----------------$$$$----------------

InstaForex

4/11/10

Keputusan terkini pengundian PRK N.45 Galas

7.09pm Keputusan tidak rasmi: BN mendapat 3,258 undi manakala PAS memperolehi 2,348 undi. Majoriti 910 undi.

7.07pm Keputusan tidak rasmi: BN mendapat 2,834 undi manakala PAS memperolehi 2,270 undi.

7.05pm Keputusan tidak rasmi: BN mendapat 2,359 undi manakala PAS memperolehi 2,212 undi.

6.55pm Keputusan tidak rasmi: BN mendapat 1,250 undi manakala PAS memperolehi 1,258 undi.

6.50pm Keputusan tidak rasmi: BN mendapat 1035 undi manakala PAS memperolehi 982 undi.

6.45pm Keputusan tidak rasmi: BN mendapat 621 undi manakala PAS memperolehi 584 undi.

6.27pm BN mendahului di Galas dengan 114 undi di Kampung Batu Papan.





Sekitar hari pengundian PRK N.45 Galas

5.21pm Seramai 8,980 atau 77.73 peratus keluar mengundi di Galas. Jumlah ini tidak termasuk di peti undi Belatim, Balar dan Bihar.

5.00pm
Pusat pengundian ditutup. Pengiraan undi akan bermula lagi sejam setengah.

4.39pm Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid berkata SPR akan mula mengumumkan keputusan bagi sebanyak 177 pengundi pos diikuti keputusan bagi empat peti undi Orang Asli.





Empat peti undi dari daerah mengundi Belatim, Balar, Ladoi dan Bihai itu dimaterikan sebaik tamat tempoh pengundian.

Kesemua peti berkenaan mula tiba di tempat penjumlahan di Dewan Sivik, Gua Musang sejak jam 2.15 petang tadi.

"Kita tidak dapat semak berapa sebenarnya yang keluar mengundi di kawasan Orang Asli itu sebab tidak ada talian telefon di situ," katanya lagi.

Kesemua peti undi berkenaan telah pun berada di pusat penjumlahan dan menunggu masa untuk dijumlahkan.

"Keputusan ini yang orang hendak tahu dulu, sebab keputusan (tidak rasmi) di peti undi lain, ejen-ejen calon sudah tahu," katanya.

Pada masa ini sedang berlangsung proses menyisihkan sebanyak 177 undi pos dan akan dijumlahkan bersama dengan undi lain, katanya.

Jumlah undi pos tersebut termasuk sebanyak 127 undi dari anggota polis dan selebihnya dari petugas SPR.

4.28pm Setakat jam 4 petang, sebanyak 8,073 telah keluar mengundi. Jumlah ini mewakili 69.88 peratus.

Peratusan ini tidak termasuk pusat pengundian di pos Brooke, Belatim, Balar, Bihar dan Ladoi.

3.57pm
Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, PAS mendapat petunjuk yang baik berkaitan peluangnya untuk memenangi pilihan raya itu.

Bercakap dalam satu sidang media, Abdul Halim berkata, andaian itu berdasarkan maklumat yang diperolehinya bahawa lebih 95 peratus pengundi luar didapati pulang ke kawasan untuk mengundi.

3.27pm
Setakat jam 3 petang, sebanyak 66.23 peratus telah keluar mengundi.

2.15pm Jumlah yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil DUN Galas sehingga jam 2 petang ialah 61.39 peratus atau 7,092 orang.

Peratusan ini tidak termasuk lima kawasan Orang Asli.

1.45pm Jumlah yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil DUN Galas sehingga jam 1 tengahari tadi ialah 55.75 peratus atau 6,441 orang.

'Budak sekolah balik rumah'

1.26pm Pada jam 12,30 tadi, kelihatan barisan panjang di bilik operasi BN di Bukit Cekati. Kira-kira 300 orang beratur selepas mengundi untuk mendapatkan RM250.

1.16pm Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Wan Ahmad Wan Omar berkata pemilih dibenarkan memasuki pusat pengundian dengan memakai kemeja-T bertulis 1Malaysia.

