----------------$$$$----------------

InstaForex

23/04/10

Zaid ajak rakyat Hulu Selangor lawan rasuah

HULU SELANGOR, 23 April: Walaupun Umno/BN dalam pusingan akhir berkempen melambakkan wang rasuah kepada para pengundi, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan jentera dan rakyat supaya terus komited menolak gejala rasuah.


“Sekali lagi, saya nak ingatkan kita (Pakatan Rakyat) tak perlu bimbang, kita tak perlu takut untuk terus memupuk kepercayaan kepada pengundi.


“Rakyat di Hulu Selangor pun, saya yakin tidak bersedia menerima rasuah,” jelas beliau pagi tadi di Pusat Media dan Informasi, Kuala Kubu Baru.


Beliau yang juga seorang Koordinator Pakatan Rakyat berkata, sekiranya kuasa rasuah dan politik wang Umno berkesan dalam pilihan raya tanah air, maka sudah tentu kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia telah pun dimenangi oleh Umno/BN.


“Kalau rasuah boleh memenangkan mana-mana calon BN, maka kesemua Parlimen jadi milik mereka, mengapa ada ahli Parlimen pembangkang sekarang ini,” soalnya.


Tambahnya lagi, keputusan rakyat memilih kesemua 80 ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) sebenarnya demi menyelamatkan Malaysia daripada terus dibinasakan oleh gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Bercakap di depan lebih 20 wartawan di sini, beliau sendiri terpaksa mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan ketidakbebasan mahkamah di Malaysia serta penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara zalim.


Dalam pada itu, beliau dilihat seakan menyindir Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pada pilihan raya kali ini.


“Nampaknya saya dalam pilihan raya kali ini terpaksa berlawan dengan individu yang dianggap terkaya di Malaysia (Nazir), adik kepada Najib,” jelas beliau dalam nada yang kesal.


“Saya juga terpaksa berdepan dengan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itulah yang saya perlu hadapi kalau mereka amalkan rasuah di Hulu Selangor.”


Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua mendedahkan tentang beberapa kes sogokan bernilai RM1,000 kepada keluarga tertentu di Hulu Selangor yang membabitkan individu yang dipercayai jentera Umno/BN.


“Keluarga tertentu ada yang dah terima sejumlah RM1,000 dan ada yang menerima lebih dari itu,” jelas beliau.


Dengan dua hari lagi untuk berkempen, beliau menasihatkan supaya jentera Umno/BN kembali mengamalkan kempen politik yang lebih beretika dan bermaruah kerana pilihan raya kecil kali ini diadakan bukannya untuk memilih Ketua Cawangan Umno.


Sebaliknya, menurut beliau, pilihan raya kali ini untuk memilih seorang ahli parlimen yang benar-benar berani lagi ikhlas untuk mewakili rakyat Hulu Selangor di Dewan Rakyat kelak.


Turut menyertai Zaid dan Tian adalah Fuziah Salleh, Pengarah Pilihan Raya PKR dan Latheefa Koya, Ketua Penerangan PKR.

22/04/10

Nik Aziz gempur Hulu Selangor mulai esok


Setelah didakwa 'agak lemah' di permulaan kempen, PAS kini kelihatan mula menggempur habis-habisan BN di Hulu Selangor dengan menurunkan tokoh besar mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi berkempen untuk kemenangan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.


Nik Aziz - mursyidul am parti Islam itu - yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci dijadual berada dua hari di kawasan parlimen Hulu Selangor mulai petang esok.


Esok, beliau akan memberikan kuliah Maghrib di Masjid Kuala Kubu Bharu dan pada malamnya berceramah di Changkat Asa, Hulu Bernam.


Manakala pada hari Sabtu - sehari sebelum pengundian - menteri besar Kelantan itu akan memberikan kuliah Subuh di Masjid As-Salam Bukit Sentosa dan pada malamnya sekali lagi berceramah di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu.


Kehadiran tokoh popular itu dijangka memberikan kesan yang besar kepada perubahan mood pengundi di Hulu Selangor di hari-hari terakhir sebelum pengundian dijalankan pada Ahad.


Kehadiran ualama PAS itu juga bakal menyaksikan pertembungan antara 'jeneral besar' Pakatan Rakyat dan BN apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dijadual menghabiskan kempennya di Hulu Selangor esok.


