----------------$$$$----------------

InstaForex

29/03/10

Lim: RM52 billion saham bumiputera hilang

Ahli parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini meminta penjelasan di Dewan Rakyat mengenai RM52 billion saham bumiputera yang dilaporkan 'hilang' daripada tangan bumiputera di Bursa Kuala Lumpur.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Lim berkata permohonan penjelasannya itu dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan oleh Bernama yang bertarikh 30 Jun 2009.
Menurut laporan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui terdapat perbezaan ketara antara RM54 billion saham bumiputera yang diperuntukan berbanding dengan jumlah sebenarnya yang masih dimiliki mereka.

Dalam laporan itu Najib dipetik sebagai berkata, “daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan, hanya tinggal RM2 billion yang masih dipegang oleh bumiputera.”


Lim menggesa kerajaan menyiasat apa yang berlaku dengan saham berkenaan yang didakwa lazimnya diagihkan kepada kroni BN.

Doa Menghilangkan Kesedihan, Tekanan Hutang & Malas

Suatu ketika seorang sahabat sedang bersedih. Lantas Rasulullah SAW bertemu dan bertanya kepadanya: "Wahai sahabat, mengapa kamu bersedih?"


Lantas sahabat tadi menjawab: "Ya Rasulullah, aku bersedih kerana beban kehidupan yang terlalu berat di atas pundakku."


"Apa dia?" kata Rasulullah.


"Hutang yang membelenggu diriku, dan kesedihan yang mengikat sanubariku."


Lantas Baginda SAW bertanya: "Apakah kau ingin aku ajarkan satu doa, satu amalan, yang jika kau amalkan nescaya segala kesedihan, segala kedukaanmu, akan diangkat oleh Allah SWT, akan dipulihkan, akan diganti dengan kegembiraan dan kebahagiaan?"


"Balaa ya Rasulullah. Sebutlah, apakah doa, apakah amalan itu ya Rasulullah."


Lantas Baginda mengajarkan sepotong doa. "Wahai sahabatku, jika kamu amalkan doa ini setiap pagi dan setiap petang, insya Allah sebanyak manapun hutangmu, akan dilunaskan Allah SWT; setebal manapun kedukaanmu, akan dilenyapkan oleh Allah SWT."



“Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.”

27/03/10

Hulu Selangor: Pakatan Rakyat ada kelebihan

KUALA LUMPUR: Komposisi kaum yang agak ‘kacukan’ di kawasan Parlimen Hulu Selangor dengan pengundi Melayu sebanyak 53.9 peratus, Cina (26.7), India (19) dan lain-lain (0.4), memberi kelebihan kepada PKR dan Pakatan Rakyat berbanding Umno dan BN.


Bagi Pengarah Pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Fuziah Salleh (gambar), pihaknya masih belum memilih calon walaupun tumpuan umum banyak menjangkakan bahawa Datuk Zaid Ibrahim bakal mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu.


“Keputusan berkenaan calon itu, sekarang ini ada ramai yang cukup berwibawa untuk dicalonkan, bagaimanapun saya akan menyerahkan nama-nama mereka kepada pucuk pimpinan untuk dibuat keputusan terakhir,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuantan.


Pun begitu, beliau berkata, PKR tidak mempunyai banyak masalah dalam memilih calon kerana identiti PKR bukanlah berasaskan pada perkauman, bukan seperti Umno/BN.


Maka, kata beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi PKR akan membuat ketetapan akhir berhubung persiapan pilihan raya kecil tersebut pada 4 April depan, sebelum dilanjutkan dalam Majlis Mesyuarat Pakatan Rakyat kelak.


Parlimen Hulu Selangor bakal menyaksikan pilihan raya kecil berikutan kematian wakilnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam tadi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat keputusan berhubung perkara itu Jumaat depan.


Dalam pada itu, Fuziah sendiri mengakui bahawa Umno tempatan, khususnya di Hulu Selangor cuba untuk meletakkan calon mereka di kerusi terbabit atas dasar majoriti pengundi adalah Melayu, sedangkan kerusi tersebut sebenarnya adalah kerusi tradisi MIC, Datuk G. Palanivel.