12.27pm Sehingga jam 12, peratus keluar mengundi sebanyak 49.61 peratus. Seramai 5,732 orang telah mengundi.

11.57am
Perang mulut masih berterusan di antara penyokong PAS dan BN di luar pusat mengundi SK Seri Wangi.

"Budak sekolah, budak universiti balik ke rumah," laung seorang penyokong BN yang memakai tudung merah jambu.

Ini disahut dengan, "budak tak sekolah balik ke rumah," daripada penyokong PAS.

Pemandu yang lalu lalang di kawasan berkenaan terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing ketika melalui kawasan berkenaan memandangkan keadaan jalannya yang menjadi sempit.

Langit cerah, helikopter berlegar

11.27am Di pusat pengundian Bandar Baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Indra Petra, kelihatan helikopter polis berlegar-legar di langit yang mulai cerah.

Keadaan tenang. Penyokong PAS mula berselawat dan penyokong BN mencari tempat berteduh daripada panas matahari.

Di SK Lepan Jaya, pusat pengundian bagi LepanTupai keadaan hampir sama.

11.35pm Sehingga 11 pagi, jumlah keluar mengundi di Galas sebanyak 4,589 orang atau 39.72 peratus (tidak termasuk enam kawasan Orang Asli).

10.55am Pengerusi MCA Kelantan Dr Ng Yen Yen berkata beliau yakin kejayaan akan memihak kepada BN kerana rakyat tempatan mahukan perubahan.

"Mereka mahu kemajuan dan mereka mahu konsep 1Malaysia menjadi kenyataan," kata Ng kepada pemberita di luar SK Gua Musang di Bandar Lama Gua Musang, kawasan campuran Melayu dan Cina.

10.55am Setakat 10 pagi, peratusan keluar mengundi sebanyak 24.02% (2775), tidak termasuk 6 kawasan Orang Asli.

Gear 2 naik bukit

10.15am
Pemilih terpaksa berjalan 300 meter mendaki jalan yang curam ke pusat pengundian.

Ramai mengadu keletihan, terutamanya wanita mengandung dengan anak kecil dalam dukungan untuk berjalan ke SK Sri Wangi.

"Rehatlah dulu, sekejap lagi nak masuk gear dua," keluh mereka.

10.14am Di Sg Terah, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Md Isa tiba, bersalaman dan kelihatan berseloroh dengan Ahmad Maslan.

"Pertandingan persahabatan," kata Ahmad.

10.03am Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata selain insiden di SM Tengku Indera Putra, suasana tenang di tempat lain.

Ahli parlimen pontian itu berkata penyokong BN mengalami kececeraan ringan.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Ahmad berkata, kedua-dua pihak telah bersalaman dan berbaik semula selepas kejadian itu.

Mustapha: Penyokong dia nampak lebih ramai

10.02am
Menurut seorang pegawai SPR, sehingga jam 9.50, peratus keluar mengundi di Sg Terah hampir 300 orang daripada 1,912 orang yang layak mengundi.

Beliau menjangkakan 400 akan turun menjelang jam 11.

9.49am Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed berkata proses membuang undi hari ini bermula perlahan.

"Tapi kita tengoklah nanti," katanya ringkas ketika ditemui di luar SK Seri Wangi.

"Penyokong dia (PAS) nampak lebih ramai dekat sini," katanya lagi ketika meninjau kumpulan penyokong berkenaan.

Beliau juga berkata, jalan utama di simpang yang menghala ke sekolah berkenaan juga terlalu sempit.

9.51am
Setakat jam 9 pagi, peratusan keluar mengundi di Galas sebanyak 9.93 peratus. Sebanyak 1147 telah membuang undi. Ini tidak termasuk di enam kawasan orang asli.

Hadang dengan Landrover

9.18am Lebih seratus orang telah membuang undi di SRJKC Gua Musang sejak peti undi itu dibuka sejam lalu.

Sedikit ketegangan berlaku berhampiran SK Gua Musang, di Bandar Lama (kawasan campuran) apabila penyokong PAS melintas kawasannya, mengundang kemarahan penyokong Umno.