Kedatangan Nik Aziz dilihat sebahagian daripada serangan balas PAS bagi pihak Pakatan setelah bertahan, khususnya dalam menangani isu 'moral' Zaid yang dimainkan BN dengan berkesan.


Sejak awal lagi, 'faktor Nik Aziz' dipandang serius oleh kedua-dua pihak bertanding.


Walaupun tanpa kehadiran susuk tubuhnya sebelum ini, papan tanda besar memaparkan ulama PAS itu sedang berdoa bagi kemenangan Zaid dinaikkan di serata tempat.


Manakala BN pula mengambil pendekatan hampir sama melalui papan tanda gergasi memaparkan 'keprihatinan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menziarahi Nik Aziz yang terlantar sakit di hospital sebelum ini.


PAS - parti yang paling berpengalaman dalam Pakatan - sejak kelmarin berikrar membantu PKR sepenuh tenaga dengan meningkatkan jentera dan kepakarannya daripada 20 kepada 60 peratus setelah didakwa 'agak lemah'.


Menyambut janji tersebut, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan sendiri semalam turun berkampung bagi memantau sendiri program Dewannya - jentera utama parti itu - sehinggalah selesai pilihan raya Ahad ini.

21/04/10

Semua Mantan PM Malaysia minum ARAK - kecuali Pak Lah


BN digesa menghentikan serangan peribadi terhadap calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim - dengan terus mengaitkannya dengan isu minum arak - kerana perkara tersebut "melampau batas" dan menjadi budaya dalam Umno, parti terasnya sendiri.


Menyifatkan kempen sebegitu sebagai "tiada kelas", Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali mendakwa, semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol.


"Tak ada seorang pun daripada mereka itu yang tak pernah minum arak, kecuali (Abdullah) Badawi. Pak Lah saya akui, yang saya tahu, tak minum arak.






"Tetapi empat yang lain ini semua terlibat. Ada yang saya tengok dengan mata saya sendiri terlibat," katanya yang juga bekas pengarah pilihan raya pusat PAS.


Bercakap dalam sidang media di pejabat agung parti itu di ibu negara tengah hari ini, Mustafa turut mendakwa, selain meminum arak, tiada pemimpin utama Umno yang bebas daripada tiga lagi "dosa", iaitu "rasuah, judi dan perempuan."


"Kadangkala empat (dosa) sekali gus ada pada seorang," katanya yang mengaku mengetahuinya kerana pernah berada dalam kerajaan ketika parti itu bergabung dalam BN sekitar tahun 70-an.


Bagaimanapun, Mustafa memberi jaminan, PAS tidak akan mengikut rentak parti lawan dengan mengambil pendekatan yang sama kerana strategi tersebut "orang PAS tidak pernah buat".


"Tidak, tidak, tidak. Maknanya nak beri tahu, kalau PAS nak main isu ini, dah lama dulu PAS boleh main. Tetapi PAS tak buat, kita jaga etika.


"Tetapi saya nak bagi tahu, kamu (Umno) main isu Zaid ini, kalau kita (PAS) hendak main, kita boleh sebut.


"Ini apa yang kamu buat dulu, sekarang pun kamu masih terus (terlibat)," katanya ketika disoal sama ada PAS akan mengikut rentak yang sama dengan Umno selepas ini.


Ditanya sama ada PAS mahu menjadikan isu tersebut sebagai "peluru terakhir" dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor kali ini, Mustafa sambil ketawa berkata:


"Tengoklah kalau (mereka) agak (sombong) sangat."


Katanya, isu melibatkan peribadi silam Zaid sengaja dimainkan Umno kerana parti itu tidak mempunyai sebarang lagi itu untuk "memukul" Zaid.


Mustafa juga berkata, selain Zaid, dua lagi pemimpin Pakatan yang sering menjadi mangsa serangan peribadi kali ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim sendiri.


"The Ibrahim brothers (adik-beradik Ibrahim)," guraunya lagi.

Mohamad Sabu: Tolak 'tuah' jika tolak Zaid

Pengundi Hulu Selangor dikatakan "menolak tuah" jika tidak memilih calon PKR sebagai wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini.


Ahli Jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu berkata ini kerana calon yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah seorang yang terbukti prinsipnya dalam membela rakyat.


"Zaid Ibrahim manusia berprinsip. Beliau (adalah) menteri, bila ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) digunakan, beliau tidak bersetuju.


