timbalan pengerusi eksekutif Star Publications, Datuk Clement Hii Chii Kok dan pengarah eksekutifnya, Ng Beng Lye.


MCA memiliki 40 peratus daripada saham Star Publications melalui badan pelaburannya, Huaren Holdings. Star Publications menerbitkan akhbar bahasa Inggeris utama negara, The Star dan merupakan sumber kewangan penting bagi MCA.


AGM Star detik permulaan


Kedua-dua mereka - Clement dan Ng dilantik ke lembaga pengarah Star pada Januari tahun lalu. Perlantikan mereka dilihat sebagai tindakan Ong untuk memperkuatkan cengkamannya dalam menghadapi pemilihan pucuk pimpinan MCA.


Mereka dipercayai akan disingkirkan pada mesyuarat agung tahunan Star Publication yang dijadualkan pada 24 Mei ini.


Menurut agenda mesyuarat, pemilik saham akan mengundi bagi pemilihan semula Ng sebgai pengarah, yang disenaraikan sebagai resolusi ketiga.


Walaupun nama Clement tidak disenaraikan dalam agenda, adalah percayai langkah-langkah telah diambil bagi beliau mengosongkan jawatannya itu.


Wong Chun Wai dijangka kekal


Bagaimanapun nasib seorang lagi pengarah eksekutif syarikat itu yang juga pengarang kumpulan akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dipercayai selamat.


Wong telah berkhidmat selama 26 tahun dengan akhbar itu dan dilihat sebagai bukan penyokong kuat Ong.


Selain itu, janji yang dibuat Chua menerusi manifesto pemilihannya yang bertajuk 'Humble Ant' bahawa beliau akan memberi autonomi editorial dan kebebasan pengurusan jika dipilih, bakal menyelamatkan Wong.


Chua menghadapi tekanan daripada beberapa NGO selepas dilantik sebagai presiden. Dua pertubuhan awam secara terbuka menuntut beliau mengotakan janji-janjinya akan polisi autonomi editorial The Star diteruskan.


Bos Selangor Pewter dijangka terajui Star


Ura-ura mengatakan Pengarah Urusan Royal Selangor International (dahulunya Selangor Pewter) Yong Poh Kon adalah calon pilihan Chua untuk menerajui Star Publications.


Yong bukan muka baru di kalangan veteran MCA. Beliau pernah memimpin badan pemikir parti itu, Institut Strategik dan Analisis Polisi (INSAP) semasa era bekas presiden, Tan Koon Swan.

Tan Sri Musa Hassan tidak layak menjadi Ketua Polis Negara??


Dewan undangan negeri Pulau Pinang kecoh hari ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (bawah) memberi amaran bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika rakyat hilang keyakinan dengan pihak berkuasa dan sistem sedia ada.


Mengulas bidasan orang ramai berhubung kematian remaja 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis, Azhar menyoal sama ada rakyat mahu tentera mengambil alih negara memandangkan polis didakwa tidak lagi berkesan.


Ketua Menteri, Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) menjawab, DAP bukannya tidak menghormati jasa polis tetapi mereka tidak mengiktiraf Tan Sri Musa Hassan yang disifatkan sebagai tidak layak menjadi Ketua Polis Negara.


"Tidak ada salahnya kita mengkritik Musa Hassan (Tan Sri) kerana bagi kita dia tidak layak menjadi Ketua Polis Negara, ditambah lagi insiden terbaru melibatkan kematian Aminulrasyid (Amzah)", katanya


Azhar kemudian mengulangi lagi kenyataannya meminta agar pasukan tentera mengawal negara bagi menggantikan polis dan kenyataan itu menyebabkan beberapa penyokong kerajaan meminta Azhar menarik balik pandangannya kerana ia bersifat menghasut.


Ketua pembangkang itu kemudian menarik balik kenyataannya itu selepas akur dengan arahan Speaker supaya berbuat demikian.


Bagaimanapun beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dan mencadangkan Azhar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.


Usul untuk merujukkan Azhar (BN-Penaga) ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datok Kramat) dan disokong oleh lebih 10 anggota penyokong kerajaan.