“Sesiapa pun (calon BN) yang diletakkan di situ, ia suatu kelebihan bagi kita, calon PKR sudah pun dilihat mewakili semua kaum,” ujarnya.


Ekoran itu, PKR menurut beliau, tidak perlu menganggap kelemahan BN tersebut sebagai kekuatan pada PKR.


Sebaliknya, beliau berkata, PKR serta Pakatan Rakyat seharusnya bersedia membuat persiapan kempen politik yang lebih rasional dan demokratik, bukannya kempen perkauman seperti Umno BN.


“Apabila kita masuk apa-apa pilihan raya, fokus dan persediaan kempen kita adalah apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat, tidak perlu fokus pada kedudukan orang lain (Umno BN),” jelasnya.


Demi menjayakan kempen tersebut, beliau bercadang untuk mengemukakan pencapaian-pencapaian Pakatan Rakyat sepanjang memerintah negeri Selangor supaya rakyat boleh membuat perhitungan dan perbandingan dengan rekod pemerintahan kerajaan negeri di bawah Umno/BN, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.


“Itu lebih penting, apa pencapaian Pakatan Rakyat di Selangor, bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat dari kerajaan negeri,” katanya.


Menurut beliau, dengan berbuat demikian, rakyat sekaligus dididik dengan politik yang lebih sihat, anti perkauman, anti kronisme serta anti-kezaliman yang selama ini disinonimkan dengan pemimpin tertentu dalam Umno/BN.

Musa Hassan berbohong ????


KUALA LUMPUR,: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah hari ini dipanggil memberi keterangan mengenai laporan polis yang dibuatpada 24 Mac lalu terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam prosiding Mahkamah.


Beliau hadir jam 3.00 petang tadi memberi keterangan hampir satu jam di ibu pejabat polis IPD Dang Wangi.





"Mereka minta bukti saya ada untuk menunjukkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah membuat kenyataan palsu dalam mahkamah.


"Saya sebut saya lampirkan dalam laporan polis saya, saya kepilkan nota prosiding mahkamah.


"Ini bukan cerita dengar cakap, saya dapat bukti kukuh berdasar nota prosiding yang ditaip di mahkamah", katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.


Rabu lalu, Siva membuat satu laporan polis terhadap Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.


Menurut Sivarasa, semasa kes perbicaraan Anwar pada tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.


Tetapi ujarnya, semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan.


Pada masa yang sama, beliau juga turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghentikan tempoh perkhidmatan ketua polis negara itu.


Baginya, Musa sebagai pegawai tinggi kerajaan sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila melakukan pembohongan di mahkamah.


"Sekarang ini bukan isu dia ada diploma atau ijazah, isunya dia berbohong di mahkamah.


"Kalau nak tahu dia ada diploma atau ijazah, baik tanya dia sendiri," katanya.

24/03/10

"Bekerjasama dengan Umno laksana memikul biawak hidup" - Haji Hadi


Langkap,: Tuan Guru Dato Seri Haji Hadi Awang menegaskan bahawa PAS tidak akan mengambil kekuatan daripada parti yang berpenyakit; parti yang sedang melalui kelemahan. Beliau juga menganggap bekerjasama dengan Umno adalah laksana memikul biawak hidup.


“Pepatah Melayu mengatakan, kalau memikul biawak hidup, menyakitkan kita, kuku dia, dia gigit kita …lebih baik kita bersendirian, kita lapah biawak, ambil kulit dia tu, boleh tak?” Tanyanya dengan disambut sorak ketawa para penyokong di pejabat Dewan Penyokong PAS di sini tengahari tadi.


Demikian reaksi TGHA terhadap seorang wartawan akhbar bahasa Cina yang bertanyakan samada PAS akan bekerjasama dengan Umno.



TGHA tiba di pekan kecil ini tengahari tadi untuk menyampaikan ucapan takziah dan sedikit sumbangan PAS Pusat kepada keluarga mendiang Siva, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak yang ditembak mati pada minggu lalu.