"Kalau kita tidak bersetuju dengan percakapan lawan dengan percakapan, kalau tulisan, lawan dengan penulisan, wartawan lawan dengan kewartawanan, bukan dengan ISA. Lainlah kalau angkat senjata.


"Oleh itu, Zaid ambil keputusan untuk meletak jawatan (sebagai menteri). Dalam dunia ini nak cari orang macam begini (memang) payah," kata Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah di Jalan Padang Tembak di Kuala Kubu Baru, malam semalam.


"Walaupun beliau mempunyai banyak kelemahan sebagai manusia, tapi sebagai menteri yang berprinsip, beliau meletakkan jawatan sedangkan banyak kemudahan dan kelebihan disediakan oleh kerajaan.


"Kalau tak angkat Zaid Ibrahim sebagai wakil rakyat, memang orang Hulu Selangor menolak tuah. Jarang ada di dunia orang seperti Zaid Ibrahim apabila beliau tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, dia letak jawatan dan kemudiannya menyertai pembangkang," katanya yang juga bekas naib presiden PAS.


Kira-kira 500 orang hadir pada majlis ini walaupun cuaca begitu sejuk berikutan hujan lebat pada sebelah petang.


Dakwa Mohamad Sabu, selepas pilihan raya umum pada 2008, kerajaan BN cuba menimbulkan pelbagai isu perkauman yang sensitif, termasuk memfitnah exco Selangor Teresa Kok yang didakwa cuba menghalang azan daripada berkumandang dan menahan seorang wartawan smengikut ISA.


Hal berkenaan katanya, mendorong Zaid yang juga bekas ketua Umno bahagain Kota Bharu membantah dan seterusnya meletakkan jawatan.


"(Inilah) Zaid (yang) saya hormat. Ada satu perkara yang orang lain tidak tidak boleh buat. Orang yang ada prinsip memang kita hormat," katanya.


Pada ceramah yang sama Mohamad Sabu turut membidas kerajaan BN kerana membuat perjanjian dengan firma-firma yang mempunyai kepentingan Yahudi.


"Unsur Yahudi amat bahaya. Politik Yahudi adalah menghapuskan orang yang tidak disukainya. Kita bimbang politik Yahudi masuk ke Malaysia," katanya.


Menurut Mohamad Sabu beliau kuathir berlakunya kebocoran maklumat negara ini yang tidak boleh dipandang kecil.


Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memilih Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil itu pada 25 April ini sebagai membantah tindakan kerajaan BN.

20/04/10

Zaid usaha selesai hak milik tanah peneroka Felda

HULU SELANGOR, 20 April: Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat petang tadi mengumumkan tiga agenda perubahan yang ingin dilaksanakan di Parlimen Hulu Selangor sekiranya dipilih ke Parlimen kelak termasuk pemilikan tanah Felda.


Demi menyelesaikan masalah pemilikan tanah oleh para peneroka Felda pula, beliau bercadang mengajak kerajaan negeri bertindak campur tangan dalam menghadapi birokrasi Felda, iaitu badan berkanun di bawah Pusat.


Dengan pengalaman menjadi peguam kanan bagi kerajaan sebelum ini, beliau bersedia untuk memastikan para peneroka Felda terbabit mendapat hak pemilikan tanah yang sepatutnya kelak.


Selain itu, dua agenda lain menyentuh soal kepentingan anak muda dan isu keperluan air percuma setelah berbincang panjang dan dipersetujui sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.


"Apa-apa pun yang nak saya laksanakan, saya perlu berbincang dulu dengan beliau (Khalid), sekiranya tidak ada sokongan kerajaan Selangor, tidak ada sokongan rakyat, tentunya tidak berjaya," ujarnya pada sidang media yang masuk hari keempat berkempen, hari ini.


Untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempat, Zaid berkata, beliau sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya aktiviti ekonomi digalakkan di Hulu Selangor.


Menurut beliau, dengan berbuat demikian, anak-anak muda Hulu Selangor tidak perlu lagi berhijrah keluar mencari pekerjaan sebaliknya mereka boleh bersama-sama kerajaan negeri mengubah tahap kehidupan masing-masing di samping menikmati kekayaan hasil bumi negeri Selangor sendiri.


Selain itu, beliau juga berusaha mereputasi kualiti hidup rakyat di Hulu Selangor, termasuk memastikan setiap rakyat mendapat nikmat 20 meter padu air daripada kerajaan negeri secara percuma.