Jagdeep Singh semasa mengemukakan usul itu berkata ketua pembangkang itu melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.


Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain yang meluluskan usul itu berkata, notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada Azhar.


Sementara itu, Azhar ketika ditemui Bernama berkata beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak khuatir terhadap sebarang tindakan yang bakal dikenakan.


“Saya bercakap seperti itu setelah Umno dan BN dihina dan dituduh sebagai rasuah, samseng dan sebagainya dan saya sanggup berhadapan dengan sesiapa pun walaupun dibawa ke mahkamah," katanya.


3 kali dipanggil: Khalid khuatir keterangan bercanggah





Lagi saksi sahkan kenyataan Azamuddin


Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemilik kenderaan yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, telah bertemu denganya dan menceritakan peristiwa sebelum remaja itu ditembak mati oleh polis pada 26 April.


Khalid berkata, ahli perniagaan tersebut tampil menemuinya kelmarin (Selasa) dan meminta pandangannya berhubung tindakan lanjutnya yang patut diambil.





“Dia asalnya tidak mahu campur. Dia takut direman,” katanya yang enggan mendedahkan indentiti pihak terbabit buat masa ini.

Bagaimanapun, selepas dinasihatkan, Khalid menambah, pemilik kenderaan tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.


Pada 27 April lalu - sehari selepas insiden kematian Aminulrasyid, Khalid (kiri) dilaporkan telah mendedahkan butiran kandungan laporan polis saksi utama kes itu, Azamuddin Omar, yang berada dalam kereta bersama arwah, pada malam kejadian tersebut.


Dalam aduanya, Azamuddin antaranya mendakwa kenderaan yang dipandu arwah telah bergesel dengan sebuah kereta, menyebabkan beliau dikejar oleh tiga penunggang motosikal, dipercayai rakan kepada pemilik kenderaan itu.


Menurut aduan itu lagi, ketika melarikan diri, mereka telah memotong sebuah kereta polis yang kemudiannya turut mengejar mereka. Azamuddin juga dilaporkan mendakwa, tembakan terhadap Aminulrasyid dilepaskan selepas kejadian tersebut.


Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, beliau difahamkam seorang penunggang motosikal tersebut turut membuat laporan polis sejurus selepas kejadian tersebut, juga di IPD yang sama.


Menurut Khalid lagi, pemilik kereta tersebut memberitahunya, pada malam kejadian tersebut, keretanya digunakan oleh seorang rakannya dan keluar minum di seksyen 7 bersama tiga penunggang motosikal terbabit.


Tambahnya, kedua-dua laporan tersebut bertepatan dengan apa yang diceritakan oleh Azamuddin dalam laporan polis dan sidang medianya sebelum ini.


Menjawab soalan, Khalid berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit tidak menyaksikan peristiwa ketika Aminulrasyid ditembak, laporan tersebut didakwa dapat membuktikan “konsisten dan tepatnya” versi yang diceritakan kembali oleh Azamuddin.


“Kalau di bahagian awalnya (cerita itu) tepat, takkanlah di akhirnya tidak betul?” soalnya kembali.


Sehubungan itu, Khalid mempersoalkan kenapa “laporan yang telah berada dalam simpanan polis” itu tidak didedahkan kepada umum ketika kerajaan menjamin satu siasatan yang telus akan dilaksanakan dalam kes itu.


“Ketelusan bukannya bermaksud telus terhadap jawatankuasa (pemantau) sahaja, tetapi juga kena telus kepada rakyat,” tambahnya.
Sementara itu, Khalid juga menyuarakan kebimbingannya terhadap perkembangan siasatan kes Aminulrasyid di mana Azamuddin telah tiga kali dipanggil memberikan keterangan oleh pihak polis.


Beliau berkata, tindakan itu – terakhir petang semalam – dikhuatiri boleh mendorongnya tersilap membuat kenyataan dan tidak konsisten memberikan jawapan.


"Berapa kali dia (Azamuddin) perlu menceritakan perkara ini? Apa tujuan dia diminta menceritakan perkara yang sama berulang-ulang kali?" soal Khalid.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3