Menurut TGHA, PAS sudah berpengalaman bersama dengan Barisan Nasional. Pada tahun 1974-1978, PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional dan telah mengalami pengalaman yang banyak yang menjadi pelajaran kepada PAS.


Beliau menjelaskan, bahawa selagi Umno tidak boleh membuat perubahan, tidak menerima matlamat untuk mengubah sistem kehakiman, mengubah SPR, mengubah amalan demokrasi yang betul-betul demokratik yang adil; kalau Umno tidak sanggup membuat perubahan ini, tidak ada guna PAS mengadakan kerjasama dengan mereka.


“Mereka mesti terbuka untuk mengembalikan Kehakiman,mengembalikan Demokrasi, mengembalikan Kebebasan Media dan mesti dibuktikan dahulu dengan menunjuk sikap yang positif terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dimana mereka rampas royalti Terengganu, yang menafikan royalti Kelantan, yang menafikan hak Pulau Pinang, hak Kedah …,” katanya.


Beliau juga berkata, “Kalau Umno nak bekerjasama , media-media mesti diberikan peluang kepada semua dan tunjukkan dahulu cara-cara yang baik termasuklah Federalisme, yakni konsep Persekutuan mengikut perlembagaan.”


“Tidak ada penunujuk-penunjuk arah yang positif. Bagaimana nak bekerjasama? Apa yang berlaku, makin hari makin merosot,” katanya lagi.


Seorang wartawan akhbar Sin Chew telah memuji kenyataan TGHA tersebut dengan mengatakan bahawa kaum Cina dan India tentu akan bertambah yakin terhadap apa yang dinyatakan itu, Tuan Guru menjawab :


“Ya, supaya kaum India dan Cina melihat kerajaan kita di negeri-negeri Pakatan Rakyat apa yang kita buat walaupun kita menghadapi pelbagai kepayahan, kita laksanakan seboleh mungkin yang kita buat.


Kepada pertanyaan wartawan yang sama , mungkinkah kaum Cina , India dan bukan-Muslim diterima terus menjadi ahli PAS selepas ini? Tuan Guru berkata:


“Ya, kita telah membuat satu anjakan paradigma dengan memasukan peruntukan di dalam perlembagaan PAS, menubuh Dewan Himpunan Penyokong PAS dan menjadikannya sebagai satu cabang daripada PAS.


Berita asal: alhusseyn51.blogspot.com

Rumah pengarang buku 'Altantuya' diserang bom petrol

KUALA LUMPUR, 24 Mac: Rumah pengarang buku 'Di Sebalik Pembunuhan Altantuya', Badrul Hisham Shahrin di Seremban dibom dengan molotov cocktail kira-kira jam 1.30 pagi tadi.


Akibat dibom menggunakan bom minyak itu, menurut Badrul, terdapat kesan kebakaran yang kecil di halaman rumahnya di Taman Chedang.

Pun begitu, beliau yang dikenali Chegu Bad mengesahkan tidak ada sebarang kecederaan berlaku ke atas beliau, isterinya dan dua anaknya.


Ujarnya lagi, kedua-dua anaknya hanya mengalami kesesakan nafas akibat asap yang berkepul-kepul dalam rumahnya.


Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, laporan polis telahpun dibuat di Balai Polis Seremban 2.


Dalam laporannya, beliau menjelaskan bahawa jirannya ternampak dua orang pemuda berkeliaran di sekitar kediamannya, sebelum melontar molotov cocktail ke halaman rumahnya.


Bagi Badrul sendiri, beliau tidak mengesaki sesiapa pun.


Zahrain mula terasa bahang dari dakwaannya


KUALA LUMPUR, 24 Mac: Usaha anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Ibrahim untuk menyusahkan pimpinan PKR nampaknya makan diri sendiri apabila beliau didakwa 'sudah kenyang baru melompat' dan beliau dikatakan membuat kenyataan 'bodo-bodo'.