Menurut beliau, tidak ada maknanya sebuah kerajaan negeri sekiranya kekayaan yang diperolehi dari hasil bumi Selangor tidak dinikmati oleh rakyat sendiri.


Bercakap pada sidang media yang sama, Khalid menganggap Zaid mampu memberi nilai tambah pada PKR, Pakatan Rakyat Selangor dan kerajaan negeri sendiri.


"Saya nak tegaskan bahawa pemilihan Datuk Zaid ini adalah berasaskan pelbagai nilai tambah dan peranannya akan memberi nilai tambah yang besar untuk kekuatan PKR, Pakatan dan kerajaan negeri.


"Nilai tambah yang perlu dan boleh dilakukan oleh Zaid ini, beliau bukan sahaja boleh membawa isu penafian hak peneroka Felda ke Parlimen, boleh memberitahu kaedah-kaedah dan cara-cara untuk menyelesaikan isu tanah menggunakan jalan perundangan," jelasnya.


Tidak cukup dengan itu, sekiranya rakyat memilih Zaid, bermakna rakyat memilih seseorang pemimpin yang bersedia menentang kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mempertahankan kebebasan bersuara dan demokrasi yang menjadi hak asasi rakyat di Dewan Rakyat kelak.


Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat membuat perbandingan yang wajar antara kebolehupayaan Zaid dengan pencabarnya, P. Kamalanathan.


Sekiranya Zaid dilihat lebih berpengalaman serta mempunyai kebolehupayaan yang jauh lebih baik berbanding Kamalanathan, beliau berkata, tidak ada sebab bagi rakyat untuk tidak memilih Zaid pada Hari Mengundi, Ahad ini.


Turut menyertai Zaid dan Khalid di Pusat Informasi dan Media, Kuala Kubu Baru adalah Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya.

15/04/10

Hulu Selangor: Zaid Lawan Kamalanathan


Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan menyaksikan ketua penerangan MIC, P Kamalanathan menentang Datuk Zaid Ibrahim dari PKR yang mewakili Pakatan Rakyat.


Pemilihan Kamala
nathan itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan penyokong BN di Bukit Sentosa, petang tadi.

Turut hadir ialah pemimpin parti komponen BN termasuk presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Kelibat timbalan presiden parti itu, Datuk G Palanivel yang ditolak oleh BN sebagai calon Hulu Selangor, tidak kelihatan.


Bagaimanapun , seorang lagi calon yang disokong oleh BN tetapi tidak dipersetujui oleh pemimpin MIC, iaitu timbalan ketua pemudanya, V Mugilan hadir dan beliau dilihat sebagai anatara pemimpin parti itu yang bersalaman dengan Kamalanathan sebaik sahaja keputusan diumumkan.


Nama Kamalanathan memang telah disebut-sebut sebelum ini sebagai calon kompromi selepas pucuk pimpinan BN dikatakan menolak cadangan MIC untuk mencalonkan Datuk G Palanivel bertanding di situ.
Penyokong akar umbi, khususnya dari Umno sejak kematian ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu secara terang-terangan menolak Palanivel.


Mereka mendakwa beliau tidak cekap dan gagal membangunkan Hulu Selangor meskipun menjadi ahli parlimen selama empat penggal.


Sebaliknya, mereka yang menentang Palanivel mencadangkan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan sebagai gantinya.


Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor tetapi pemimpin atasan MIC tidak merestui cadangan itu.


Ini kerana tidak ramai pemimpin atasan MIC memegang jawatan ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri dan jika Mugilan menang dia akan mempunyai kelebihan.


Pada mesyuarat tergempar jawatankuasa pusat MIC yang diadakan malam tadi, MIC berkeras mahukan hanya Palanivel sebagai calon mereka.


Jawatan senator, timbalan menteri


Mesyuarat itu juga mengambil keputusan untuk memecat timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan sekiranya dia dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.


Samy Vellu berjumpa dengan Muhyiddin awal pagi ini di pejabat timbalan perdana menteri di Putrajaya tetapi Muhyiddin dikatakan terus tidak berganjak dan menolak timbalan presiden MIC itu.


Sebagai kompromi, difahamkan Palanivel akan dilantik sebagai senator dan timbalan menteri kerana bersetuju memberi laluan kepada Kamalanathan.


Kamalanathan, adalah ketua perhubungan awam Beras Jati Sdn Bhd, sebuah syarikat peruncitan beras.