Polis menggunakan Landrover sebagai penghadang kepada dua kumpulan yang rancak berperang mulut.

SK Gua Musang, kawasan tumpuan, 600 orang daripada PAS dan BN berkumpul sejak pagi.

8.45am Nik Aziz dan calon PAS Zulkefli menghabiskan kira-kira 10 minit di SRJKC. Ramai mengambil kesempatan bergambar dengannya. Pengarah Strategik PKR turut tiba lima minit kemudian.

8.41am Di kubu kuat PAS di Sg Terah, kelihatan kira-kira 400 penyokong parti itu berbanding hanya 50 berbanding BN. Kelihatan Pengerusi Umno negeri Mustapha Mohamad berlegar sekitar kawasan penyokong BN.

'Penimbang lama' lawan 1Malaysia


8.35am Penyokong PAS kelihatan jauh melebihi penyokong BN di sepanjang jalan menuju SK Sri Wangi.

Mereka mengejek penyokong BN yang agak senyap sebagai 'penimbang lama'.

Sementara itu, kelihatan beberapa pemilih memakai kemeja-T bertulis 1Malaysia di SK Gua Musang dan SRJKC Gua Musang.

8.26am Seorang penyokong PAS berpakaian Briged Muslimat menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan kuat kepada SPR dengan mendakwa tidak membenarkan petugas Pakatan Rakyat memasuki kawasan yang ditutup sekitar SMK Agama di Taman Mawar.

8.25am Calon PAS Zulkefli meluangkan kira-kira 10 minit bertegur sapa dengan pemilih, pegawai polis dan kakitangan pilihan raya.

Beliau meninggalkan tempat itu dengan laungan takbir daripada penyokong PAS.

Perang mulut berlaku antara kedua-dua penyokong menyebabkan polis dan pegawai SPR menjarakkan lagi kedudukan penyokong bagi mengelakkan sebarang insiden tercetus.

Pagi mendung

8.15am Di SK Gua Musang - salah satu pusat pengundian di Kampung Baru Gua Musang - penyokong PAS yang berkumpul kelihatan memakai baju bertulis 'PAS for All, manakala penyokong Umno pula membawa poster bertulis 'PAS Penipu'.

8.02am Cuaca di Galas sedikit mendung. Bagaimanapun, tiada hujan lebat seperti malam tadi.

Di pusat pengundian SK Tengku Muhammad Fakhry Petra, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad tiba diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Zulkefli ditentang calon BN Abdul Aziz Yusof dalan pertembungan satu lawan satu.

Zulkefli menggalas beban berat di DUN itu ekoran Galas merupakan antara kubu kuat Umno yang berjaya ditawan PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, kejayaan dalam pilihan raya ini tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap kawalan PAS di DUN. Parti itu kini menguasai 38 daripada 45 kerusi di Kelantan.

Manakala sekutunya PKR mendapat satu dan Umno sebanyak enam.






28/10/10

Kempen PR di kawasan pengundi Cina DUN Galas

Audit: K'jaan persekutuan terlebih belanja RM4.83b

Kerajaan persekutuan telah terlebih belanja RM4.83 bilion tahun lalu. Ini merupakan defisit kedua tertinggi selepas tersasar bajet operasi RM5.7 bilion pada tahun sebelum itu.

“Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dan perancangan kewangan dan pengurusan,” petik Laporan Ketua Audit Negara 2009 sambil menekankan bahawa perbelanjaan sepatutnya hanya dilakukan selepas mendapat kelulusan.

Laporan itu juga mendedahkan 11 agensi - termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan 10 kementerian telah berbelanja melebihi bajet operasi mereka sehingga sebanyak RM3.61 bilion.



Ketua Audit Negara juga mendapati 15 kementerian dan agensi terlebih berbelanja RM3.74 bilion bagi 42 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Senarai teratas adalah Kementerian Pertahanan yang terlebih belanja RM2.03 bilion untuk tiga projek, diikuti oleh Kementerian Pelajaran ((RM927 juta untuk empat projek) dan Jabatan Perbendaharaan (RM547 juta untuk dua projek).