Orang yang menyusahkan Zahrain di Parlimen tidak lain dari orang yang dituduhnya mahu melompat meninggalkan BN untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam projek 16 Septembernya.


Datuk Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) dalam ucapannya meminta Zahrain menarik balik dakwaannya yang beliau adalah salah seorang yang hendak melompat parti menyertai PKR.

Dia juga mendesak media menyiarkan kenyataannya secara besar-besaran sebagaimana media menyiarkan kenyataan yang dibuat Zahrain sebelum ini terhadapnya.


Dalam ucapannya seminggu lalu, Zahrain menyebut 10 nama yang akan meninggalkan BN untuk menyertai Anwar bagi menubuhkan kerajaan baru. Salah saorang dari mereka adalah Ghafur.


"Kenyataan anggota parlimen Bayan Baru bodo-bodo...," kata Ghafur yang berucap dalam keadaan marah kepada Zahrain.


Beliau mempertikaikan kenapa Zahrain hanya menyebut beberapa orang sahaja yang mahu melompat sedangkan yang diperlukan Anwar adalah 30 orang..


"Hanya beberapa orang sahaja disebut mahu lompat...mana dia sekolah...mana cukup. Kenapa tidak disenarai mereka yang ke Taiwan itu, saya tidak ke sana," katanya.


Ghafur berkata, mungkin umpan yang diberikan kepada mereka yang mahu melompat tidak cukup sebab itu mereka tidak melompat.


"Umpan tak cukup, jadi tak lompat, umpan untuk Bayan Baru besar, sebab itu dia lompat..sekarang dia sudah kenyang," kata Ghafur diikutikan dengan tepukan gemuruh dalam Dewan Rakyat.


Ghafur juga menolak dakwaan Zahrain kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai komunis berkata, mungkin dia melompat kerana tidak mendapat apa yang dikehendaki dari kerajaan Pulau Pinang.


Beliau juga mempertikaikan Zahrain kenapa baru sekarang melompat bukan dua tahun lalu.


"Dua tahun baru lompat, kenapa tak lompat awal...sekarang dah jadi bebas...mungkin kerana kocek dah penuh," kata Ghafur.


Ghafur turut mencadangkan agar Umno tidak menerima orang semacam ini jika dia memohon untuk menyertai parti itu.


"Kalau dia boleh gigit tangan ketua dia, dia tentu boleh gigit ketua kita nanti," kata Ghafur.


Ghafur juga berkata, kalau orang macam ini masuk Umno, orang yang ada dalam umno akan keluar.


Ghafur juga berkata, dia tidak akan melompat parti hanya kerana duit yang diberikan tetapi akan melompat jika tidak bersetuju dengan ketuanya.


Menurutnya, pada tahun 1985, PBS (Parti Bersatu Sabah) cuba membelinya untuk keluar parti.


"Tetapi saya tidak terima kerana kalau saya hendak keluar parti kerana tak percaya kepada pucuk pimpinan bukan kerana dibeli," kata Ghafur.


23/03/10

ADUN BN Titi Tinggi letak jawatan: Undi lagi ke?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi dari MCA, Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yazid Mat semalam.


azlanYazid mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.


Dalam suratnya itu, kata beliau, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta.


"Dalam suratnya, Yip berkata beliau bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat," katanya.






Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan yang Yip tidak berpuas hati apabila beliau digugur daripada menjadi exco negeri baru-baru ini.


Yip merupakan exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri - memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan - dan satu-satunya exco yang digugur pada 19 Mac lalu.


Tempatnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho. Beliau juga merupakan setiausaha MCA Perlis.


Mengulas lanjut, Yazid berkata kedudukan Yip belum diputuskan lagi "dan masih dalam pertimbangan saya".


"Kita minta beliau bertenang dan memikirnya semula (keputusannya itu)," tambahnya.


Ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya kecil di DUN Titi Tinggi, Yazid berkata: "Saya tak mahu kata apa, terserahlah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). SPR yang akan tentukan," katanya


Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu, mengesahkan perkara itu.