Beliau dipertanggungjawabkan oleh pemimpin MIC untuk menjenamakan semula parti itu selepas pilihan raya umum 2008 yang keputusannya memalukan mereka


Kamalanathan juga adalah seorang blogger, yang seringkali dijemput menghadiri rancangan ehwal semasa dan juga pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta.


Meskipun bukan anak tempatan Hulu Selangor, Kamalanathan menetap di Rawang, sebuah pekan yang tidak jauh dari kawasan pilihan raya itu.

Demo bantah APCO esok

KUALA LUMPUR, 15 April: Dewan pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan himpunan aman esok bagi membantah pembabitan firma rundingan APCO Worldwide dalam mempromosikan 1Malaysia.


Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad berkata, himpunan tersebut akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru sejurus selesai solat Jumaat.


"Kita menyeru kepada semua umat Islam dan warga prihatin untuk membantah penglibatan syarikat Israel (APCO Worldwide) dalam komunikasi negara.


"Penglibatan mereka akan mendedahkan maklumat penting negara," katanya yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.


Selain itu menurutnya, bantahan esok juga bagi menuntut kerajaan menamatkan serta merta khidmat firma perunding terbabit yang dilat tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.





"Kita menuntut khidmat firma perunding ini ditamatkan serta merta, bukan tunggu bulan Ogos.


"Kerajaan perlu teliti dan berhati-hati melantik syarikat luar kerana Israel ini saban hari membunuh dan menindas umat Islam di Palestin," tegasnya.


Selain itu, huimpunan sama juga dijangka turut diadakan di seluruh masjid negeri di seluruh negara esok.



PAS akan pastikan kemenangan calon PKR di Hulu Selangor

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor telah ditetapkan pada hari Sabtu ini 17 April 2010. Pakatan Rakyat telah pun memutuskan yang PKR akan bertanding sebagai calonnya. Calon PKR, iaitu Dato Zaid Ibrahim telah pun diisytiharkan baru-baru ini.


Hari ini kita menunggu calon BN yang akan diumumkan petang nanti.


Semakin hampir pilihan raya itu maka semakin panaslah suasana politik. Potensi untuk Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi ini besar. Pertama kerana rekod pemerintahan dua tahun kerajaan PR Selangor terus meyakinkan dan kedua BN sudah semakin jauh dari hati rakyat di Selangor.


Kita pasti BN akan menggunakan sepenuh dayanya untuk menang, kerana kekalahan BN bermakna berkurublah harapan mereka untuk merampas kembali negeri bertuah ini. Maka segala muslihat dan akal akan digunakan untuk menabur benci dan adu domba terhadap PR Selangor.


Saya lihat bibit-bibitnya sudah bermula, dan PAS dilihat sebagai sasaran untuk membunuh harapan PR.


Baru sebentar tadi seorang rakan wartawan dari akhbar berbahasa Cina menelefon saya. Katanya sebuah portal berita di internet melaporkan yang jentera PAS Selangor di Hulu Selangor lembap. Kononnya ramai orang PAS tidak berpuas hati dengan pemilihan calon PKR.


Malah pagi ini akhbar The Star melalui ruangan Joceline Tan turut membantu mengadu-domba dengan melaporkan kononnya PAS Selangor bawah Dato Dr Hasan Ali tidak akan beri kerjasama kepada PKR lantaran pemilihan Dato Zaid sebagai calon.


Fitnah,fitnah, fitnah!


PAS Selangor sudah mula menggerakkan jenteranya sejak berita kematian Allahyarham Dato Dr Zainal. Pada 1 April lalu PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat khas perhubungan negeri berhubung pilihanraya kecil ini yang dipengerusikan Dato Dr Hasan. Seluruh jentera pilihanraya PAS Selangor, Muslimat dan Pemuda telah pun digerakkan.


Pimpinan PAS negeri dari Dato Dr Hasan, ahli-ahli Dewan Harian, Perhubungan, Muslimat, Pemuda dan Ulamak serta wakil-wakil rakyat semuanya sudah naik turun ke Hulu Selangor. Jentera bersama dengan Pakatan Rakyat juga sudah digerakkan.


Siapa yang lembap? Siapa yang tidak beri kerjsama?