Sementara itu, hutang tertunggak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan pula terkumpul sebanyak RM4.6 bilion atau 13.3 peratus melebihi jumlah RM4.08 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Selangor adalah pemiutang terbesar (RM829.86 juta), diikuti Johor (RM809.89 juta), Kedah (RM706.68 juta), Pahang (RM565.08 juta) dan Negri Sembilan (RM504.50 juta).

Jumlah hutang tertunggak itu terus meningkat meskipun RM204.27 juta dalam pembekalan perjanjian air kepada lapan negeri telah diserap oleh kerajaan persekutuan.

Menurut laporan itu 607 (50.5 peratus) daripada 1,203 pinjaman yang disalurkan kepada kerajaan negeri adalah hutang yang diberikan antara satu hingga 13 tahun lalu.

Bagi badan berkanun, Perbadanan Aset Keretapi (RM1.02 bilion) adalah pemiutang terbesar manakala Perwaja Terengganu Sdn Bhd menduduki senarai syarikat dengan hutang terbesar (RM1.8 bilion).





Dr Asri: 'Hantu' mana curi wang zakat kita?

Ekoran laporan audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan eset Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa 'mengesahkan' wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) berkata, laporan Jabatan Audit Negara - antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik - memerlukan penjelasan dan jawapan sejauh mana ketepatannya.

"Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan.





"Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.


"Ke mana pergi segala peruntukan ini?" soal pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 yang dikeluarkan Isnin lalu, 70 unit penghawa dingin itu tiada disenaraikan dalam Laporan Lembaga Pemeriksa tetapi pengurusan MAIWP mencadangkannya untuk pelupusan.

Miskin terus merempat

Selain itu, semasa perpindahan ibu pejabat MAIWP pada Februari 2008, sebanyak 348 aset alih bernilai RM136,265 seperti kelengkapan pejabat, perabot dan penghawa dingin ditinggalkan.

Penemuan lain melibatkan kes pembelian barangan hampir RM80,000 yang tidak digunakan, kehilangan aset bernilai RM45,789 serta pembelian minyak yang meragukan dan melebihi kapasiti tangki.

Dalam satu kenyataan awal petang ini, Dr Mohd Asri berkata, pendedahan audit itu amat menghairankan kerana ketika ratusan juta ringgit wang zakat dipungut, si miskin terus menderita dan merempat.

"Hantu manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya? Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban?

"Yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian," katanya dengan nada sinis.

Sehubungan itu, tokoh ulama yang terkenal dengan kelantangannya itu berkata, fungsi zakat perlu dimuhasabah semula sejauh mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.

Ambil kesempatan asnaf amilin

"Apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu (yang) didedahkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain.

"Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud di pelbagai negeri, sementara kemewahan PUZ (Pusat Urus Zakat) juga ternyata (berlaku) di pelbagai negeri.

"Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam? Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf amilin (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan," kata Dr Mohd Asri.

Menurut beliau, kewujudan kes seperti itu mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti "institusi-institusi yang berjenama agama".

"Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri berpendapat, perubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan tersebut.

"Itu pun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang," tambahnya lagi.



25/09/10

Mahathir macam raja lawak Astro

ALOR SETAR, 25 Sept: Peringatan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan 'suara' jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan negara dianggap sebagai bahan jenaka dari seorang raja lawak Astro yang baru.

"Kenyataannya itu saya anggap sebagai kemunculan seorang raja lawak Astro baru dengan dailog jenaka dan bahan lawak yang mampu membuatkan orang ramai sama ada generasi baru atau lama ketawa hingga tidak kering gusi.

"Sesuai sangatlah dengan watak tuanya, beliau menggantikan pelawak-pelawak yang seusianya seperti Ibrahim Din, M. Zain dan 'ahli mesyuarat tingkap' lain yang telah tiada, dan kini tinggal Dr Mahathir seorang sahaja lagi," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sinis yang ditemui pada majlis penyerahan tajaan FusionExcel International kepada Persatuan Bolasepak Melayu Kedah, petang semalam.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, kuasa dan suara orang Melayu akan lenyap sekiranya Umno dan Barisan Nasional (BN) terus diberi peluang memerintah negara ini pada masa pilihan raya akan datang.