Bagaimanapun, Md Isa berkata pihaknya sedang merayu Yip untuk menarik balik hasratnya itu dan yakin pilihan raya kecil tidak perlu diadakan.


Musa Hassan, Hishammuddin retak?

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pagi tadi menganggap kenyataan 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi penguatkuasaan polis sebagai mencerminkan keretakan yang genting antara pegawai peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


Justeru, tahap kebebasan PDRM terus dipersoal apabila Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa terdapatnya 'pihak-pihak tertentu' mempengaruhi badan penguatkuasaan tersebut.

Kit Siang juga tidak menolak kemungkinan bahawa keretakan tersebut membabitkan lebih banyak lagi ahli-ahli politik tanah air serta kumpulan kongsi gelap tertentu.


Sekiranya kemungkinan itu tidak salah, beliau yang juga Penasihat DAP berkata, tidak mustahil individu seperti Datuk Ramli Yusoff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang pernah dibabitkan dengan beberapa kes rasuah dan penyelewengan kuasa boleh dilantik menjadi Ketua Polis Negara kelak.


Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penjelasan semula kerajaan tentang keretakan yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa pegawai atasan PDRM.


Beliau turut mempersoal keikhlasan Hishamuddin dan Musa kerana dilihat bias dalam memelihara kepentingan keselamatan negara.


Turut menyertai Kit Siang dan Loke di lobi Parlimen ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan Adun Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Kalau DAP anti Islam, adakah Umno dua kali ganda anti Islam

KUALA LUMPUR, 23 Mac: “Kalau DAP (dan) Pakatan Rakyat dianggap ‘anti Islam’, adakah Umno dua kali ganda ‘anti Islam’ kerana memberikan peruntukan yang jauh lebih sedikit waktu memerintah kerajaan negeri dulu,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Justeru, beliau menempelak dakwaan Umno bahawa DAP melaksanakan dasar ‘anti-Islam’ di Pulau Pinang apabila membacakan jumlah peruntukan kewangan yang diberikan oleh kerajaan negeri era Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional untuk perkembangan Islam.


“Waktu kita ambil alih kerajaan (2008), kerajaan Umno beri peruntukan (sebanyak) RM12.5 juta untuk perkembangan Islam di Pulau Pinang, selepas kita memerintah (2009), kita naikkan pada RM20.5 juta,” jelas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Rakyat pagi tadi.



Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan kewangan untuk aktiviti perkembangan Islam sehingga RM24.3 juta pada tahun ini.


Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi soal jawab, mendakwa Guan Eng dan DAP mengamalkan sikap anti-Islam ketika mentadbir kerajaan negeri.


Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Utusan Malaysia turut didakwa cuba menutup pencapaian sebenar kerajaan negeri dalam memelihara kepentingan Islam dan umat Melayu di Pulau Pinang.
Tidak cukup dengan mendakwa Utusan Malaysia sebagai ‘utusan fitnah’, beliau turut mendakwa akhbar tersebut juga mengamalkan sikap anti Islam demi merealisasikan cita-cita Umno untuk menguasai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kelak.


Pun begitu, beliau melahirkan rasa yakin bahawa rakyat Pulau Pinang tidak terpengaruh dengan dakyah ‘anti Islam’ yang dipropagandakan oleh akhbar Utusan Malaysia kerana rakyat sekarang bermaklumat dan bijak menilai berita dari akhbar tersebut.

PERINGATAN: Blogger 1Rakyat tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
InstaForex

PENAFIAN

PENAFIAN: Semua petikan berita dan video di ambil dari web tempatan dan luar negara ada kena mengena dengan kepimpinan negara dan politik tanah air. Petikan ini hanya di buat untuk penilaian pengunjung sahaja untuk melihat kejadian sebenar senario politik Malaysia bukanlah dari luahan sebenar dari blogger 1Rakyat. Anda digalakan mengambil semua maklumat atau berita dalam blog ini untuk dijadikan rujukan dan pandangan dari pihak lain (copy & paste adalah digalakkan).

Posting Popular

Rakan Seperjuangan

Paparan halaman minggu lalu

Archive

Blog List 3