Kepada seorang pemberita wartawan berbahsa Inggeris telah saya nyatakan semalam bahawa kerusi Hulu Selangor ini penting bukan hanya buat PKR malah buat DAP dan PAS. Ketiga-tiga DUN di parlimen ini masing-masing ditandingi PKR, DAP dan PAS pada pilihan raya lalu. Sudah pastilah peluang ini mahu digunakan untuk memastikan yang pengundi di ketiga-tiga DUN ini telah kini sedar dan akan memberikan kemenangan kepada PR dalam pilihanraya kecil ini dan pada pilihan raya umum nanti kepada ketiga-tiga parti di ketiga-tiga DUN.


Soal calon adalah hak PKR untuk memutuskan kerana ini kerusi mereka. PAS akan terima siapa sahaja yang menjadi pilihan PKR sebagaimana kita sendiri juga akan putuskan siapa sahaja calon di kerusi-kerusi kita tanpa mahu mana-mana pihak campurtangan pada pilihan raya umum nanti.


Pilihan PKR itulah calon PR dan kemenangan calon PR penting buat PAS.


Kita lihat yang bermasalah sebenarnya adalah BN bukan PR. Umno mahu kerusi ini, kemudian MIC berkeras dan kini Umno mahu taja pula calon dari kalangan MIC, yang rumit dan bermasalah sebenarnya adalah mereka.


PAS akan hadapi pilihanraya ini dengans emangat seolah PAS yang bertanding. Begitulah selalunya pengalaman PAS. Rakan-rakan dalam PR khasnya PKR dan DAP sedia faham akan komitmen PAS di Selangor ini khususnya. Malah hari ini sahaja Dato Dr Hasan punya aturcara padat bersama Tan Sri Khalid dan lain-lain EXCO.


Kepada pengadu-domba dan agen-agen upahan, teruslah dengan aktiviti tidak bermoral anda. Kami punya misi dan amanah besar dalam PR Kecil ini iaitu tidak lain dan tidak bukan memenangankan calon PR.


Hulu Selangor,undilah Zaid Ibrahim!


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

11/04/10

Bukannya kali pertama(Tekanan Politik Malaysia), kata peguam

Dalam reaksi kepada dakwaan Dr Pornthip Rojanasunand bahawa beliau berdepan dengan tekanan dari kerajaan Malaysia supaya tidak memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata, ini bukan kali pertama aduan gangguan terhadap pakar patologi itu.




Walaupun Gobind berkata beliau masih dalam proses mengesahkan perkara itu dengan Dr Pornthip, ahli parlimen Puchong itu menyifatkan apa yang dihadapi oleh pakar patologi itu sebagai "amat malang".


Usaha sedang dibuat untuk membolehkan beliau hadir di mahkamah, tetapi jika gagal "urusan alternatif" akan dibuat untuk beliau memberi keterangan dalam inkues tersebut melalui pautan video.


"Jika itu juga gagal, maka kita terpaksa teruskan dengan apa yang kita ada dan kita yakin, kita masih mampu berjaya untuk membuktikan kes kita, iaitu Teoh Bengh Hock tidak membunuh diri, tetapi sebaliknya ia adalah jelas kes homisid," kata Gobind dalam satu kenyataan.


Beliau juga menyifatkan bantuan yang diberikan Dr Pornthip kepada keluarga Teoh sehingga ini sebagai "amat berguna sekali".


"Melalui usaha beliaulah kita dapat menggali semula mayat dan melakukan bedah siasat kedua, di mana keputusannya telah memberi dimensi baru sepenuhnya kepada persekitaran kematian Beng Hock," katanya.


Gobind berkata, bagi pihak keluarga Beng Hock, perjuangan untuk memberi keadilan kepada Beng Hock akan dan mesti diterukan.


"Kita akan meneruskan inkues ini hinggalah ke akhirnya," kata Gobind.


Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula menyarankan supaya Dr Pornthip dibenar memberi keterangan dalam inkues tersebut melalui telekomunikasi elektronik.

'Tekanan politik': Dr Pornthip tidak hadir inkues Teoh


Pakar patologi terkemuka Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung pada 20 April ini, menurutnya, kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.


Dr Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.


Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.


Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.


"Ia disampaikan kepada saya oleh pegawai-pegawai kanan tertentu kerajaan Thai bahawa terdapat tekanan politik dari kalangan tertentu kerajaan Malaysia untuk menghalang kehadiran saya di mahkamah, sehingga ia mungkin mengganggu misi penting forensik semasa saya di Selatan Thai," katanya.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3