Menurut Mahfuz, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah diberi peluang memerintah negara sejak 53 tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu, mereka terbukti gagal meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan sekaligus meletakkan kaum itu tertinggal jauh di belakang.

"Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi meminta kerajaan mendedahkan fakta dan kedudukan sebenar ekonomi orang Melayu yang tertinggal sejak negara merdeka dan ini bukti jelas orang Melayu jauh kebelakang apabila dari kalangan mereka sendiri yang mempersoalkannya.

"Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan sejak 40 tahun lalu juga tidak berupaya memajukan orang Melayu dan ini menguatkan lagi hujah bahawa mereka gagal membela orang Melayu.

"Apakah Umno dan BN nak minta tambahan masa lagi 53 tahun atau 40 tahun untuk memajukan orang Melayu? Kuasa dan suara orang Melayu akan terus hilang kalau mereka diberi peluang lagi untuk memerintah negara," katanya.





Nizar kata Mahathir perkauman, Izzah cabar berdebat

Nizar kata Mahathir perkauman, Izzah cabar berdebat




KUALA LUMPUR, 24 Sept: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman manakala Nuzul Izzah Anwar pula mencabarnya berdebat ekoran dakwaan beliau Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.


"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar), kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Bagi Nurul Izzah pula, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak, katanya.

Menurut Nurul Izzah (gambar), masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

Beliau dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata beliau dalam kenyataannya.



24/09/10

Zunar ditangkap polis, buku terbaru dirampas

Kartunis popular Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque hari ini ditahan polis mengikut seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Beliau kini dilaporkan dibawa kepada ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

Sebelum itu, pada sekitar jam 4 petang tadi, polis menggelidah premis Sepakat Efektif Sdn Bhd yang dimiliki Zunar dan merampas kira-kira 67 naskhah terbaru buku Cartoon-O-Phobia yang dijadualkan dilancarkan malam ini.





Menurut Zunar yang sempat menghubungi Malaysiakini dan bercakap secara tergesa-gesa memberitahu pejabatnya yang juga menempatkan Kafe Kartun diserbu oleh sepuluh anggota polis yang diketuai oleh ASP Ari Krishna daripada balai polis Brickfields.

"Kami diberitahu bahawa laporan polis telah dibuat berhubung penerbitan buku itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Zunar berkata selain buku terbarunya itu, turut dirampas adalah beberapa lukisan kartunnya.

“Saya sedang cuba melenggah-lenggah masa sehingga peguam saya tiba,” katanya.

Sebelum ini, beberapa bukunya termasuk 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, juga diharamkan.

Pada 17 September lalu, Zunar memberitahu Malaysiakini Cartoon-o-phobia (ketakutan pada kartun) sebagai usah terbarunya yang terus menyindir kerajaan.

"Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap mengancam ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan.

"Kerana itu, nama Cartoon-o-phobia dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun," kata Zunar.

Cartoon-o-phobia diterbitkan oleh Kinibooks - sebuah anak syarikat Malaysiakini.

Kebanyakan karya-karya kartun itu adalah koleksi pilihan kartun-kartun yang tersiar dalam Malaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010.

Antara yang disentuhnya ialah isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain.

Cartoon-o-phobia mempunyai 80 halaman berwarna-warni dan dijual ada harga RM25.00. Ia juga boleh dibeli secara online melalui gerakbudaya.com dan cartoonkafe.com.

Zunar kemudiannya dilihat dibawa keluar daripada IPD Brickfields dengan menaiki kenderaan polis pada kira-kira jam 7 petang ini.

Lathefaa berkata, Zunar dibawa ke IPD Puchong untuk siasatan lanjut.

Latheefa ketika bercakap kepada wartawan di luar IPD Brickfields selepas itu berkata polis telah menyiapkan laporan penahanan Zunar.

"Tapi saya tidak pasti sama ada laporan itu dibuat bawah Akta Hasutan atau Akta Penerbitan dan Mesin Cetak," katanya.






SYABAS tuntut pampasan RM308 juta dari S'gor

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menuntut bayaran "pampasan" M308 juta dari kerajaan Selangor kerana mendakwa dihalang daripada menaikkan tarif air di Selangor.

SYABAS membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin.

Katanya, syarikat tersebut menuntut pampasan itu kerana mendakwa mengalami kerugian kerana keengganan kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.

"SYABAS pada masa yang sama mengugut untuk mengheret kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian," tegas Faekah dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak gentar dengan tuntutan SYABAS itu.

Kerajaan negeri, katanya, berpendapat syarikat itu tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air.

"Antaranya, bekalan air yang teruk, bekalan air yang tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit," tambahnya.

Menurut Faekah, jika SYABAS dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37 peratus seperti yang disebut dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal daripada harga petrol hari ini.

"Kerajaan negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana rakyat masih dibelenggu dengan kemelut ekonomi global, apatah lagi perkhidmatan air yang diberikan tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Selangor mempertahankan hak rakyat Selangor mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik dengan harga yang berpatutan.

"Air adalah keperluan asas yang dianugerahkan Allah dan oleh itu, hanya kos minimal bagi proses rawatan air patut dikenakan," tambahnya.

Katanya lagi, konsep penswastaan yang diperkenalkan pada 1982 mempunyai matlamat jelas iaitu mengurangkan tanggungan kerajaan dalam memberi perkhidmatan asas kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dengan bayaran yang melampaui kemampuan.

Pengenalan konsep tersebut, tambahnya, tidak tercatatat langsung bahawa penswastaan bertujuan untuk memberi keuntungan melampau kepada mana-mana pihak apatah lagi mereka yang berkait rapat dengan pemerintah.

Pada masa yang sama, kata Faekah, kerajaan Selangor yakin mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mengheret SYABAS ke mahkamah kerana kegagalannya mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani.

"Akibat kegagalan tersebut telah merugikan rakyat Selangor sehingga mencecah jutaan ringgit," tambahnya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya, telah berulangkali menegaskan bahawa kerajaan negeri akan menentang dengan cara apa sekali pun usaha SYABAS atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada (undang-undang) bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh digunapakai.

"SYABAS sesungguhnya maklum akan perbincangan yang dilakukan dan adalah amat tidak wajar bagi SYABAS membuat tuntutan pampasan di peringkat ini," tambahnya.

Kerajaan negeri, katanya, akan melancarkan gerakan menyelamatkan rakyat Selangor dalam masa terdekat ini.

"Rakyat dengan ini digesa untuk bersatu bersama kerajaan negeri demi mempertahankan hak dan maruah. Percayalah, dengan usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan usaha rakyat Selangor akan beroleh kejayaan," katanya.





SSM kunjungi penyumbang 'cek RM4 bilion'

Dua orang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuat kunjungan mengejut ke pejabat I'Da World Group Sdn Bhd hari ini.

Difahamkan, mereka dari bahagian pematuhan suruhanjaya itu datang untuk memeriksa status syarikat berkenaan.

Diperhatikan pegawai berkenaan turut mengambil gambar di ruang dalaman pejabat syarikat tersebut di Kelana Jaya.

Kedua-dua pegawai tersebut turut menemui ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan Mohamad Sobri Din.

I'DA World Group Sdn Bhd mencuri tumpuan dan menimbulkan kejutan semua pihak kerana dikatakan bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.
Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

Sementara itu, kedua-dua pegawai SSM tersebut keluar dari pejabat berkenaan kira-kira 40 minit kemudian tanpa bercakap kepada pemberita.

Mohamad Sobri ketika ditemui selepas itu berkata, beliau tidak diberitahu pemeriksaan itu dibuat mengikut seksyen mana.

Tambahnya, pegawai berkenaan juga tidak mengambil sebarang dokumen daripada pejabat tersebut.





PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3